suria

Ibu bapa telah tiada, rumah untuk menumpang kasih pula terbakar... 3 penghuni tabah sambut Aidilfitri - “Selimut pemberian arwah nenek hangus terus”

Elza bersama sebahagian penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul AlFaeez.

SETIAP kali tibanya Aidilfitri, ia pastinya diraikan dalam suasana gembira bersama keluarga, sanak saudara serta rakan taulan.

Namun jangan dilupa, ada insan-insan kurang bernasib baik yang harus menempuhi hari kemenangan umat Islam itu dalam suasana pilu dan bersulam duka.

Begitu juga dengan tiga pelajar di Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul AlFaeez, Keramat, Selangor ini yang berkongsi kisah masing-masing bersama mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerja amal jejaka Ampang ini dapat perhatian White House, tapi momen bersama 2 anak yatim di KFC paling terkesan - “Ia perasaan yang menginsafkan”

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah pilu anak tunggal yatim piatu di sebalik fotonya di pusara ketika sambutan Hari Ibu

Untuk rekod, mereka sebelum ini ditempatkan di Gombak sebelum berpindah ke Keramat akibat kejadian kebakaran pada 23 November 2018.

Selain memusnahkan hampir 90 peratus tempat anak-anak itu berlindung, banyak barang yang tinggi nilai sentimental mereka turut hangus dalam kejadian itu.

Selimut pemberian nenek musnah dijilat api

Menurut Muhammad Aiman Asyraf Md. Fadzri, 17, dia mula menjejakkan kaki ke rumah anak yatim itu seawal usia 12 tahun selepas kematian neneknya yang menetap di Pahang.

Kata Aiman, dia sebelum ini menetap bersama warga emas itu kerana ibu bapanya bercerai sejak dia berusia 8 tahun.

"Kenangan raya di sini, setiap tahun akan ada sambutan bersama-sama. Kita berkumpul ramai-ramai. Sebab saya ada masalah keluarga, memang rindu membuak-buak.

Ashraf (kiri) dan Aidil (kanan) berkongsi kisah kehidupan mereka di Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul AlFaeez.

"Walau apa yang terjadi, harapan untuk lihat keluarga kembali bersatu sentiasa ada. Saya yakin boleh dan masih berharap.

"Tapi kenangan paling sedih tentunya sewaktu kebakaran, selimut dan baju-baju pemberian arwah nenek terbakar... hangus terus.

"Waktu itu memang menangis, tinggal sehelai sepinggang," ujarnya yang berasal dari Klang, Selangor.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Aiman mendedahkan dia akan kembali ke rumah ibunya di Klang.

4 beradik di rumah anak yatim

Menurut seorang lagi penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul AlFaeez, Muhammad Aidil, 17, peristiwa kebakaran itu juga masih lagi mekar dalam ingatannya.

Namun katanya, dia pada waktu itu sempat pulang dan berjaya mengalihkan beberapa barang sebelum api marak memusnahkan tempat tinggal mereka.

Mereka sebelum ini menetap di Gombak sebelum berpindah ke Keramat setelah Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul AlFaeez hangus dalam satu kejadian kebakaran.

Mengimbas sejarahnya di rumah anak yatim itu, Aidil mula mendaftarkan diri seawal usia 12 tahun selepas ibunya dijemput Ilahi akibat masalah paru-paru berair.

"Masa tu mak meninggal dunia, saya umur 11 tahun. Tahun berikutnya ada saudara tolong carikan rumah asrama.

"Memang sedih masuk ini, sedih tak ada mak. Tambah-tambah menjelang raya. Tapi lama-lama bila dah kenal kawan-kawan, makin OK," ujarnya.

Tahun ini selepas sembahyang raya, kita makan-makan dan buat aktiviti sendiri bersama-sama. Banyak kurangnya raya tahun ini.

ELZA IZYAN ERIEZA ZAHALAN

PENGURUS OPERASI RUMAH ANAK-ANAK YATIM DAN ASNAF RAUDHATHUL ALFAEEZ

Menruut Aidil, dia empat beradik semuanya menetap di Rumah Anak Yatim Al-Faiz namun dua abangnya sudah keluar memandangkan masing-masing sudah dewasa.

Kini, hanya dia dan seorang lagi adik lelaki berusia 15 tahun masih menumpang kasih di rumah anak yatim itu.

Sebak lihat rakan-rakan setiap kali tibanya raya

Seorang lagi penghuni, Muhd Haikal Kamarul Azman, 19, bukanlah anak yatim piatu namun masuk ke rumah anak yatim itu kerana kesempitan hidup keluarga.

Menurut Haikal, acap kali juga dia mengikut pengasas rumah itu beraya bersama keluarga mereka.

Namun, ada juga tahun-tahun sebelum ini dia pulang beraya ke pangkuan keluarga.

Haikal menganggap rakan-rakan di rumah itu sebagai keluarganya sendiri.

Kata Haikal, air mata bagaikan sinonim dengan sambutan 1 Syawal sambil terkenangkan kesusahan serta insan-insan yang sudah lama meninggal dunia.

Tambah Haikal, dia bertambah sedih saat melihat rakan-rakan yang sudah kehilangan ibu bapa beremosi setiap kali tibanya raya.

"Masing-masing sedih khususnya yang sudah kematian ibu bapa. Saya yang tengok pun rasa sedih.

"Memang kasihan. Tapi duduk di sini, saya sendiri banyak berubah. Dari segi agama, pelajaran, disiplin.

"Memang syukur sangat, semua orang macam keluarga sendiri," ujarnya.

2020 bawa definisi raya berbeza

Dalam pada itu, pengurus operasi Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul AlFaeez, Elza Izyan Erieza Zahalan berkata, ada anak-anak yang dihantar pulang beraya dengan keluarga, namun ada juga yang akan bersama dengannya setiap kali raya.

Menruut wanita berusia 32 tahun itu, suasana Ramadan dan raya tahun ini ternyata berbeza dan tidak meriah seperti biasa.

Penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul AlFaeez.

"Keluarga saya kecil sahaja. Kalau ada dalam kalangan mereka yang tak balik beraya, mereka akan beraya dengan saya.

"Tahun ini selepas sembahyang raya, kita makan-makan dan buat aktiviti sendiri bersama-sama. Banyak kurangnya raya tahun ini," ujarnya.

Bercerita mengenai rumah anak yatim itu, kata Elza, lokasi lama yang terbakar suatu ketika dahulu kini dibangunkan semula bagi membolehkan mereka kembali menetap di Gombak tidak lama lagi.

Namun katanya, pembinaan yang bersisa 50 peratus lagi terpaksa dihentikan seketika akibat Covid-19 yang melanda negara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain