KASIH ibu membawa ke syurga. Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan betapa tulusnya kasih seorang ibu sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi anak tersayang walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Lapan tahun lalu, ketika gadis ini sedang bertarung nyawa melawan penyakit kanser, insan yang bernama ibu inilah yang berada di sisinya setiap masa. ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 2 tahun bertahan, anak sulung mungkir janji pada Hari Ibu... respons di pusara buat ramai sebak - “Jangan daddy, jangan beritahu mommy, please!” ARTIKEL BERKAITAN: “Selagi ayah ada, saya boleh jaga dia” - Bapa 'cool' menangis nikahkan anak, adik pengantin mula rasa tak nak kahwin Ketika berkongsi cerita dengan mStar, gadis bernama Nur Shahirah Baharum, 23, berkata, masih segar dalam ingatannya saat-saat ibu, Nisah Husin menggagahkan diri menjaganya walaupun wanita tersebut sedang menderita kesakitan. "Lapan tahun lalu ketika berusia 15 tahun, Ira disahkan menghidap kanser tulang di mana tempurung lutut sebelah kanan terpaksa dibuang dan digantikan. "Selepas pembedahan, ibu setia menjaga di rumah. Hendak dijadikan cerita, suatu hari ibu ditimpa kemalangan ketika nak belikan ais krim untuk Ira. Motosikal yang dibonceng bersama abang dilanggar kereta. Perkongsian Ira di Twitter mengundang perhatian netizen. "Kaki kirinya teruk cedera kerana digilis. Dua bulan ibu terlantar di hospital. Kami sama-sama tak boleh berjalan dan terlantar. "Ketika itu ayah pula bertugas di Kedah. Memang sukar dan tak dapat dilupakan. Namun Alhamdulillah, kini dua-dua sihat dan sudah pulih," katanya yang senang disapa sebagai Ira. Terdahulu gadis ini memuat naik satu perkongsian menceritakan kisahnya bersama ibu di laman Twitter. Ibu gagah juga mengesot ke dapur memasak, bantu Ira di tandas, dan semuanya sebab Ira memang tak boleh berjalan tambah-tambah lagi keadaan sangat lemah setiap kali selepas kemoterapi. NUR SHAHIRAH BAHARUM ANAK Perkongsian tersebut mengundang perhatian netizen yang mengkagumi semangat dan ketabahan dua beranak ini. Cerita Ira lagi, selama dua bulan ibunya terlantar di hospital, dia berpeluang melawat ibunya hanya apabila menjalani rawatan kemoterapi. "Ibu ditempatkan di wad atas manakala Ira di wad bawah. Ketika itu kakak ambil cuti sebulan tanpa gaji untuk gilir-gilir menjaga kami. Abang yang berada di tingkatan 6 pun gilir-gilir jaga selepas pulang sekolah. "Selepas ibu dibenarkan keluar hospital, keadaan kakinya masih belum pulih sepenuhnya dan tak boleh berjalan. "Tapi ibu gagah juga mengesot ke dapur memasak, bantu Ira di tandas, dan semuanya sebab Ira memang tak boleh berjalan tambah-tambah lagi keadaan sangat lemah setiap kali selepas kemoterapi. Pengorbanan ibu memang Ira ingat sampai bila-bila," ujar penuntut tahun 2 di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ini. Ira disahkan menghidap kanser tulang ketika berusia 15 tahun. Sementara itu ibu Ira tidak ketinggalan berkongsi cerita saat-saat awal ketikan anak bongsunya itu disahkan menghidap kanser. "Masa sakit tu Ira memang tak bermaya... sampaikan semangat untuk belajar pun hilang. Makcik bimbang dia tak dapat kejar cita-citanya macam orang lain. "Makcik nak dia sembuh, jadi memang sungguh-sungguh ikut saranan doktor. Langsung tak bawa berubat kampung sebab kanser ni penyakit bahaya. "Alhamdulillah, Ira sudah pulih... cuma kaki tak boleh bengkok dan buat aktiviti lasak lagi. Makcik gembira tengok keadaan dia sekarang dan dapat kejar impian nak sambung belajar," ujar wanita berusia 56 tahun ini. Ira merakamkan kenangan bersama kedua ibu bapanya sewaktu Hari Raya Aidilfitri tahun lalu. Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 13,700 retweet dan 29,500 like, selain turut dibanjiri komen netizen yang mengkagumi ketabahan dua beranak ini. Malah ada juga yang mendoakan kesihatan gadis ini dan ibunya. "Aku memang respect kaum wanita ni sebab dia fizikal mungkin lemah tapi semangat dia tu memang kalah lelaki," tulis seorang netizen. "Mak ialah superhero sejati. Nampak macam lemah. Selalu sakit. Tapi bila untuk anak, powernya datang dari mana pun tak tahu," tulis netizen yang lain pula. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!