suria

Asyik duet bersama Shiha Zikir di klinik, doktor gigi ditanya apa dah jadi dengan social distancing? – “Ada pesakit perempuan sanggup datang dari Kelantan”

Dr Hafiz menerima kritikan susulan video nyanyiannya bersama Shiha Zikir di klinik dimuat naik di Twitter ketika PKP.

GARA-gara video menyanyi berduet di klinik dan dikongsi di laman sosial semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang doktor dikecam netizen.

Walaupun rata-rata netizen memuji kemerduan suara doktor lelaki itu, tetapi ada yang mempertikaikan duetnya bersama penyanyi, Shiha Zikir yang dilihat tidak mengamalkan penjarakkan sosial.

“Mentang-mentanglah duet dengan artis, lupa segala social distancing,” komen seorang netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Sado pernah takut rawat pesakit Covid-19, kini sedia kendali ‘kluster kayangan’ - “Saya sebenarnya lebih sasa sebelum PKP”

ARTIKEL BERKAITAN: Nak sangat merasa masuk zon merah Covid-19, persoalan Dr Say akhirnya terjawab - “Ibarat zon perang dengan kawat berduri... cukup menyeramkan”

“Nak menyanyi dalam klinik pula, dah la dalam PKP. Ingatkan rakyat biasa saja yang tak faham. Golongan profesional pun sama juga,” sindir netizen lain.



Masih bertugas sepanjang tempoh PKP, namun hanya untuk rawatan kecemasan.

Doktor berkenaan, Dr Muhammad Hafiz Zainal berkata, video duetnya bersama Shiha Zikir itu sebenarnya dirakamkan sebelum PKP dikuatkuasakan dan ia dikongsikan terlebih dahulu di akaun Instagramnya pada 13 Mac.

Malah, pemuda berusia 27 tahun itu menjelaskan bahawa video tersebut dirakamkan selepas waktu bertugas dan ketika itu penyanyi berkenaan merupakan pelanggannya.

“Kebanyakan video nyanyian saya dikongsi di Instagram dan semasa PKP ni lebih banyak video saya sebab ramai duduk di rumah, termasuk yang request saya nyanyi pelbagai lagu.

“Sebelum ini, saya tidak aktif di Twitter dan mula berkongsi semula video di Instagram menerusi Twitter. Saya pun tidak memaklumkan kepada netizen bahawa video berkenaan telah dirakamkan sebelum PKP sehingga ramai yang salah faham,” ujar doktor gigi yang mesra disapa Dr Hafiz kepada mStar.



Dr Hafiz terlibat dalam bidang perubatan sejak 2018.

Dalam pada itu, Dr Hafiz menjelaskan bahawa perubatan pergigian masih beroperasi sepanjang tempoh PKP tetapi hanya menumpukan rawatan kecemasan.

Walaupun kebanyakan pengikutnya di laman sosial lebih mengenalinya sebagai doktor, tetapi anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu turut menceburi dalam bidang nyanyian sejak beberapa tahun lalu.

Malah, dia yang terlibat dalam bidang perubatan sejak 2018 pernah menyertai program Bintang RTM 2018 dan merangkul tempat ketiga dan persembahan terbaik, dan sehingga kini telah mengeluarkan empat single.



Dr Hafiz turut meminati bidang nyanyian.

Anak ketiga daripada empat beradik ini bagaimanapun menjelaskan, dua bidang pergigian dan nyanyian yang diceburinya adalah seiring.

“Saya tidak kisah pun kalau ada yang kenal saya sebagai doktor, begitu juga yang kenal saya kerana nyanyian. Dua bidang ini memang minat saya,” tambahnya.

Siapa pun pesakit saya... saya akan merawat mereka secara profesional. Jika mereka selesa dengan saya, ia petanda bahawa masyarakat mementingkan penjagaan gigi yang mana sebelum ini doktor gigi sering menjadi ketakutan segelintir mereka.

DR HAFIZ

Susulan video nyanyian doktor yang bertugas di Putrajaya semakin mendapat perhatian semasa PKP ini, rata-rata netizen sanggup menjadi pesakitnya disebabkan rupanya yang kacak selain bakatnya menyanyi dan kepakaran dalam perubatan pergigian.

Menurut Dr Hafiz yang bercita-cita untuk mempunyai rangkaian klinik sendiri selain membuat persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu, dia mengakui terdapat pesakit dalam kalangan peminatnya malah terdapat permintaan di klinik supaya dia sendiri melakukan rawatan.



Tidak kisah dikenali sebagai doktor mahupun penyanyi kerana kedua-dua bidang diceburinya seiring.

“Saya juga pernah terima kehadiran seorang pesakit perempuan berusia awal 20-an yang sanggup datang dari Kelantan untuk menerima rawatan daripada saya di Putrajaya.

“Tapi pesakit ni malu-malu dan saya hanya tahu dia merupakan peminat saya selepas lagu saya berkumandang menerusi playlist yang dimainkan.

“Siapa pun pesakit saya... saya akan merawat mereka secara profesional. Jika mereka selesa dengan saya, ia petanda bagus bahawa masyarakat mementingkan penjagaan gigi yang mana sebelum ini doktor gigi sering menjadi ketakutan segelintir mereka,” katanya.



Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain