suria

Kerja amal jejaka Ampang ini dapat perhatian White House, tapi momen bersama 2 anak yatim di KFC paling terkesan - “Ia perasaan yang menginsafkan”

Syafiq tidak menyangka kerja amal yang dilakukannya mendapat perhatian Setiusaha Rumah Putih.

USAHA murni anak tempatan dalam menjalankan kerja amal sewaktu penularan Covid-19 turut mendapat perhatian Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo.

Menurut Muhammad Syafiq Mobin, 33, dia sendiri sukar untuk mempercayai hal itu dan terkejut apabila menerima pujian di laman Twitter.

"Tiada istilah terlalu muda untuk menjadi pemimpin. Ketahuilah masa depan berada dalam tangan pemimpin seperti Syafiq dan pasukannya yang berterusan membantu komuniti sepanjang pandemik Covid-19," tulis setiausaha Rumah Putih itu menerusi Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Resah tak dapat niaga masa PKP, abah buat 3 kerja sekaligus... apa yang anaknya lakukan memang padu! - “Dia pelik ramai order”

ARTIKEL BERKAITAN: Kilang tempat cari makan tutup, bapa 6 anak jadi penjual ikan bidan terjun... hari ketiga permintaan sukar dipercaya!

Mesra disapa Syafiq, anak kelahiran Ampang, Selangor itu mengakui terharu saat menerima pujian itu dan menganggap ia sebagai pembakar semangat untuk dirinya.

"Pada 2019 saya terpilih mewakili Malaysia ke satu program dikenali sebagai YSEALI di AS, pergi ke sana sebulan untuk belajar mengenai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"YSEALI ada berkongsi di Twitter mengenai program 'Bantuan Kecemasan Covid-19' yang saya lakukan bersama tiga rakan bermula 1 April lalu.

Syafiq turut menubuhkan sebuah rumah anak yatim pada 2010.

"Kemudiannya ia turut mendapat perhatian Mike Pompeo. Saya sendiri terkejut. Saya buat kerja amal bukan untuk dapat pengiktirafan, tapi buat sebab passion nak bantu orang susah," ujarnya kepada mStar.

Menurut Syafiq yang bekerja di sebuah bank di ibu negara, program bantuan Covid-19 itu dilakukan bersama tiga rakannya iaitu Fatimah Ahmad Thani, Nur Azan Mohd Ismail dan Nurul Asyikin Mohamad Sabri dibawah kelolaan Cheka Movement Malaysia anjuran mereka sendiri.

Sehingga kini, program itu memberi manfaat kepada 690 penerima dari 160 keluarga di seluruh Malaysia.

Rasa kesian sangat, puas bila dapat bantu. Ia satu perasaan yang menginsafkan. Kalau kita rasa susah, di luar masih ramai yang lebih susah.

MUHAMMAD SYAFIQ MOBIN

PENGURUS KEBAJIKAN/PENGASAS RUMAH ANAK YATIM

Sejak awal Ramadan pula, mereka membuat agihan makanan buat penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Lembah Klang, Selangor.

"Saya akan teruskan lagi, selepas bantuan Covid-19 bermula 1 hingga 10 April, saya sambung dengan bantuan makanan berbuka untuk bulan puasa.

"Yang sebelum ini saya agihkan makanan, lampin pakai buang, susu dan sebagainya. Ia hasil sumbangan orang ramai menerusi kutipan dana yang mengumpul RM36,000 setakat ini," ujarnya lagi.

Tweet setiausaha Rumah Putih yang memuji Syafiq dan pasukannya.

Menurut Syafiq, dia sememangnya sudah lama menjalankan kerja-kerja kemasyarakat dan hal itu turut ditafsirkan dengan penubuhan satu rumah anak yatim oleh beliau sendiri di Gombak pada 2010.

Menurut Syafiq, rumah anak yatim yang menempatkan 30 penghuni lelaki itu bagaimanapun kini dipindahkan di Keramat di ibu negara.

"Pada 2010 saya tubuhkan sebuah rumah anak yatim. Ada 30 penghuni lelaki kesemuanya. Bagi saya, buat kerja kebajikan ni memberi rasa gembira.

Antara program yang pernah disertai Syafiq sebelum ini.

"Kepuasan yang tak dapat dinilai. Tapi dapat tengok orang senyum sudah memadai. Ada kes yang saya jumpa, sepanjang PKP anak kecil diberi minum sirap sebab tak dapat beli susu.

"Rasa kesian sangat, puas bila dapat bantu. Ia satu perasaan yang menginsafkan. Kalau kita rasa susah, di luar masih ramai yang lebih susah.

"Pernah juga bawa dua beradik anak yatim keluar pergi KFC sempena hari lahir. Mereka risau sebab mahal dan tak pernah makan.

Syafiq mengakui terkejut apabila kerja amal dilakukannya menarik perhatian setiausaha Pompeo.

"Bagi kita KFC tu biasa, tapi mereka dah sekolah rendah tak pernah makan lagi. Bagi dia, KFC tu satu kemewahan. Hampir menitis air mata saya," ujarnya lagi.

Selain program YSEALI di AS, Syafiq juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Tanzania dan Afrika pada 2018.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain