suria

Indah khabar dari rupa! Cantik tudung di kepala model, kenapa mengembang bila dipakai sendiri? – “Jangan jual barang asal boleh saja”

Indah khabar dari rupa. Seorang wanita kecewa apabil tudung mask yang dibelinya menerusi Group Whatsapp tidak seperti yang diiklankan.

SEJAK kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19, kita dapat melihat kebanjiran iklan pelbagai barangan dan produk di medium media sosial.

Segala jenis makanan, pakaian dan sebagainya dipromosikan baik di Facebook, Twitter, Instagram dan WhatsApp demi meraih pendapatan selepas terjejas sejak beberapa bulan lalu.

Antara yang paling mendapat sambutan sudah tentulah cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) dan topeng muka memandangkan rata-ratanya mahu mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan dijangkiti wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki jual tudung sangkut di handle motor kongsi kisah sayu... plan tak menjadi, pulang awal sebab malu - “Tak ada orang beli...”

ARTIKEL BERKAITAN: Frontliner perlukan tudung sarung ‘preloved’ nak guna pakai buang - “Beberapa minit pun dah berpeluh, apatah lagi berjam-jam”

Paling menarik perhatian, pelbagai topeng muka yang direka khas untuk golongan wanita turut dijual, malah ada yang siap direka sedondon dengan tudung sekaligus memudahkan wanita yang berhijab.

Tidak terkecuali bagi wanita ini yang tidak mahu ketinggalan memiliki tudung yang direka khas bersama topeng muka.

Namun impiannya untuk menggayakan tudung tersebut tidak kesampaian apabila ia tidak secantik sebagaimana yang dipaparkan di iklan.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Syazra Raudzah itu turut memuat naik gambar dirinya memakai tudung tersebut di Facebook, sekaligus mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.



Perkongsian Syazra mengenai tudung mask yang dibelinya menjadi tular di Facebook.

"Konon nak beli tudung sekali mask. Ke Mummy yang salah pakai. Nak pakai kerongsang macam mana kalau dan sekali mask," tulisnya pada posting tersebut.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, dia yang senang disapa sebagai Syazra berkata, tudung jenis sarung itu dibeli minggu lalu daripada seorang penjual yang mengiklankannya di Group Whatsapp.

"Saya bukan seorang yang memakai tudung jenis sarung. Tapi masa tu viral, jadi saja nak cuba. Tambah pula bila tengok model yang pakai tudung itu di video nampak sangat elok dan terletak. Saya beli dua helai.

"Ketika itu penjual tu buat open order, jadi saya pun minta pilihan warna yang dimahukan. Dua kali warna pilihan saya habis, tapi saya teruskan pembelian sebab tak mahu kecewakan penjual itu.

Perkongsian itu juga langsung tak berniat nak mengaibkan atau menutup periuk nasi mana-mana pihak. Tapi ada pula yang rasa tempiasnya.

SYAZRA RAUDZAH

"Seminggu kemudian, tudung sampai ke tangan saya. Memang teruja nak cuba. Tapi bila saya sarungkan, ia kembang semacam... langsung tak sama seperti dalam video iklan. Frust sangat," cerita wanita berusia 37 tahun ini.

Syazra berkata dia kemudian memberitahu penjual tersebut mengenai keadaan tudung yang dibelinya namun jawapan yang diterima sungguh hampa.

"Penjual itu beritahu tak boleh tukar. Saya pun reda sahajalah bila dapat jawapan macam itu walaupun kecewa sedikit," ujarnya lagi.

Syazra berkata perkongsian di Facebook itu sekadar untuk suka-suka kerana sering mengemas kini apa jua aktivitinya di media sosial itu.

"Mula-mula kawan-kawan saja yang komen. Mereka lucu tengok tudung tersebut. Tapi tak sangka boleh jadi viral dalam tempoh yang tidak lama.



Syazra memuatnaik video 'tutorial' pemakaian tudung mask yang dibelinya sebagai bukti mengenai keadaan sebenar tudung tersebut.

"Bila dah viral, ada beberapa penjual tudung hubungi saya dan nak beri percuma sebagai ganti. Tapi tudung itu dibeli daripada penjual yang lain.

"Perkongsian itu juga langsung tak berniat nak mengaibkan atau menutup periuk nasi mana-mana pihak. Tapi ada pula yang rasa tempiasnya.

"Saya minta maaf atas perkara itu... tapi saya langsung tak mention nama atau daripada mana saya beli dalam perkongsian itu. Tapi saya nak tekankan, ramai penjual yang bagus, hanya segelintir saja kurang bagus," ujarnya yang berasal dari Kuantan, Pahang ini.



Antara komen netizen terhibur dengan posting Syazra selain turut berkongsi pengalaman yang sama.

Tambah Syazra, ramai netizen berkongsi pengalaman di ruangan komen di mana mereka turut mengalami nasib yang sama sepertinya.

"Ramai lagi yang kena macam saya. Bagi saya, sebagai penjual, kena ikhlas... bukan sekadar nak berniaga semata-mata dan jual barang asal boleh saja. Tak baik sebab orang lain pula yang teraniaya.

"Tapi sekarang saya reda sahaja. Tak apalah, sekurang-kurangnya ada benda kenangan PKP," ujarnya berseloroh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
tudung, mask, tudung sarung, model

Artikel Lain