suria

Lelaki jual tudung sangkut di handle motor kongsi kisah sayu... plan tak menjadi, pulang awal sebab malu - “Tak ada orang beli...”

Abang Tudung berterima kasih di atas keprihatinan rakyat Malaysia dan menjelaskan tujuan sebenarnya menjual tudung.

DUDUK di tembok sebuah stesen minyak di utara tanah air, seorang bapa terpaksa mencari rezeki menjual tudung di sebalik motosikal yang ditongkatnya.

Tindakannya menggantung tudung jualan pada penyidai kecil yang disangkut pada pemegang motosikalnya meraih perhatian, terutama apabila kadbod di tempat duduk memaklumkan jualan tersebut untuk membeli susu dan lampin anaknya.

Walaupun identitinya menjadi tanda tanya kerana tidak kelihatan di dalam foto yang tersebar di media sosial, tetapi ia mengundang simpati dan belas ihsan masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Demi anak bapa sanggup jual tudung, gantung pada ‘handle’ motor... emoji senyum beri 1001 maksud - “Nak raya nanti macam mana pula?”

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan derma, lelaki ini sebenarnya nak jual buah pinggang! Tiada MyKad nak mohon bantuan, “Tak kisah bayar berapa asalkan...”

Susulan kisahnya tular, lelaki berkenaan berkongsi kisah hidupnya kepada mStar. Segalanya bermula sejak dia pulang ke kampungnya di Sungai Dua, Pulau Pinang dari Kuala Lumpur pada awal Mac lalu, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa pada 18 Mac lalu.



Kisah Abang Tudung' berniaga di motosikalnya dekat sebuah stesen minyak menjadi tular di media sosial. Foto Facebook Alin Taharin

Hanya mahu dikenali sebagai ‘Abang Tudung’, pemuda berusia 29 tahun itu berkata, dia sekeluarga menziarahi bapanya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan uzur.

“Mengikut perancangan awal, saya bersama isteri dan dua anak mahu kembali ke Kuala Lumpur tapi tak jangka pula ada PKP yang melarang perjalanan merentas negeri.

“Bila dah lama sangat di kampung dan tidak berniaga disebabkan PKP, jadi saya perlu memikirkan sesuatu untuk mencari duit kerana simpanan semakin kering dan tak mahu menyusahkan keluarga saya,” katanya.

Abang Tudung berkata, dia sebenarnya berniaga tudung secara kecil-kecilan sepanjang Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) yang dimulakan sejak tahun lalu.

“Secara kebetulan, saya memang simpan sedikit bekalan stok tudung baharu di dalam kereta untuk standby. Syukur ada sumber untuk saya cari duit buat keluarga.

“Sebab tu saya buat kadbod beritahu yang saya nak jual tudung untuk beli susu dan lampin anak, dan sebenarnya juga untuk membeli keperluan asas,” katanya sambil menambah isterinya merupakan suri rumah dan dua anaknya, masing-masing berusia dua tahun dan lima bulan.



Tudung yang dijual, digantung pada sebelah pemegang motosikal.

Anak sulung daripada lima beradik itu bagaimanapun hanya sempat berniaga selama sejam dekat stesen minyak berkenaan kerana perasaan malu yang menebal dalam dirinya.

“Tak ada orang yang beli sebab mereka ingat saya nak minta sedekah. Ada yang datang ke motor saya tapi bukan nak beli, sebaliknya nak bagi sumbangan.

“Saya terharu dan sebak sebab tak sangka kisah saya jadi viral dan di atas keprihatinan dan sokongan masyarakat. Tapi pada masa sama rasa takut pun ada sampai saya tak berani nak keluar rumah,” katanya yang menetap di Kuala Lumpur bersama keluarga mentuanya.

Saya bukan meminta dan bantulah mereka yang lebih memerlukan. Saya menjual untuk mencari rezeki, janji usaha dan rezeki yang halal

ABANG TUDUNG

Dia hanya keluar rumah dua hari kemudian selepas dihubungi Mutiara Food Bank yang merupakan program kebajikan dengan kerjasama Kerajaan Pulau Pinang untuk meringankan beban masyarakat dan membantu golongan sasar yang kurang berkemampuan.

Menurut Abang Tudung, dia menerima sumbangan berupa susu dan lampin bayi untuk anaknya serta barangan keperluan asas daripada Mutiara Food Bank yang mahu membantunya susulan kisahnya tular di media sosial.



Wakil Mutiara Food Bank, Afif Fahimi Zulkifli (tengah) memberi sumbangan susu, lampin bayi dan keperluan asas kepada Abang Tudung (kanan). Turut serta pemberi maklumat yang merupakan penghantar Foodpanda, Muhammad Hafiz Muhammad Azhar.

Dia yang merancang untuk pulang ke Kuala Lumpur selepas mendapat pelepasan untuk pemeriksaan kesihatan anak sulungnya terpaksa melupakan hasrat untuk berniaga di kedai makan mahupun menjual tudung di bazar Ramadan di Jalan TAR.

“Saya tak lagi menumpang berniaga makan sebelum balik ke kampung kerana perselisihan faham dengan pemilik restoran dan kerajaan pula memutuskan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan beroperasi sepanjang PKP.

“Sepatutnya saya akan bantu kawan jual kuih raya di bazar Ramadan. Jadi, dalam keadaan sekarang, perancangan saya adalah menjual tudung dan kuih raya secara online dan penghantaran.

“Selagi diberi kekuatan, saya akan cuba ikhtiar sendiri. Bukan saya tak nak terima sumbangan tapi di luar sana lebih ramai yang kurang bernasib baik daripada saya.

“Saya bukan meminta dan bantulah mereka yang lebih memerlukan. Saya menjual untuk mencari rezeki untuk keluarga, yang penting usaha dan rezeki yang halal,” katanya sambil menambah bahawa permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang dibuatnya masih dalam proses.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain