suria

“Lama tak keluar rumah, tiba-tiba dah ada macam ni” - Jurufoto terpukau jumpa lokasi rare lautan ungu, bukan di luar negara tapi di Malaysia

Lautan ungu yang memenuhi kawasan itu menjadi tarikan orang ramai untuk singgah bergambar.

"TERASA seperti menjejakkan kaki ke luar negara."

Demikian kata seorang jurufoto bebas, Syazana Shukur, 24, mengenai panorama bunga keladi bunting yang memenuhi Kolam Takungan Banjir di Semabok, Melaka.

Mesra disapa Syazana, dia yang menetap di negeri itu secara tidak sengaja lalu di kawasan berkenaan sebelum melihat tumbuhan tersebut mekar dalam rona ungu yang cukup indah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tenggelam Dalam Hamparan Bunga Di Thailand

ARTIKEL BERKAITAN: “Berbudi kepada tanah takkan rugi” - Pereka grafik wanita ini rela tinggalkan kehidupan kota, balik Teluk Intan jadi petani

Dia kemudiannya berkongsi beberapa foto yang dirakam menerusi Instagram sebelum dibanjiri pertanyaan orang ramai mengenai lokasinya.

"Saya sedang memandu di kawasan itu sebelum melihat lautan bunga berwarna ungu. Agak terkejut juga mula-mula. Rasa macam di Amsterdam pula.

Syazana akui terpegun lihat panorama di kawasan itu.

"Sebagai jurugambar, kita ada deria dalam jiwa setiap kali ternampak subjek yang menarik untuk menjadi karya.

"Kebetulan saya memang bawa kamera, berhenti sekejap di bahu jalan untuk rakam panorama itu," ujarnya kepada mStar.

Dalam keseronokan menghala lensa kameranya, Syazana juga sedar mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Covid-19 yang dilaksanakan dalam negara.

Tak pernah tengok lagi sebelum ni. Sebab tu agak teruja. Sebelum ni tempat tu orang memancing je.

SYAZANA SHUKUR

JURUFOTO BEBAS

Jelasnya, dia hanya singgah kurang lima minit dan memakai topeng wajah sepanjang berada di lokasi itu.

"Ada nampak juga orang lain berhenti di lokasi itu untuk bergambar. Tapi saya jaga jarak. Memang lebih satu meter, jauh dari mereka.

"Selepas itu, saya masuk kereta dan rakam dari tingkap kereta dan berlalu pulang ke rumah dan berkongsi di media sosial," ujarnya lagi.

Antara foto yang sempat dirakam Syazana.

Menurut Syazana, ini merupakan kali pertama dia melihat tumbuh-tumbuhan itu dalam kuantiti yang cukup banyak di kawasan berkenaan.

Malah, ramai rakannya dari negeri itu turut mengakui terkejut memandangkan mereka sudah lama tidak keluar rumah.

"Tak pernah tengok lagi sebelum ni. Sebab tu agak teruja. Sebelum ni tempat tu orang memancing je.

Ada yang melintasi kawasan itu singgah seketika untuk melihat panorama berkenaan dengan lebih dekat.

"Kawan-kawan pun terkejut. Masing-masing lama tak keluar rumah, tiba-tiba dah ada macam ni.

"Kalau sekarang bukan musim Covid-19, mesti tempat ni dah jadi viral dan dipenuhi ramai orang untuk bergambar," katanya.

Malah, dia mengharapkan agar tumbuh-tumbuhan itu kekal lama sehingga tamat PKPB bagi membolehkan dia datang sekali lagi untuk membuat rakaman gambar secara lebih menyeluruh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain