KERJA nampak senang, tapi sebenarnya begitu mencabar buat mereka yang mencari rezeki sebagai runner. Itu belum lagi melayani kerenah pelanggan yang macam-macam hal, demand itu ini sedangkan upah yang diterima tidak setimpal. Seorang runner berkongsi pengalamannya mengenai seorang pelanggan yang berkedudukan tinggi dan bergelar 'datin'. ARTIKEL BERKAITAN: Rider basah kuyup luar rumah pelanggan, ramai ‘panas hati’ sampai ada yang menangis – “Dah order tu standby lah siap-siap!” ARTIKEL BERKAITAN: Bapa terdiam gambar konvo tadika RM20, tarik tangan anak tinggalkan dewan – “Tu motosikal bos dia, pinjam nak pergi konvo” Bercakap kepada mStar, pemuda berkenaan, Abdul Razak Juddin berkata, kejadian berlaku dua tahun lalu yang mana ketika itu dia tidak menetapkan caj untuk perkhidmatannya. Barang keperluan antara pesanan pelanggan sepanjang Abdul Razak berkhidmat sebagai runner. Pemuda berusia 26 tahun itu memberitahu, caj perkhidmatannya sebagai pembeli peribadi atau personal shopper lebih kepada ‘seikhlas hati’ berikutan ramai yang mempertikaikan caj yang dikenakan adalah tidak munasabah. “Masa tu bila orang tanya bayar upah berapa, saya segan nak cakap. Sebab bila letak harga, mereka kata mahal. Jadi biarlah upah tu dibayar seikhlas hati. “Dengan harapan mereka faham tugas kami sebagai runner yang bukan sahaja kena beratur panjang, tetapi berpanas dan berhujan juga,” katanya kepada mStar. Mengenai kisah 'datin' yang dikongsikannya menjadi tular, Abdul Razak yang berasal dari Tawau, Sabah berkata, dia menerima pesanan untuk membeli barangan keperluan daripada seorang wanita yang tinggal di sebuah banglo besar dua tingkat di daerah itu. Abdul Razak mula berkhidmat menjadi runner sejak 2015. Tanpa mahu mengulas lanjut mengenai identiti pelanggannya, Abdul Razak memberitahu datin tersebut menghubunginya bertalu-talu. “Dia tanya ‘Awak kat mana, dah siap ke belum? Jangan tipu saya nanti saya viralkan nama awak’. Memang saya sentap masa tu. “Saya ambil barang-barang atas motor, rakam resit dan hantar kat datin tu untuk update dia,” katanya yang mengambil upah sebagai runner sejak 2015. Upah dibayar seikhlas hati dengan harapan mereka faham tugas kami sebagai runner yang bukan sahaja kena beratur panjang, tetapi berpanas dan berhujan juga. ABDUL RAZAK Perjalanan ke banglo datin sejauh 29 kilometer tidak jauh bagi Abdul Razak, namun kepenatan amat terasa selepas bertemu dengan wanita yang berwajah bengis itu. “Datin arah saya hantar semua bungkusan barang berharga RM195.90 yang dipesannya ke dapur. Lepas tu dia kata ‘Nah! Ambil RM200, baki tu buat upah barang kau hantar kat meja dapur. “Ya Allah, masa tu hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya menerima baki sebanyak RM4.10 sebagai upah membeli dan menghantar barang yang dipesannya sampai ke dapur rumahnya. “Ya memang upah saya waktu tu seikhlas hati, saya terima RM4.10, tapi bila layanan datin tu macam saya ni kuli memang amat menyedihkan,” tambahnya. Pada peringkat awal, Abdul Razak hanya mengenakan caj 'seikhlas hati' yang diberikan oleh pelanggan. Menurut bapa dua anak itu, upah RM4.10 itu belum ditolak dengan kos minyak motosikalnya kira-kira 60 kilometer dan tenaga serta masa berjam-jam. “Tapi saya percaya pada rezeki, baki RM4.10 pemberian datin tu saya gunakan untuk membeli ais krim dan gula-gula untuk anak-anak. Hari tu rezeki anak-anak. “Paling saya sebak bila anak-anak masih faham tentang kepayahan saya walaupun usia mereka masih kecil. Anak lelaki saya berusia empat tahun cakap ‘Ayah ni baki duit ayah simpanlah nanti untuk pergi kerja nak isi minyak motor sambil tunjuk baki 10 sen. Saya jadi sebak,” katanya. Bukan sahaja jumlah barang dan jarak penghantaran, dugaan sebagai runner adalah berpanas dan berhujan. Menurut Abdul Razak, sejak kejadian itu, dia menetapkan caj khidmat runner bermula serendah RM10 bergantung kepada jumlah barangan dan jarak penghantaran. Ini termasuk kemampuannya untuk mengambil jumlah barangan kerana hanya menggunakan motosikal untuk servis penghantaran. “Perkongsian saya itu menunjukkan bahawa walaupun tidak menetapkan nilai pada upah, tapi kami sebagai runner ada harga diri. “Kami juga manusia, ada hati dan perasaan. Caj baharu ni untuk mengelakkan kejadian datin berulang dan pelanggan baru menghargai servis yang saya lakukan” katanya.