DI musim Covid-19 ni, bukan sahaja petugas kesihatan bertungkus-lumus menyumbang bakti kepada masyarakat, malah penghantar makanan turut menjadi frontliner. Namun, seorang pelanggan sama sekali tidak menyangka kegigihan seorang rider yang datang menghantar makanan buatnya, meskipun selepas terbabit dalam kemalangan. Berkongsi kisahnya kepada mStar, pemuda berkenaan, Mohd Ikmal Hanif Bokhori berkata, dia membuat pesanan dua ketul ayam untuk makan malam dari sebuah restoran makanan segera, lewat petang Khamis lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Rider basah kuyup luar rumah pelanggan, ramai ‘panas hati’ sampai ada yang menangis – “Dah order tu standby lah siap-siap!” ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan sakit tak sangka rider sudi layan dirinya, ‘Bubur Ayam McD-Panadol’ jadi penawar, “Dapat juga pergi kerja walau separuh hari” Anak muda berusia 23 tahun itu bagaimanapun memberitahu, proses penghantaran ke rumahnya di Shah Alam, Selangor mengambil masa lebih lama daripada jangkaan. Perkongsian Mohd Ikmal di laman Twitter diulang kicau lebih 12,000 kali. “Mulanya saya fikir masa penghantaran lebih lama disebabkan bilangan tempahan tinggi kerana ramai ada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Tapi kira-kira sejam juga seorang rider ni ambil masa hantar makanan yang saya pesan. Bila saya turun ke lobi apartment untuk ambil pesanan, petugas di apartment maklumkan yang pesanan sudah dihantar ke kaunter penyambut tetamu,” katanya kepada mStar. Mohd Ikmal berkata, dia kemudian diberitahu penghantar makanan tersebut terbabit dalam kemalangan, sebelum segera menoleh ke luar lobi untuk melihat kelibatnya. “Saya nampak rider tu masih di luar, sedang berdiri. Saya segera tegur dia, tanya tentang keadaannya. Mukanya nampak pucat, seluar dia koyak dan ada luka-luka terutama di bahagian lutut. “Dia beritahu saya yang dia terbabit terjatuh motosikal semasa sebuah kereta lain yang keluar simpang tanpa memberi isyarat lampu,” ujarnya yang berasal dari Jengka, Pahang. Mohd Ikmal mengakui berasa bersalah di atas kejadian yang menimpa seorang penghantar makanan. Mengikut cerita rider itu, kata Mohd Ikmal, penghantar makanan berkenaan sempat mengelak tetapi terjatuh berikutan keadaan jalan yang agak licin selepas hujan. “Nasib baik rider tu sempat mengelak dan tidak berlanggar dengan kereta tersebut. Saya diberitahu kereta tersebut terus beredar dari lokasi kejadian tapi dia kemudian dibantu oleh orang awam sebelum menyambung perjalanan menghantar pesanan saya. Dalam keadaan sebegitu, dia masih fikir tentang servis dia kepada pelanggan daripada keadaannya sendiri MOHD IKMAL “Kasihan rider tu, masa saya jumpa dia masih dalam keadaan terkejut. Dia menggigil satu badan. Saya ada tawarkan untuk hantar dia ke klinik tapi dia menolak secara baik kerana mahu pulang ke rumah bertemu isterinya. “Saya serba-salah bila dia berkali-kali minta maaf dengan saya sebab lambat hantar makanan. Dalam keadaan sebegitu, dia masih fikir tentang servis dia kepada pelanggan daripada keadaannya sendiri,” tambah Mohd Ikhmal yang merupakan anak kedua daripada empat beradik. Mohd Ikmal kagum dengan kegigihan seorang penghantar makanan. Sumber twitter @akuikmalhanif Bukan sekadar bersimpati dengan nasib malang yang menimpa penghantar makanan tersebut, malah pereka grafik itu turut berasa bersalah di atas kejadian yang berlaku. “Sebelum ni saya tak pernah buat pesanan delivery sebab saya sendiri ada motor. Tapi sebab keadaan cuaca tak begitu baik dan duduk di rumah kerana PKP, ia adalah pesanan yang pertama kali. Lagilah rasa bersalah. “Maaf abang rider, sebab saya... abang jatuh. Memang sedih tapi saya kagum dengan kegigihan sebagai frontliner buat masyarakat. Kotak berisi dua ketul ayam masih elok walaupun abang rider tu masih menggigil selepas hantar pesanan,” katanya. Respons daripada Grab Malaysia berhubung kejadian. Susulan perkongsian Mohd Ikmal yang menjadi tular, pengendali khidmat penghantaran tersebut, Grab Malaysia untuk perkhidmmatan GrabFood tampil memberi respons. “Hai Ikmal, jangan risau ye sebab rider sudah hubungi kami selepas mengalami kemalangan. Kami akan follow up dengan rider dan memberi bantuan untuk tuntutan insurans,” tulis Grab Malaysia menerusi akaun twitter @GrabMy sambil mendoakan penghantar makanan tersebut segera sembuh.