DALAM percintaan, mendapat restu daripada ibu bapa pasangan merupakan perkara yang sangat mengujakan. Bukan apa, ada individu yang terpaksa merahsiakan hubungan mereka kerana tidak mendapat persetujuan orang tua. Seorang gadis menerusi satu tweetnya meluahkan rasa gembira apabila ibu kepada teman lelakinya memuji hidangan nasi kerabu yang dihantar. ARTIKEL BERKAITAN: Setahun koma... remaja tetap setia menunggu berita gembira, tak sabar nak habiskan masa bersama seperti dulu – “Baru dua tahun kenal dah ngam” ARTIKEL BERKAITAN: Teruja bertukar sengsara! Gadis tergolek di pasar raya ketika sepupu rekod IG Story... rupa-rupanya ada bagusnya jatuh masa PKP! Ketika dihubungi mStar, Puteri Nur Asyura, 23, yang berasal dari Kuala Lumpur memberitahu bahawa ini merupakan kali pertama dia menghantar makanan ke rumah teman lelakinya, Afeeq Haiqal, 22. "Sebelum ni tak pernah hantar pun, saya duduk Setiawangsa, Kuala Lumpur manakala dia tinggal di Nilai, Negeri Sembilan. "Terkejut juga bila dengar ibu Afeeq puji makanan saya sedap. "Mana taknya, mak dia memang asal dari Kelantan boleh puji makanan orang lain sedap," ujar Syura yang bekerja sebagai ejen insuran. Tweet Syura pada Selasa mengundang perhatian netizen. Jelasnya lagi, dia bertambah gembira apabila ibu kepada teman lelakinya itu memberi 'lampu hijau' selepas mencuba nasi kerabu tersebut. "Mereka tinggal berempat, tapi saya hantar tiga bungkus nasi kerabu melalui Grab Delivery. "Afeeq ada beritahu saya yang nasi tu sedap sampai tak cukup untuk mereka sekeluarga. "Ibu Afeeq pun cakap sedap sangat, jarang ada orang nak buat macam tu," jelas Syura yang teruja menerima respon positif tersebut. Syura telah setahun lebih menjalinkan hubungan cinta bersama Afeeq. Syura yang gemar memasak baru sahaja memulakan perniagaan nasi kerabu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu. "Saya memang minat memasak, sejak berusia 15 tahun lagi mak dan nenek saya ajar cara nak masak lauk. "Waktu PKP ni pun takde kerja, saya jual nasi kerabu untuk cari pendapatan sampingan. Sekarang ni tak menang tangan. Kami berdua sahaja yang masak, paling banyak kami boleh hasilkan kurang daripada 50 bungkus sehari. PUTERI NUR ASYURA PENIAGA "Tak sangka selepas tweet tersebut tular, saya tak berhenti terima tempahan daripada orang ramai," kata Syura yang turut membuat servis penghantaran nasi kerabu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Tambahnya lagi, perusahaan nasi kerabu tersebut diusahakan sendiri oleh Syura bersama ibunya. "Sekarang ni tak menang tangan. Kami berdua sahaja yang masak, paling banyak kami boleh hasilkan kurang daripada 50 bungkus sehari. Syura teruja selepas mendapat 'green light' daripada ibu Afeeq. "Pelanggan yang dah order terpaksa tunggu 3-4 hari untuk penghantaran ke rumah mereka," ujar Syura yang merupakan anak kedua daripada empat beradik. Tweet yang dimuatnaik Syura pada Selasa lalu sehingga kini telah menerima 6,100 ulang kicau dan 18,600 tanda suka daripada netizen. Rata-rata meluahkan rasa cemburu mereka apabila air tangan Syura berjaya menambat hati ibu teman lelakinya. Syura menjalankan perniagaan nasi kerabu sewaktu tempoh PKP untuk memperoleh pendapatan sampingan. "Bestnya mak mertua sayang kita, belum kahwin lagi dah sayang apatah lagi dah kahwin," tulis seorang pengguna Twitter. "Comelnya tengok, mesti seronok dah dapat green light," ujar seorang gadis. "You dah la cantik, pandai masak pula tu. Bertambah sayang la mak mertua," tambah netizen lain.