suria

“Mangkuk tu betul-betul buat kecoh” - Buka puasa paling menghiburkan, pelanggan gelak non stop

Perkongsian seorang pemuda menjadi tular gara-gara mangkuk pencedok nasi berwarna pink.

SIAPA yang tidak suka makan nasi lemak?

Sajian tradisi masyarakat Melayu itu bukan sahaja menjadi pilihan untuk bersarapan, malah sesuai untuk dinikmati pada bila-bila masa sahaja.

Keenakan nasi ditanak dengan santan yang disulami aroma wangi daun pandan, dilengkapi pula dengan sambal ikan bilis, kacang goreng, hirisan timun dan telur, pasti membuatkan si penggemarnya kecur liur.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tidak menghidap penyakit tu” - Timun, lauk tersusun rapi... penjual nasi lemak tak tahu apa itu OCD

ARTIKEL BERKAITAN: Memang 'rare'... mat salih jual nasi lemak RM3 licin dalam 2 jam, siap mengaku guna ramuan rahsia!

Sama seperti penggemar nasi lemak yang lain, Muhammad Afiq Azizi sudah beberapa kali menjadikan hidangan itu sebagai juadah untuk berbuka puasa.

Namun pemuda ini sama sekali tidak menyangka dia akan mendapat 'hadiah istimewa' sewaktu membeli nasi lemak baru-baru ini, iaitu mangkuk pencedok nasi!

"Jarang orang hiburkan aku masa berbuka ni. Tapi hari ini before berbuka, aku gelak non stop. Sebab terkejut hahahaha ni memang ada atau free gift? Confirm brader ceduk nasi tu dok pening mana hilang mangkuk dia," tulis Muhammad Afiq pada perkongsian di Twitter sambil memuat naik gambar 'hadiah istimewa' berkenaan.



Perkongsian Afiq (kanan) menjadi tular di Twitter.

Perkongsian itu mencuit hati netizen sehingga meraih 32,000 retweet dan 27,700 like, selain dibanjiri dengan komen lucu netizen.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pemuda yang senang disapa dengan panggilan Afiq ini berkata, dia hanya menyedari kewujudan 'hadiah' tersebut sewaktu mahu memanaskan nasi lemak yang dibelinya sebelum berbuka puasa.

"Saya beli nasi lemak ini dari kedai kawan saya, dia memang ada bisnes nasi lemak dengan keluarganya. Masa beli memang tak perasan... masa buka pek kotak untuk panaskan nasi lemak tu baru nampak.

"Saya terus Whatsapp kawan saya tu, dan beritahu pasal perkara tersebut. Saya bergurau dengan dia dan tanya 'mangkuk ni nak bagi free ke?'

"Dia minta maaf sebab mungkin staf kedainya tak perasan. Saya tanya 'nak pulangkan semula tak', tapi dia suruh saya simpan saja. Jadi mangkuk pink tu memang ada dekat rumah saya. Tapi apa pun, selamat bawah tu ada nasi,"ujarnya.

Niat saya memang nak kongsi benda yang pada saya lawak... saya hanya fokus pasal abang yang cedok nasi tu saja, pasti tercari-cari mangkuk pink tu.

MUHAMMAD AFIQ AZIZI

PELANGGAN

Tambah pemuda berusia 24 tahun ini, posting tersebut dibuat tidak lebih daripada sekadar mahu berkongsi perkara lucu, dan tidak bermaksud sebaliknya.

"Kawan saya OK saja. Selepas muat naik di Twitter, saya terfikir juga bimbang dia salah faham, lagi-lagi saya sendiri pun tak sangka boleh viral... jadi saya terus beritahu dia.

"Tapi dia memang OK. Niat saya memang nak kongsi benda yang pada saya lawak... saya hanya fokus pasal abang yang cedok nasi tu saja, pasti tercari-cari mangkuk pink tu.

"Lagipun itu mangkuk saja... bukan benda kotor seperti rambut dan lain-lain. Alang-alang viral, saya terus promote bisnes nasi lemak dia sekali, iaitu Empirenasilemak," ujarnya.

Cerita Afiq, dek kerana perkongsian mangkuk pink tersebut menjadi tular, dia diusik oleh rakan-rakannya kerana menempa 'populariti' secara tidak sengaja.

"Itulah... mereka usik cakap pasal mangkuk, tak pasal-pasal saya famous. Mangkuk tu betul-betul buat kecoh," ujarnya sambil ketawa kecil.



Ayam goreng yang diperap dengan rempah istimewa menjadi signature nasi lemak yang dijual oleh Empirenasilemak. Foto: IG Empirenasilemak

Bercerita lebih lanjut, Afiq berkata dia sememangnya menggemari nasi lemak yang dijual oleh rakannya itu kerana ia mempunyai keenakan tersendiri, terutama pada ayam gorengnya.

"Sejak dulu lagi memang suka beli nasi lemak kawan saya ni, sebab ayam goreng dia... cara dan rasa perapan tu buatkan nasi lemak tu sedap.

"Sebelum ini setiap tahun mereka berniaga di bazar ramadan di sekitar Subang Jaya, tapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka beroperasi dari rumah sahaja," ujarnya yang merupakan seorang penasihat jualan Proton.



Antara komen netizen yang terhibur dengan perkongsian Afiq.

Adat apabila sesuatu perkongsian sudah tular, pasti terselit komen negatif daripada segelintir.

"Ada juga yang komen, kata mereka posting dan gambar itu seperti dikitar semula. Seolah-olah saya guna gambar orang lain dan muat naik di akaun saya untuk mendapatkan lebih banyak retweet, dan ambil kesempatan itu untuk promote bisnes yang saya usahakan kecil-kecilan dengan teman wanita.

"Saya boleh saja muat naik gambar mangkuk pink itu semula sebagai bukti ia masih di rumah, tapi saya malas nak memanjangkan perkara tersebut. Biarlah mereka dengan tanggapan sendiri," akhirinya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain