suria

Gelak-gelak kemudian menangis! 6 bulan guna WhatsApp melalui komputer, lelaki speechless terima iPhone - “Dia layak dapat telefon bimbit tu”

Video Muhammad Faizal (kiri) bersama rakan-rakannya membuat kejutan dengan menghadiahkan telefon bimbit kepada Izrul Najmi (kanan) menjadi tular di Twitter.

SELAIN keluarga, sahabat adalah insan paling rapat dalam kehidupan seseorang.

Alangkah beruntungnya badan jika mempunyai sahabat yang baik dan sentiasa berada di sisi ketika waktu susah dan senang.

Setiap individu mempunyai cara tersendiri yang dilakukan untuk menghargai kehadiran sahabat.

ARTIKEL BERKAITAN: Satu keluarga berdebar... parcel ‘misteri’ bongkar keakraban hubungan dua gadis - “Masing-masing terkejut dan menjerit”

ARTIKEL BERKAITAN: Misi kejutan nyaris gagal... isteri terpegang kotak hadiah, mujur suami pandai ‘tipu’ - “Terlalu banyak pengorbanannya, bagi kereta pun tak terbalas”

Sebagaimana posting seorang pengguna Twitter ini, dia berkongsi momen apabila dia dan dua rakan lain membuat kejutan dengan menghadiahkan telefon bimbit kepada sahabat mereka.

Menerusi kapsyen pada posting tersebut, pelayar Twitter itu berkata hadiah tersebut diberikan sebagai menggantikan telefon bimbit sahabat mereka yang sudah lama rosak.

Posting tersebut sehingga kini meraih melebihi 511,000 tontonan dan 40,900 retweet selain 52,300 likes.

Rata-rata netizen turut tersentuh apabila melihat sahabat kepada lelaki ini terharu sehingga mengalirkan air mata apabila menerima pemberian tersebut.



Enam sekawan ini sudah menjalin persahabatan sejak lapan tahun lalu.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Muhammad Faizal Ibrahim berkata, cadangan untuk menghadiahkan telefon bimbit kepada sahabatnya, Izrul Najmi berlaku secara spontan beberapa hari lalu.

"Telefon bimbit Izrul dah lebih enam bulan rosak... dia terpaksa menggunakan komputer untuk berhubung dengan kami melalui WhatsApp dan juga Twitter.

"Keadaan ini membuatkan kami susah nak hubungi dia. Dia masih guna telefon tu walaupun dalam keadaan yang teruk. Jadi muncul idea untuk hadiahkannya telefon bimbit baharu.

"Kami faham keadaan dia macam mana sebab dia baru lepas habis Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), dan mungkin mempunyai kekangan untuk beli yang baharu," kata pemuda berusia 20 tahun ini.

Dekat 20 minit juga dia macam speechless. Kemudian baru dia ucap terima kasih dan peluk kami.

MUHAMMAD FAIZAL IBRAHIM

Idea tersebut disuarakan kepada dua rakannya yang lain sebelum mereka bertiga sepakat untuk mengumpul duit untuk menghadiahkan Izrul sebuah telefon bimbit model iPhone 7.

"Pada hari tersebut, kami minta dia datang ke rumah seorang lagi rakan. Itu pun susah nak hubungi dia tapi mujurlah datang.

"Bila hulurkan telefon tersebut, dia macam gelak-gelak lagi sebab ingat kami main-main sebab bukan birthday pun. Tapi kemudian bila beritahu betul-betul, dia speechless dan tak sangka pula dia menangis.

"Sebab dia seorang yang sangat happy go lucky dan jarang tunjuk perasaan depan rakan-rakan. Tapi kami beritahu, dia layak untuk dapat telefon bimbit tu.



Izrul Najmi (kanan) disifatkan sebagai seorang rakan yang ceria dan sering mengambil berat tentang orang lain.

"Dekat 20 minit juga dia macam speechless. Kemudian baru dia ucap terima kasih dan peluk kami. Dalam nada bergurau, kami kata padanya 'dah dapat telefon baru ni, jangan lupa angkat call'," katanya yang kini melanjutkan pelajaran di sebuah akademi penerbangan.

Mengulas mengenai perwatakan sahabatnya itu, Muhammad Faizal berkata pemuda tersebut merupakan seorang yang sangat merendah diri, mengambil berat, ceria dan seorang pendengar yang baik.

"Dia akan tunjukkan cara dia mengambil berat itu melalui tingkah lakunya. Selalu dia berikan nasihat kalau kita bercerita," katanya sambil menambah, ikatan persahabatan mereka terjalin sejak lapan tahun lalu.



Antara komen netizen yang mengkagumi ikatan persahabatan antara Muhammad Faizal dan rakan-rakannya.

Tidak menyangka perkongsian tersebut menjadi tular sehingga meraih lebih 30,000 retweet, lelaki yang berasal dari Shah Alam, Selangor ini berkata, apa yang cuba disampaikan menerusi posting tersebut bertujuan untuk menyebarkan aura positif, selain menggalakkan orang lain menghargai persahabatan masing-masing.

"Sekarang ni kalau tengok, banyak benda-benda negatif di Twitter dan media sosial lain. Jadi ini secara tak langsung bertujuan untuk sebarkan aura positif. Apa yang penting, hargailah sahabat masing-masing," ujarnya menutup bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
iPhone, sahabat, rosak, barai, iPhone 7, telefon

Artikel Lain