SIAPA sangka remaja berusia 13 tahun ini pernah melalui ujian dan dugaan yang begitu hebat apabila disahkan positif Covid-19. Namun, hatinya cekal sejak hari pertama sewaktu menunggu ketibaan ambulans untuk dibawa ke hospital, kelihatan cukup tenang sambil memegang senaskhah al-Quran. Laungan azan pelajar tahfiz ini kedengaran di wad pesakit Covid-19 bagi menunaikan solat berjemaah sepanjang 12 hari dirawat di Hospital Sungai Buloh di Selangor. ARTIKEL BERKAITAN: Jadi pesakit paling muda, imam bangga dengan tindakan anak di wad Covid-19... tak sangka ada yang gigih cari info anaknya ketika kuarantin ARTIKEL BERKAITAN: Selalu tenang ditemani Quran, imam dedah air mata anaknya tumpah jua ketika video call sebelum Asar - "Dia cakap di wad tu ada tiga pesakit lain tapi..." Menarik nafas lega, bapa kepada Muhammad Ilyas Fitri Azmi mengucapkan kesyukuran apabila anaknya itu sembuh daripada Covid-19 dan selesai menjalani kuarantin selama 14 hari selepas discaj dari hospital. Azmi (kanan) sewaktu menjemput Muhammad Ilyas selepas discaj dari Hospital Sungai Buloh. Azmi Mohd Yusoff, 46, memberitahu, Hari Raya Aidilfitri kali ini meskipun disambut secara sederhana kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun apa yang lebih penting adalah keluarganya dapat berkumpul bersama di bawah satu bumbung. "Alhamdulillah, Ilyas dapat berkumpul bersama kami pada bulan Ramadan. Hanya kira-kira seminggu Ilyas perlu berbuka puasa dan sahur seorang diri kerana masih tempoh kuarantin. "Sepanjang Ramadan juga, saya dan isteri bersama sebahagian anak-anak bergilir-gilir menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur secara berpasangan dan Ilyas juga terlibat sama," katanya dengan nada teruja kepada mStar. Azmi memberitahu, mereka sekeluarganya sepatutnya menyambut Aidilfitri di kampungnya di Temerloh, Pahang pada tahun ini. Sebagai bapa, Mohd Azmi (kiri) memberi semangat dan sokongan kepada Muhammad Ilyas. Bapa kepada 10 anak itu bagaimanapun berkata, hasrat itu terpaksa ditangguhkan berikutan PKPB tidak membenarkan pergerakan rentas negeri apatah lagi untuk berhari raya di kampung. "Keluarga kami pada tahun ini akan beraya bersama mentua saya yang juga tinggal di kawasan yang sama di Shah Alam. Kami akur dan faham dengan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Sepanjang Abie (panggilan bapa) hidup selama 46 tahun... inilah kali pertama sambutan Aidilfitri agak berbeza dengan norma baharu. Namun, syukur kerana kami dapat beraya satu keluarga dan dapat melihat Ilyas paling gembira berhari raya MOHD AZMI "Ilyas yang paling teruja sambut Aidilfitri, malah dia ada tugasan sendiri membuat persiapan raya dengan mengemas di bahagian hadapan rumah. Pasang pelita di luar rumah tu pun Ilyas buat. "Ilyas juga membantu membuat persiapan untuk memasak dan dia rajin mengupas kelapa, untuk isinya dijadikan santan untuk memasak rendang," ujarnya mengenai anak keenam daripada 10 beradik itu. Muhammad Ilyas (berdiri, tengah) menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di Shah Alam. Azmi yang merupakan Imam 1 Surau Nurul Iman di Seksyen 29, Shah Alam akan menjalankan tanggungjawab sebagai imam bagi solat sunat Aidilfitri dalam persekitaran norma baharu yang mana hanya melibatkan imam, bilal dan siak yang dijadualkan bertugas. "Bagaimanapun, Ilyas dan abangnya mengetuai takbir raya di rumah bermula hari terakhir Ramadan. Mereka dan ahli keluarga lain akan melaksanakan solat sunat Aidilfitri di rumah. "Mengikut saranan kerajaan, hanya kami sekeluarga dan mentua saja akan beraya bersama. Buat masyarakat di luar sana, ikutilah saranan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama dari segi amalan ziarah untuk keluarga terdekat pada hari raya pertama dan mengamalkan penjarakkan sosial. "Saya beritahu anak-anak saya termasuk Ilyas, sepanjang Abie (panggilan bapa) hidup selama 46 tahun... inilah kali pertama sambutan Aidilfitri agak berbeza dengan norma baharu. Namun, syukur kerana kami dapat beraya satu keluarga dan dapat melihat Ilyas paling gembira berhari raya," katanya. Pada 7 April lalu, Muhammad Ilyas dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, selepas positif Covid-19 susulan madrasahnya di Hulu Langat mencatatkan kes jangkitan virus itu berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling. View this post on Instagram Dulu adik ni laung azan di wad Covid-19, sekarang ketuai takbir raya di rumah. Alhamdulillah. Semoga adik sentiasa diberi kesihatan yang baik dan menjadi anak yang soleh. Kisah selanjutnya di highlight dan ig Story. #mstaronline #mstarE1 #stayathome #dudukrumah #lepakrumah Video ihsan Mohd Azmi Yusoff A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on May 24, 2020 at 8:27pm PDT Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!