suria

Selepas meninggal lahir bayi kembar, barulah suami perasan isterinya berperangai pelik sejak awal pernikahan - “Tak sempat lihat anak sulung kami”

Nasuha meninggal dunia pada pagi Selasa lalu selepas koma 14 hari selepas melahirkan bayi kembar perempuan secara pembedahan.

SELEPAS 10 bulan melayari bahtera rumah tangga, si isteri akhirnya menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan koma selepas 14 hari melahirkan bayi kembar perempuan pada petang 31 Mac lalu.

Lebih menyedihkan, wanita tersebut, Nur Nasuha Shafie, 23, tidak sempat melihat mahupun memeluk bayi kembar yang dinanti-nantikan bersama suami, Muhammad Najmi Zulkarnin.

Namun Muhammad Najmi atau lebih mesra disapa Mie berkata, dia reda dengan pemergian isterinya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bercinta 9 tahun, isteri meninggal selepas 3 bulan kahwin, 4 hari sebelum honeymoon ke Maldives, “Tiada pesanan terakhir cuma ucapan...”

ARTIKEL BERKAITAN: Pembedahan keluarkan bayi berjaya, suami hampir rebah doktor beritahu lidah isteri perlu dipotong ‘semua’ dan segera, “Sayang dah nak mati ke?”

"Dia dijangka bersalin pada 8 Mei ini tapi 31 Mac lalu ada tanda nak bersalin... jatuh darah. Jadi saya pun bawa dia ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bahru selepas zohor.

Mie dan Nasuha berkenalan selama sebulan di Instagram sebelum bertunang.

"Doktor terpaksa buat pembedahan kecemasan sebab takut baby lemas. Baby dilahirkan pukul 6.40 petang dan 6.42 petang hari sama. Alhamdulillah kedua-dua selamat dan dalam keadaan sihat.

"Selepas bersalin isteri masih sedar. Masa tu dia asyik tanya mana baby tapi baby terpaksa dimasukkan ke wad sebab lahir tak cukup bulan. Keesokan harinya wife dah tak sedarkan diri," katanya.

Menurut Mie lagi, komplikasi selepas bersalin yang dialami menyebabkan isterinya tidak sedarkan diri.

"Arwah memang tak ada sakit apa. Cuma dia bersalin melalui pembedahan lepas tu ada komplikasi dalaman dan terus dia koma. 

"Hari ke-15 itu dia menghembuskan nafas terakhir tanpa sempat melihat dan memeluk anak sulung kami. Saya masih terkejut dengan pemergian dia tapi saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Mie yang berasal dari Kampung Pak Kerau, Tumpat, Kelantan turut berkongsi perubahan pada diri isterinya sebelum dijemput Ilahi.

Pasangan ini disatukan pada Julai tahun lalu.

"Sebelum dia koma tu kami sempat borak-borak. Masa tu dia asyik minta maaf pada saya. Bukan hari tu je tapi dia selalu minta maaf sejak kami nikah lagi.

"Sebelum tidur pun dia minta maaf, sebelum bersalin pun dia minta maaf. Dari mula-mula saya kenal lagi memang dia dah biasa macam tu.

"Dia ada juga beritahu takut kalau jadi apa-apa kat dia semasa bersalin. Tak sangka dia pun ada share posting mengenai perkara itu di Facebooknya pada Februari lalu," katanya.

Hari ke-15 itu dia menghembuskan nafas terakhir tanpa sempat melihat dan memeluk anak sulung kami. Saya masih terkejut dengan pemergian dia tapi saya reda dengan ketentuan Ilahi.

MUHAMMAD NAJMI ZULKARNIN.

Suami.

Jelas anak kedua daripada tujuh beradik itu, dia akan menamakan anak kembarnya itu mengikut nama yang diberikan isterinya sebelum ini.

"Isteri sebenarnya sudah ada nama untuk dua nama anak kami. Seorang Madeena Safiyya dan seorang lagi Madeena Sofia.

"Jadi saya akan penuhi permintaan isteri selain akan menjaga anak kami dengan penuh kasih sayang. Walaupun isteri sudah tiada, hubungan anak dengan keluarga mentua tidak akan terputus," katanya.

Gambar dimuatnaik Mie di Facebooknya memohon agar isterinya itu sedar semula.

Ditanya mengenai perkenalan mereka, Mie berkata dia mengenali isterinya itu menerusi Instagram.

"Kami berkenalan di Instagram selama sebulan. Selepas itu kami bertunang. Rupa-rupanya ayah kami berdua belajar di sekolah sama.

"Sepanjang mengenali arwah dia isteri yang baik. Dia pendiam, tidak pernah meminta-minta dan menyusahkan orang lain. Dia juga amat mengambil berat tentang diri saya," katanya.

Arwah yang juga anak kedua daripada lima beradik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketil, Tumpat kira-kira pukul 2.30 petang Selasa.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain