suria

“Api hang tu membakar, bukan membara...” - Juadah ‘ayam tayar’ 25 Ramadan rentung, tapi rasanya sedap buat pemuda Johor ini nak cuba lagi!

Resipi ayam tayar yang dihasilkan Isham bersama rakan-rakannya di rumah sewa mereka.

SEPANJANG bulan Ramadan, kita pastinya sudah mencuba beraneka juadah sebagai santapan berbuka puasa setiap hari.

Ada yang dibeli di kedai, ada juga yang dimasak sendiri di rumah.

Begitu juga dengan jejaka ini apabila resipi yang dicuba pada hari ke 25 Ramadan menjadi tular di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: “Asal sebut je memberontak...” - Tugasan ‘ke laut’ diganggu ayam nakal milik jiran, pelajar tak marah tapi terhibur

ARTIKEL BERKAITAN: Ayam punca kemalangan! Gadis terpaksa dibedah 3 kali, muka tertusuk cermin mata ketika edar taqwim bantu keluarga

Menurut Muhamad Ishammuri, ia merupakan kali pertama dia memasak hidangan ayam tayar bersama rakan-rakan di rumah sewa.

Percubaan kali pertama pemuda berusia 25 tahun itu ternyata mengundang gelak ketawa ramai apabila ia kelihatan hangus dan rentung.

Bercakap kepada mStar, dia yang mesra disapa Isham tidak menyangka posting itu menjadi tular setelah dikongsi menerusi Facebook.

Api marak sewaktu percubaan pertama membuat ayam tayar baru-baru ini.

"Kami buat dua ekor ayam pada hari tu. Ayam disangkut pakai besi pancang di atas tanah, ditutup dengan tin besi dan dibakar menggunakan tayar di sekelilingnya.

"Ayam yang pertama rentung, tapi bila dah dapat rentak tu, ayam kedua masak dengan sempurna.

"Kami semua ketawa tengok ayam tu, walaupun rentung isi dalamnya masih boleh dimakan," ujarnya yang menetap di Sibu, Sarawak.

InsyaAllah akan buat balik, sebab dah tahu caranya. Yang mula-mula kata lebih satu tayar, jadi hasilnya rentung.

MUHAMAD ISHAMMURI

PEMILIK POSTING

Menurut Isham lagi, resepi ayam tayar itu diperap menggunakan sos Korea dengan serai dan mengambil masa setengah jam untuk dibakar.

Malah, dia juga berhasrat untuk mengulangi lagi resipi itu pada masa akan datang kerana rasanya yang enak dan menyelerakan.

Kata anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu, dia terkejut apabila posting mengenai ayam tayar itu mengundang reaksi luar biasa.

Malah, Isham juga menolak tanggapan segelintir individu yang menuruh dia sengaja merosakkan makanan untuk mendapatkan perhatian di media sosial.

Antara komen-komen netizen mengenai ayam tayar yang dihasilkan Isham.

"Terkejut sebab ramai yang terhibur. Yang kecam tu ada juga. Tapi memang tak sengaja. Takkanlah sengaja nak membazir makanan.

"InsyaAllah akan buat balik, sebab dah tahu caranya. Yang mula-mula guna lebih satu tayar, jadi hasilnya rentung.

"Ayam kedua kami bakar dengan satu tayar sahaja, masak dengan baik," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, posting berkenaan yang dikongsi menerusi Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official menerima lebih 6,500 tanda suka dan dihujani lebih 1,000 komen netizen.

Posting Isham yang tular di media sosial.

"Ayam ni waktu hidup mesti banyak buat salah. Mungkin ini balasannya.

"Masa hayat dia banyak buat dosa kot. Tu sebab jadi rentung.

"Selalu buat masa camping. Tin yang belah bawah kena tanam sikit dalam tanah. Ikutkan satu tayar dah cukup untuk masak ayam tu.

"Api hang tu membakar bukan membara memang hangus lah," tulis beberapa netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain