REZEKI tidak pernah salah alamat. Begitulah ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan situasi dialami seorang penghantar makanan yang menerima upah RM100 meskipun caj penghantarannya hanya bernilai RM5. Bercerita lebih lanjut kepada mStar, Muhammad Zulhairi Abdul Malek, memberitahu dia terkejut dengan upah yang diterimanya selepas menghantar kek kepada pelanggan yang dipesan daripada seorang peniaga. ARTIKEL BERKAITAN: Pandai order, aniaya orang pun pandai! Rider kena game... terpinga-pinga tengah panas cari rumah ‘ghaib’ pelanggan ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan batal tempahan, rider Foodpanda terdetik bagi fastfood kepada kucing jalanan sebelum akhirnya diberi kepada insan yang sangat lapar "Petang Khamis tu hujan turun sangat lebat. Pelanggan ada beritahu saya untuk tunggu dulu hingga hujan reda. "Saya kesian pula sebab dah 45 minit dia tunggu, jadi saya pun redah juga hujan lebat dalam pukul 4:30 petang, sebab saya pun nak balik rumah terus selepas selesai buat penghantaran," ujar Zulhairi yang menetap di Cheras. Kos sebenar penghantaran tersebut hanyalah RM5. Tambahnya lagi, jarak antara kedua-dua rumah tersebut hanya dua kilometer sahaja. Namun disebabkan hujan, makanan tersebut tiba sedikit lewat. "Sewaktu saya nak ambil kek daripada peniaga tersebut, dia ada beri dua bungkusan. Satu untuk pelanggan dan satu lagi untuk saya. Masa tu saya tak perasan pun ada sampul. "Ketika saya hantar kek di rumah pelanggan pula, tuan rumah ada berikan saya satu sampul. Tak sempat saya nak cakap terima kasih masa tu sebab hujan sangat lebat," jelas Zulhairi yang sudah setahun bekerja sebagai penghantar makanan. Saya rasa kesian bila pelanggan dah tunggu lama, tapi ada juga pelanggan yang tak faham dan merungut apabila makanan yang tiba agak lewat. ZULHAIRI Selepas selesai menghantar makanan, Zulhairi singgah di sebuah perhentian bas untuk makan kek yang diterimanya sementara menunggu hujan reda. "Sewaktu nak makan tu, saya tengok dalam kedua-dua sampul ada RM50. Terkejut juga saya pada waktu. "Banyak betul mereka bagi sedangkan Alam Damai ke Damai Perdana tidak jauh mana. Mungkin rezeki saya sebab hantar makanan dalam hujan..." ujar Zulhairi yang memberitahu dia basah kuyup pada waktu itu kerana tidak memakai baju hujan. Sebahagian perbualan Zulhairi bersama pelanggannya. Dalam pada itu, Zulhairi mengingatkan kepada rider-rider yang lain untuk berhati-hati ketika menghantar makanan lebih-lebih sewaktu musim hujan. "Saya sendiri tak ambil tempahan kalau hujan lebat sangat. Kita tak tahu keadaan jalan tu macam mana, berlubang atau tidak. "Nak redah lopak air pun risau juga sebab takut air tu dalam dan boleh rosakkan enjin motosikal, ada pelanggan yang faham, mereka akan suruh tunggu sehingga hujan reda. "Saya pula yang rasa kesian bila pelanggan dah tunggu lama, tapi ada juga pelanggan yang tak faham dan merungut apabila makanan yang tiba agak lewat," beritahu pemuda yang berusia 27 tahun itu. Perkongsian Zulhairi di laman Facebook sehingga kini telah menerima 600 tanda suka daripada netizen dan rata-rata memuji tindakan pelanggan tersebut. "Murah rezeki awak bro nak sambut Ramadan," tulis seorang pengguna Facebook. "Kesimpulannya bila kita tak merungut dan buat kerja dengan ikhlas, insyaAllah ada rezeki lain yang datang," ujar seorang pemuda. "Kalau aku bang, aku terus nangis rasanya sebab dalam poket aku ada 70 sen je," tambah netizen lain.