suria

“Nah Raja, pergi beli tie!” - Rakan sekelas kongsi momen indah berkawan dengan Tengku Hassanal, darjah 1 dah pandai tolong orang

Medal wajah Tengku Hassanal masih lagi disimpan Faiz sehingga hari ini.

UMUM mengetahui Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memiliki keperibadian yang sangat murni dan berjiwa rakyat.

Malah sifat yang ada pada baginda berdua ada pada diri Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Keperibadian murni Tengku Hassanal turut didedahkan rakan sekelasnya menerusi satu bebenang di Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat tumpang gembira Tengku Hassanal tamat kursus ketenteraan, 'jelingan' Al-Sultan Abdullah paling mencuit hati

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak jadi isteri Tengku Hassanal kena pandai makan durian, gulai tempoyak, kena siap baju dari kepala sampai kaki” - Tunku Azizah

Perkongsian Raja Mohd Faiz Syazarim mengenai sikap Tengku Hassanal yang sering merendah diri dan tidak sombong dengan rakyat kebanyakan menjadi tular dengan mendapat lebih 16,800 ulang kicau dan 32,200 tanda suka.

Menurut Raja Mohd Faiz, dia merupakan rakan sekelas Tengku Hassanal semasa sama-sama menuntut di SK St Thomas, Kuantan, Pahang.



Posting Faiz tular di Twitter.

"Saya dan Tengku Hassanal satu kelas dari darjah 1 hinggalah darjah 3. Masa hari pertama sekolah tu parents semua datang. Tengku Abdullah (Al-Sultan Abdullah) dan Tunku Azizah ada sekali masa tu.

"Masa tu barulah tahu Tengku Hassanal ni anak raja. Bila masuk dalam kelas Tengku Abdullah beritahu cikgu suruh tengok-tengokkan Tengku Hassanal. Baginda siap beritahu kalau Tengku Hassanal buat perangai rotan dia.

"Sampai macam tu sekali. Kiranya tak ada gap antara orang biasa dengan anak raja. Tengku Hassanal masa tu pun memang berkawan dengan semua orang, tak sombong. Masa pergi kantin pun sekali malah kami pernah duduk semeja," katanya kepada mStar.

Masa rehat time nak beli tie sebab dah dilantik pengawas masa tu saya tak cukup duit. Tengku dengar keluhan saya. Tiba-tiba dia ambil beg duit dari bodyguard dan kata 'nah Raja! Pergi beli tie'.

RAJA MOHD FAIZ SYAZARIM

BEKAS RAKAN SEKELAS

Walaupun hanya mengenali Tengku Hassanal selama tiga tahun, Raja Mohd Faiz atau lebih mesra disapa Faiz berkata banyak momen indah dicipta bersama Tengku Mahkota Pahang itu.

"Saya masih lagi ingat semasa dijemput ke istana masa birthday Tengku Hassanal. Dengan tak bawa baju spare untuk mandi tiba-tiba Tengku Muhammad tolak masuk dalam kolam.



Keluarga diraja ini amat disenangi rakyat jelata.

"Lepas tu Tengku Hassanal datang dan tanya 'Raja ada baju lebih tak?'. Then saya kata 'tak bawa Tengku'. Tengku Hassanal pun ajak masuk bilik dia sambil bibik dia follow dan bagi baju dia untuk saya pakai.

"Masa rehat time nak beli tie sebab dah dilantik pengawas, saya tak cukup duit. Tengku dengar keluhan saya. Tiba-tiba dia ambil beg duit dia dari bodyguard dan kata 'nah Raja! Pergi beli tie'.

"Masa tu saya terkedu. Dengan baju yang Tengku bagi tu pun dia tak bagi pulang balik. Ditambah pula dengan wang RM5 diberikan untuk beli tie. Memang segan sangat tapi Tengku memang suka tolong orang dari sekolah rendah lagi," katanya.

Malah pemuda berusia 25 tahun itu berkata dia bersama rakan baiknya turut terkejut apabila disapa Tengku Hassanal sewaktu berada di sebuah kafe pada 2013.

"Kebetulan saya dengan kawan baik tengah lepak dekat Starbucks. Masa tu nampak kereta besar dekat lobi, then nampaklah Tengku Muhammad masuk dalam mall. Last sekali nampak Tengku Hassanal keluar dari kereta.

"Kebetulan dia terpusing arah kami. Terus dia datang dan tegur 'ni Habeeb kan, Raja kan?'. Dia ingat lagi kami. Tak sangka dia yang tegur kami dulu. Kami pun terkejut. Kami sempat borak-borak dan dia siap belanja kami lagi. Segan jugalah," katanya.



Faiz turut berkongsi mesej yang diterima daripada Tengku Hassanal di IG.

Malah Faiz turut mendedahkan dia masih lagi menyimpan barangan kenangan daripada Tengku Hassanal semasa darjah 3.

"Masa darjah 3 saya join kelab bola Tengku Hassanal FC. Jadi siapa yang join akan dapat baju-T dengan medal.

"Malangnya baju-T tu saya tak tahu letak kat mana sebab dah pindah rumah cuma medal ada gambar Tengku Hassanal masih saya simpan sampai hari ini," katanya.

Selepas perkongsiannya tular, Faiz berkata dia terkejut apabila menerima mesej Tengku Hassanal di Instagramnya.

"Terkejut dapat mesej dia di IG. Memang tak expect dia akan reply pasal tweet tu. Dia cakap terima kasih dan dia pun dah lupa kejadian tu. Cuma dia masih ingat lagi masa pertemuan kami pada 2013.

"Saya sebenarnya just nak cerita pengalaman bersama Tengku Hassanal selepas tengok satu video mengenai dirinya yang dikongsi seorang netizen di Twitter. Tengok-tengok tweet saya tu dah viral," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain