suria

Wow mekap ilusi! Belajar di YouTube je, gadis buat magik pada wajah sendiri, tapi belum ada keberanian solek orang lain

Solekan Ilusi oleh Nuha mencuri perhatian ramai di media sosial.

SIAPA sangka percubaan pertamanya membuahkan hasil sehingga menerima pujian ramai?

Begitulah kisah mengenai seorang gadis dari Cheras, Selangor yang mencuri perhatian netizen dengan penghasilan solekan ilusi.

Dikenali sebagai Nurul Najwa Muhammad Nazri, dia yang mesra disapa Nuha mengakui timbul minat ke arah bidang itu seawal usia 13 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan main-main dengan netizen! Wanita pasrah tunjuk ‘kening pelik’ di pagi Syawal – “Dalam rumah saja tak syok, awak keluar jalan-jalan”

ARTIKEL BERKAITAN: Cayalah! Baru 11 tahun tapi bakat mekap taraf profesional, Iris cabar diri idam solek Neelofa

Kini berusia 20 tahun, dia hanya mempelajari teknik itu menerusi YouTube sebelum memberikan sentuhan magis kepada wajahnya sendiri.

"Dah lama minat mekap, tapi sekadar bereksperimen, sekarang ni baru nak ambil serius.

"Mekap ilusi yang saya kongsi di Twitter dihasilkan seminggu yang lalu, kali pertama cuba selepas belajar di YouTube.

Nuha meminati bidang solekan sejak berusia 13 tahun.

"Dah lama nak buat tapi takut... takut tak menjadi, tak cantik. Tapi akhirnya saya hasilkan juga," ujarnya kepada mStar.

Menurut penuntut sebuah universiti di Putrajaya itu, setiap solekan yang dihasilkan mengambil masa sekitar sejam.

Namun kata Nuha, dia belum yakin untuk membuat solekan ke atas individu lain dan menjadikan diri sendiri sebagai kanvas untuk berkarya.

Tapi ada juga segelintir yang negatif, kata mekap natural lebih cantik dan sebagainya, saya enggan fokus pada mereka.

NURUL NAJWA MUHAMMAD NAZRI

PELAJAR

"Saya tak reti mekap orang. Pernah mekap ibu saudara dan adik. Tapi saya lebih selesa buat pada diri sendiri.

"Jika ada peluang untuk pergi lebih jauh, saya tak tolak tetapi belum bersedia buat masa ini. Biar masa yang menentukan," ujarnya.

Bercerita mengenai perkongsian tularnya, Nuha juga mengakui ada segelintir individu yang memberi reaksi negatif terhadapanya.

Antara solekan yang dihasilkan Nuha pada wajahnya sendiri.

Namun, anak kedua daripada tiga beradik itu enggan mengambil pusing hal berkenaan dan fokus pada yang positif sahaja.

"Apabila dapat perhatian ramai, tentunya rasa dihargai, ada semangat untuk hasilkan lebih banyak karya pada masa akan datang.

"Tapi ada juga segelintir yang negatif, kata mekap natural lebih cantik dan sebagainya, saya enggan fokus pada mereka," ujarnya lagi.

Sehingga kini, posting itu di Twitter Nuha menerima lebih 6,000 ulang kicau (Retweet).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain