suria

Senarai suhu badan pengunjung pasar raya tunjukkan rekod aneh, ada yang kata zombie... doktor kata “mungkin Balan-Balan”

Pemeriksaan suhu badan pelanggan sebelum memasuki premis. Foto AZLINA ABDULLAH/The Star

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan bermula 4 Mei lalu, hampir semua sektor ekonomi di seluruh negara kembali beroperasi.

Syaratnya, peniaga atau pemilik premis perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti merekodkan kehadiran pelanggan merangkumi tarikh, nama dan nombor telefon.

Pelanggan juga akan diperiksa suhu badan mereka selain kemudahan cecair pembasmi kuman atau hand sanitizer disediakan di pintu masuk serta semua orang perlu mengamalkan penjarakkan sosial sebagai langkah berjaga-laga sebelum masuk dan ketika berada di dalam premis.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kami dituduh pembunuh" - Doktor kongsi tak mudah berdepan saat kematian, sampai satu tahap perlu patuh pada ketentuan

ARTIKEL BERKAITAN: "Kalau sambung mesin mak saya akan mati ke?" - Kadar survival di China rendah, kesan meracau sehingga setahun... doktor perjelas fungsi ventilator

Menerusi perkongsian di media sosial, sekeping gambar menunjukkan rekod suhu badan pelanggan di sebuah pasar raya mendapat perhatian sehingga ada antaranya mencatatkan suhu serendah 29 darjah Celsius!



Gambar rekod suhu badan pelanggan di sebuah pasar raya dikongsikan di media sosial.

"Masuk pasar raya. Dia ambil suhu badan. Tapi yang masuk ni semuanya zombie. Sekurang-kurangnya tiga jam mati sebab suhu badan hampir suhu ambien (persekitaran)," menurut perkongsian di laman sosial itu.

Tanpa mengaitkan gambar yang tular di media sosial, seorang doktor kemudian menjelaskan mengenai suhu badan normal manusia iaitu antara 36.5 hingga 37.5 darjah Celsius.

"Suhu badan manusia yang normal adalah sekitar 36.5 darjah Celsius. Kalau suhu 35 darjah Celsius ke bawah tu, mungkin Balan Balan," ujar Dr Rizin Kusop secara berseloroh yang merujuk kepada Hantu Balan-Balan atau panggilan bagi masyarakat Sabah untuk Hantu Penanggal.



Orang ramai beratur dalam jarak sosial satu meter untuk membeli barangan kelengkapan rumah. Gambar hiasan/Foto Bernama

Menerusi perkongsiannya di halaman Facebook doktor berkenaan, Dr Rizin Kusop yang merupakan Bendahari Persatuan Kesihatan Sabah (SIHATBAH) berkata, suhu di atas 37.5 darjah Celsius adalah demam panas, manakala lebih 40 darjah Celsius adalah kes kecemasan dan perlu dirujuk segera ke hospital.

"Suhu di bawah 36.5 darjah Celsius adalah tidak normal dan selalunya hanya berlaku pada orang yang sedang sakit atau terdedah kepada suhu sejuk melampau," katanya.

Pengambilan suhu menggunakan pengimbas suhu digital adalah bergantung kepada banyak faktor seperti cara penggunaan yang betul, suhu persekitaran, setting, penentukuran, kualiti dan juga kuasa bateri alat tersebut.

Dr RIZIN KUSOP

Beliau berkata, pemeriksaan suhu yang paling tepat adalah menggunakan termometer merkuri dan meletakkannya di bawah lidah selama satu hingga dua minit.

"Pengambilan suhu menggunakan pengimbas suhu digital adalah bergantung kepada banyak faktor seperti cara penggunaan yang betul, suhu persekitaran, setting, penentukuran, kualiti dan juga kuasa bateri alat tersebut," katanya.



Premis perniagaan juga perlu menyediakan kemudahan cecair pembasmi kuman untuk pelanggan. Foto Bernama

Berdasarkan perkongsian tersebut, Dr Rizin yang bertugas di Poliklinik Permai Tuaran di Tuaran, Sabah menasihati masyarakat supaya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengamalkan penjarakkan sosial terutama ketika berada di tempat awam.

"Jangan terlalu percaya dengan keupayaan saringan di mana-mana. Sentiasa anggap bahawa ada pesakit demam Covid-19 di sekeliling dan jarakkan diri anda dari semua orang di tempat awam.

"Bayangkan kalau suhu normal pun direkod sebagai 33 (darjah Celsius). Maka seorang yang demam pasti akan direkod sebagai 36 (darjah Celsius) iaitu suhu normal.

"Ralat ini menyebabkan pesakit demam tersebut dibenarkan masuk ke dalam kedai, ” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain