suria

Kek puding mangga RM7 bikin ramai terliur, kenapa yang teringin nak order asyik mengeluh? - “Mulanya ibu suka-suka sahaja...”

Kek puding mangga ini terdiri daripada kek span, meringue, puding dan topping buah mangga madu.

BAGI penggemar manisan seperti kek puding mangga, harga RM7 sepotong pastinya sangat tidak masuk akal.

Mana nak dapat kek berserta topping mangga yang banyak semurah ini di kawasan Lembah Kelang?

Menurut Muhammad Rie Raihan Mohd Bakri, 20, ibunya, Junainah Abdul Basar, 41, menjual kek tersebut hanya RM7 sepotong di Bandar Penawar, Johor.

ARTIKEL BERKAITAN: “Suami saya tengok pun tergelak” - Bentuk roti ‘lain macam’... ramai terhibur tapi ada yang anggap memalukan

ARTIKEL BERKAITAN: Saya dapat rasa kek batik termahal di dunia” - iPhone pemuda ‘liat’ masuk dapur tercelup coklat... kakak tetap untung!

Ia jauh lebih murah berbanding harga pasaran yang sudah pastinya sekitar belasan ringgit sepotong.



Kek Butter Lumut dan Choc Oreo yang berharga RM7 sepotong paling banyak mendapat tempahan.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa sebagai Raihan itu juga terkejut pada mulanya apabila ibunya ingin menjual kek pada harga semurah itu.

"Ibu mula berniaga sejak September tahun lalu dan secara keseluruhannya ada lapan perisa.

"Cheesy mango ni perisa baharu, ibu tak tahu nak letak harga berapa sebab ini kali pertama dia hasilkan, jadi dia hanya letak harga yang sama seperti kek lain iaitu RM7 sepotong.

"Rasa macam tak sesuai RM7 sebab terdapat beberapa lapisan antaranya ada kek span, meringue, puding dan bahagian topping pula ialah buah mangga madu yang dipotong dadu," ujarnya.



Raihan (kiri) kerap membantu ibunya menyiapkan tempahan kek.

Mengulas lebih lanjut mengenai harga kek tersebut yang murah, Raihan tidak menyangka bahawa kek puding ibunya mendapat perhatian warga Twitter.

"Disebabkan itu kali pertama ibu hasilkan, dia tak kira lagi berapa modal sebenar.

"Mungkin selepas ni ibu akan letak harga RM10 untuk kek puding mangga ini tetapi harga kek yang lain masih dikekalkan seperti biasa," ujar Raihan yang sedang menuntut di Universiti Teknologi Petronas dalam jurusan Petroleum Geoscience.

Pada mulanya hanya buat suka-suka sahaja di rumah. Peralatan pun tidak terlalu banyak sebab ibu hanya buat bila ada tempahan

RAIHAN

Tambahnya lagi, selepas tweet tersebut tular, ibunya terpaksa meningkatkan pengeluaran kek sebanyak satu kali ganda.

"Pada mulanya hanya buat suka-suka sahaja di rumah. Peralatan pun tidak terlalu banyak sebab ibu hanya buat bila ada tempahan.

"Ibu memang tak buat banyak sebab tak cukup tangan nak siapkan. Nak siapkan pun ambil masa yang lama kerana kek span itu dikukus dan bukannya dibakar.

"Setiap hari ibu hasilkan dalam 5-6 loyang kek atau sebanyak 24 potong sahaja. Selepas viral ni tak berhenti orang buat tempahan dan paling banyak ibu boleh hasilkan adalah 48 potong sahaja," beritahu Raihan yang turut membantu ibunya di dapur menghasilkan kek puding tersebut.



Tweet Raihan pada Selasa lalu mendapat perhatian netizen.

Dalam pada itu, Raihan menerima banyak komen daripada netizen berkenaan rumahnya di Bandar Penawar, Johor, itu agak jauh untuk mereka membuat tempahan.

"Ramai cakap tak boleh nak tempah sebab mereka duduk jauh. Ada juga pelanggan yang tinggal di Kuala Lumpur yang buat tempahan untuk diberikan kepada sepupu mereka yang tinggal di sekitar Bandar Penawar.

"Kawan-kawan di universiti pula ramai yang dah minta saya buat di sana sebab tengok rupa kek tu sedap sangat.

"Saya perlu mahir menghasilkan kek terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaan di sana, takut rasa tak sama dengan apa ibu buat," ujar Raihan yang memberitahu ibunya turut mengambil tempahan membuat kek hari jadi, kuih raya dan muruku.



Ibu Raihan turut mengambil tempahan kek hari jadi, biskut raya serta muruku.

Gambar kek menggiurkan yang dikongsi Raihan pada Selasa lalu itu berjaya mencuri perhatian warga Twitter dengan memperoleh sebanyak 17,500 tanda suka dan 9,000 retweet.

"Harga tak sama dengan rupa. Semoga ibu awak dimurahkan rezeki," tulis seorang pengguna Twitter.

"Setiap kali lalu timeline mesti rasa nak order, bila mengenangkan lokasi... jauh betul," ujar seorang gadis.

"OMG murahnya, ni kalau orang yang famous jual confirm jadi harga Yahudi terus," tambah netizen lain.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
puding, kek, mangga, murah

Artikel Lain