suria

Misteri kek terbelah 3 ketika adik ipar menjerit... lebih aneh pelanggan repeat order - “Saya menggigil trauma, dugaan apakah ini?”

Insiden kek pandan kukus yang terbelah tiga menjadi tular di media sosial. Foto Norfadilah Zainal Abidin

SIAPA yang tidak teruja melihat kek yang dibuat sendiri nampak cantik dan gebu dari luarannya.

Namun, perasaan teruja itu tidak bertahan lama apabila berlaku sesuatu terhadap kek pandan kukus yang dihasilkan oleh seorang wanita sebaik ia dikeluarkan dari loyang.

Menerusi satu video yang dikongsi oleh Norfadilah Zainal Abidin di halaman Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official sehingga menjadi tular, kek yang dibuatnya itu berubah sekelip mata apabila ia terbelah tiga.

ARTIKEL BERKAITAN: “Biarlah saya dan keluarga saja yang makan” - ‘Derhaka’ tambah perisa coklat, biskut raya dilabel 18SX

ARTIKEL BERKAITAN: Awas terbeli kuih raya terowong! Pelanggan akui peniaga pandai menipu selepas buka balang ‘penuh’ biskut Red Velvet

Bercakap kepada mStar, wanita berusia 35 tahun itu memberitahu, kejadian melucukan itu berlaku pada minggu lalu dan hanya dikongsikan di media sosial, minggu ini.



Dila (kanan) bersama adik iparnya berdepan pengalaman melucukan membabitkan kek kukus.

Lebih mesra disapa Dila, dia sebenarnya membuat kek secara sambilan sejak awal tahun lalu, dan kek ‘terbelah’ itu sepatutnya dihasilkan untuk salah seorang pelanggannya.

“Saya memang buat kek pandan dan coklat kukus berdasarkan permintaan dan pesanan pelanggan. Ramai juga yang repeat order, termasuk seorang kakak ni yang menjadi pelanggan setia saya.

“Suatu petang, dia pesan nak sebiji kek pandan kukus bersaiz 10 inci x 3 inci esoknya pukul 1 petang. Lewat malam tu saya buat sampai pukul 2 pagi, tapi entah kenapa tak menjadi... atas kek nampak cantik, tapi dalam tak berapa masak,” katanya kepada mStar.



Dila sering menyediakan kek pandan kukus untuk pelanggannya.

Dila yang berasal dari Taiping, Perak berkata, cubaan keduanya untuk membuat kek itu pada pukul 5 pagi juga tidak berjaya, sebelum berhenti sementara menyambung cubaan kali ketiga.

“Cubaan ketiga buat kira-kira pukul 7 pagi. Saya dan adik ipar biarkan ia sejuk dahulu untuk bagi teksturnya lebih lembut. Masa tu dengan tak cukup tidur, memang penat sangat.

“Kemudian selepas beberapa jam, saya pun keluarkan kek daripada loyang tu. Agaknya terlalu excited sebab kek nampak menjadi, adik ipar saya terus menjerit sebelum kek tu terbelah tiga dalam masa beberapa saat.

“Memang kek ni buat surprise kat saya sebab dalamnya masak. Masa tu dah pukul 12.30 tengah hari dan saya sepatutnya hantar kek tu pukul 1 petang. Ya Allah, apakah dugaan yang menimpa saya masa tu,” ujarnya yang kini menetap di Kuala Lumpur.



Dila mula menjual kek secara sambilan sejak Januari lalu.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, apa yang lebih mengejutkan apabila pelanggan berkenaan masih mahukan kek kukus yang tidak menjadi tu.

“Saya siap hantar video kek tu terbelah tiga kat kakak tu beritahu masalah saya dan minta maaf. Sebaliknya, kakak tu masih nak kek kukus tu tapi disuruh saya potong siap-siap dan saya bagi harga diskaun,” katanya.

Bukan saya tak pernah buat kek yang sama sebelum ni, kalau tak jadi pun cuma lembut sedikit tapi bukan sampai terbelah. Ni pertama kali dan hingga sekarang tak tahu puncanya, macam berpuaka... misteri sungguh!

DILA

Debaran Dila yang merupakan petugas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu bagaimanapun terus memuncak apabila pelanggan yang sama menghubunginya semula beberapa jam kemudian.

“Kakak tu call saya dah beritahu dia nak order sebiji kek lagi, tapi dah pesan kali ni jangan terbelah lagi. Ya Allah, masa tu saya menggigil sampai trauma, dugaan apakah ini?



Dila akhirnya berjaya menyempurnakan kek kukusnya dalam cubaan keempat selepas insiden kek terbelah tiga.

“Bukan saya tak pernah buat kek yang sama sebelum ni, kalau tak jadi pun cuma lembut sedikit tapi bukan sampai terbelah. Ni pertama kali dan hingga sekarang tak tahu puncanya, macam berpuaka... misteri sungguh! Saya sampai terfikir adakah saya patut bersara daripada buat kek.

“Malam tu saya buat kek seperti yang diminta dan kali ini saya naikkan sedikit suhu semasa mengukus. Alhamdulillah, selepas cubaan keempat sejak malam sebelumnya akhirnya menjadi juga.

Moral of the story, jangan terlalu seronok dulu nampak kek tu elok. Bawa bertenang, jangan teruja sekarang lepas tu bertukar duka. Apa pun saya belajar daripada pengalaman dan tak serik pun sebab alhamdulillah memang ramai order kek kukus ni dan berharap agar terus dipermudahkan urusan saya selepas ini,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain