suria

Dah lebih 5 tahun rumah arwah Tokmak kosong, bahagian dapurnya tiba-tiba terang - “Malam tu juga pakcik, abang saudara pergi periksa”

Bahagian dapur di rumah arwah Tokmak terpasang meskipun tiada penghuni. Foto Noor Shakina Ismail

BEBERAPA keping gambar rumah tinggalan arwah nenek seorang gadis, mengundang misteri.

"Dah hampir lima hingga enam tahun tak balik rumah arwah Tokmak. Tiba-tiba abang potong rumput hantar ni. Padahal bil api air semua dah kena potong," tulisnya yang merujuk kepada lampu dapur rumah berkenaan dipasang meskipun tiada penghuni.

Perkongsiannya di laman sosial menjadi tular sehingga menimbulkan perasaan seram dalam kalangan netizen, dengan pelbagai andaian dan tafsiran dibuat.

ARTIKEL BERKAITAN: Seram sejuk rumah terbuka Hari Raya muncul 'tetamu tak diundang',"Rambut mengerbang, duduk atas balang kuih raya"

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kelibat di tingkap terbongkar, gadis dedah adiknya sanggup patah balik kerana 'hijab terbuka', "Kucing tenung lama-lama, saya meremang"

Bercakap kepada mStar, gadis berkenaan, Noor Shakina Ismail tampil menjelaskan bahawa rumah arwah neneknya yang dipanggil Tokmak itu tidak berpenghuni selama bertahun-tahun, malah sebelum nenek sebelah ibunya itu meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu.



Perkongsian Shakina mengenai kejadian di rumah arwah Tokmak menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

Gadis berusia 25 tahun itu memberitahu, ini kerana adik-beradik ibunya seramai lapan orang telah berkeluarga dan masing-masing mempunyai rumah sendiri.

"Sebelum arwah Tokmak meninggal, dia duduk di rumah keluarga saya di Kuala Lumpur. Jadi Tokmak memang duduk di Kuala Lumpur bersama anak-anaknya secara bergilir.

"Selepas pemergian Tokmak, rumah itu jarang sekali dijenguk. Kami akan datang bila ada musim buah, kadang-kadang ada juga masuk rumah periksa semua, sambil bersihkan kawasan persekitaran.

"Bekalan air dan api memang tidak disambungkan kerana selalu melawat sekejap sahaja. Sebelum ni, semuanya baik-baik sahaja, tiada yang pelik-pelik berlaku," katanya kepada mStar sambil menambah rumah arwah Tokmak terletak di Johor.



Lakaran bulatan menunjukkan bahagian dapur di rumah arwah Tokmak terpasang.

Shakina berkata, gambar-gambar tersebut dihantar pada malam Rabu lalu oleh seorang pemuda yang tinggal di kawasan sama, yang mana dia diupah untuk memotong rumput di rumah arwah neneknya itu setiap bulan.

Menurutnya, pemuda yang disapa sebagai 'abang' itu bagaimanapun mendedahkan dia tidak memotong rumput di rumah tersebut sejak dua bulan lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Takut juga jika ada yang masuk tanpa diundang dan bermacam-macam yang bermain dalam fikiran

SHAKINA

"Kira-kira pukul 10.22 malam, abang potong rumput rumah arwah Tokmak hantar WhatsApp kepada makcik saya bertanyakan jika ada sesiapa yang pulang ke rumah.

"Masa tu dia baru lalu depan rumah arwah Tokmak dan terkejut melihat lampu dapur terbuka. Memandangkan dah lewat malam, dia tak berani untuk masuk dan periksa.

"Dia kebetulan lalu di situ sebab nak balik ke rumah dia memang akan lalu depan rumah arwah Tokmak," katanya yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.



Mesej Whatsapp daripada pemuda yang diupah memotong rumput di rumah arwah Tokmak.

Menurut Shakina, kejadian itu menimbulkan tanda tanya apabila tiada adik-beradik ibu yang pulang ke rumah berkenaan selepas ditanya menerusi grup Whatsapp.

"Jadi semua pelik macam mana lampu boleh terbuka. Jadi pakcik dan abang saudara saya membuat keputusan untuk periksa sendiri apa yang berlaku malam itu juga.

"Takut juga jika ada yang masuk tanpa diundang dan bermacam-macam yang bermain dalam fikiran," katanya.

Berdasarkan pemeriksaan, katanya, rumah tersebut tidak mempunyai kesan dipecah masuk mahupun tanda-tanda dimasuki atau dihuni penagih dadah.

"Alhamdulillah tidak nampak seperti rumah dipecah masuk atau dipenghuni mat dadah. Tapi kejadian lampu terbuka masih menjadi tanda tanya kami sekeluarga," katanya.



Kejadian yang berlaku menimbulkan tanda tanya dalam kalangan saudara-mara Shakina.

Shakina memberitahu, bapa saudaranya tidak memasuki rumah pada malam kejadian kerana tidak mempunyai kunci utama dan hanya memeriksa dari luar tingkap dapur.

"Lampu dapur masih terpasang. Ikutkan logik memang elektrik dah potong sebab bil tertunggak banyak. Makcik pernah masuk rumah sebelum ni awal tahun, cuba buka lampu ruang tamu tapi tiada elektrik.

"Ada juga jiran cakap lampu tu seperti sensor, ada hari buka ada hari tak. Sedangkan rumah tu tak buat sensor pun.

"Sekarang tak pasti lampu masih terpasang atau tidak. Ingat nak datang periksa minggu depan," katanya sambil menambah ibu saudaranya kini berurusan dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) berhubung kejadian.

Susulan kejadian itu, Shakina berkata, adik-beradik ibunya merancang untuk membuat bacaan Yasin bersama keluarga selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir.

"Famili kami memang sangat besar dan rapat. Alhamdulillah hubungan semua adik-beradik ibu baik-baik. Family bonding kami sangat kuat. Cuma tulah, kami jarang berkumpul di rumah arwah Tokmak," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Tokmak, nenek, arwah, rumah,

Artikel Lain