WALAUPUN dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan pandemik Covid-19, Syawal tetap diraikan secara sederhana dengan normal baharu. Enggan bersedih, sekumpulan lima beradik mengabadikan kenangan raya mereka dengan bergambar bersama mengikut posisi masing-masing yang sama seperti dalam sekeping foto yang dirakamkan 29 tahun lalu. "Masih lagi mood raya. Jadi kami cuba ambil semula gambar yang dirakamkan 29 tahun lalu. Semuanya berjalan lancar sehingga kami sedar hat dok atas riba tu dah tak boleh nak dipangku," ujar seorang pemuda secara berseloroh di laman sosial Instagram. ARTIKEL BERKAITAN: Glambot raya 5 beranak ada stail! Yuna puji sampai tag pengarah dari LA... tapi tak siapa tahu kejadian 'behind the scene' sampul dan duit raya tiba-tiba hilang ARTIKEL BERKAITAN: Selalu padam gambar sendiri kerana rasa diri buruk, anak manja mak akhirnya terkilan - "Tanpa mereka aku kosong" Pemuda berkenaan, Muhammad Hafiz Hood menjelaskan bahawa dia adalah budak yang duduk di atas riba seorang wanita menerusi foto lama itu. Hafiz yang baru berusia tiga tahun duduk di pangkuan kakaknya. Pemuda berusia 32 tahun itu berkata, foto lama tersebut digantung di ruang tamu rumah keluarga mereka di Hulu Bernam, Selangor. "Kami adik-beradik semua termasuk ibu tinggal di Hulu Bernam. Jadi, kami datang mengemas di rumah arwah ayah. Memang itu rutin kami sekurang-kurangnya sebulan sekali. "Di rumah itulah saya dibesarkan sebagai anak bongsu. Jadi, kami sekadar suka-suka untuk ambil gambar ikut seperti foto lama tu. Macam sama tapi tak serupa," katanya kepada mStar. Hafiz (tiga, kanan) bersama ibu (tiga, kiri) dan adik-beradik. Hafiz berkata, ketika foto lama tersebut diambil 29 tahun lalu, dia baru berusia kira-kira tiga tahun, duduk di atas riba kakaknya yang merupakan anak sulung. "Masa tu berat saya mungkin kurang daripada 10 kilogram. Sekarang ni berat saya kira-kira 100 kilogram dan saiz badan pun jauh berbeza ketara berbanding dulu. "Jadi, memanglah kakak sulung tak dapat nak pangku saya untuk kelihatan betul-betul sama seperti dalam gambar," ujarnya secara berseloroh. Selain ibu, Hafiz begitu rapat dengan kakak sulung. Peguam itu memberitahu, dia berjaya duduk di atas riba kakaknya yang kini berusia 42 tahun, dan disunting atau beraksi untuk kelihatan seperti duduk di pangkuan kakaknya. "Gambar selepas 29 tahun tu bukan ‘acah-acah’ duduk atas riba ya. Itu memang betul-betul saya duduk atas riba kakak. Tapi hanya mampu bertahan selama kira-kira 10 saat. Gambar selepas 29 tahun tu bukan ‘acah-acah’ duduk atas riba ya. Itu memang betul-betul saya duduk atas riba kakak HAFIZ "Lepas tu kakak mengadu sakit kaki. Kami adik-beradik terus gelak. Walaupun jarak 10 tahun, saya dan kakak sulung memang rapat. "Sebab terlalu rapat, masa saya berumur sembilan tahun pernah menangis apabila kakak masuk Universiti Teknologi Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam untuk sambung pengajian. Masa tu memang sedih tak terkata sebab kami tak pernah berjauhan," tambahnya. Gelagat Hafiz bersama kakak sulung dan ibu di pagi 1 Syawal. Mengimbas kembali sambutan raya bersama keluarga, Hafiz berkata, kenangan paling tidak dapat dilupakan adalah sekitar tahun 1997 dan 1998. "Masa tu saya masih kecil. Pagi raya tu, tiba-tiba dapur dah habis gas. Bayangkan masa tu mak dan kakak tengah sibuk memasak untuk juadah raya. "Sebabkan hari raya, tak ada kedai yang buka untuk kami beli gas baharu. Jadi, tiada juadah raya pada pagi raya. Sudahnya, kami sekeluarga hanya makan kuih raya dan telefon jiran-jiran dan saudara-mara untuk hantarkan makanan," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!