suria

Pakar kimia kongsi label tarikh luput ‘Guna Sebelum’ dan ‘Baik Sebelum’ tak sama... ada produk perlu dibuang cepat-cepat daripada simpanan!

Ramai ambil ringan dua label tarikh luput ini yang selalu kita lihat pada produk makanan dan minuman.

JIKA diteliti sesuatu produk makanan dan minuman, terdapat label tarikh luput yang mencatatkan ‘Baik Sebelum’ (Best before) dan ‘Guna Sebelum’ (Use by).

Kebiasaannya label tersebut digunapakai pada produk mudah rosak seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, produk kosmetik, bahan letupan, tayar, bateri dan macam-macam lagi.

Namun ramai ambil ringan atau mungkin langsung tidak tahu perbezaan kedua-dua jenis label tarikh luput ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakar dedah ramai tak tahu sudip warna hitam membahayakan kesihatan... senduk kayu berkilat kini dah selamat digunakan

Menurut pakar kimia, Dr Fatimah Salim, terdapat perbezaan pada kedua-dua jenis label tarikh luput tersebut terutamanya yang dicatatkan pada produk makanan dan minuman.

"Kita tidak seharusnya mengambil ringan akan hal ini kerana ada sebabnya makanan ini dilabel sebegitu," katanya dalam satu posting di Facebook Makmal Makanan (Mama).

Jelas beliau, tarikh yang tertera sebagai ‘Guna Sebelum’ ialah akhir sesuatu produk itu selamat untuk dimakan.



Dr Fatimah menjelaskan perbezaan label dua tarikh luput ini yang tidak diketahui ramai.

"Kebiasannya ianya digunakan pada produk makanan yang cepat rosak dan tidak perlu simpan lama seperti daging, susu, kek, roti, telur dan sebagainya.

"Bagi produk makanan yang dilabel sebegini haruslah dibuang serta merta selepas tarikh yang dinyatakan," katanya

Sementara itu, Fatimah berkata bagi tarikh untuk label ‘Baik Sebelum’ menunjukkan sifat atau kualiti produk tertentu sehingga tarikh yang dinyatakan.

Perubahan rupa (berkulat, berlendir, keladak, pembentukan lapisan cecair), warna (berubah dari yang asal), bau (tengit disebabkan oksidasi) dan rasa (tengit, masam) dari yang asal disebabkan oleh berlakunya tindak balas kimia pada produk berkenaan.

DR FATIMAH SALIM

Pakar kimia

"Selepas pada tarikh yang dinyatakan pada bungkusan itu, produk itu sudah tidak boleh dijual kerana berkurangnya kualiti seperti kehilangan kesegaran, tekstur, aroma, rasa dan nutrisi asalnya.

"Tetapi ini tidak bermaksud makanan itu tidak lagi selamat untuk dimakan. Kita sebagai pengguna boleh menilai sesuatu produk makanan itu rosak atau tidak dengan melihat pada perubahan rupa," katanya.

Pada masa sama, Fatimah turut menasihati orang ramai supaya membuang terus produk makanan atau minuman jika berlaku perubahan warna, bau dan warna asalnya.



Jika berlaku perubahan rupa, rasa, warna dan bau, produk tersebut harus segera dibuang.

"Perubahan rupa (berkulat, berlendir, keladak, pembentukan lapisan cecair), warna (berubah dari yang asal), bau (tengit disebabkan oksidasi) dan rasa (tengit, masam) dari yang asal disebabkan oleh berlakunya tindak balas kimia pada produk berkenaan.

"Sekiranya terdapat perubahan-perubahan ini, maka kita seharusnya membuang terus produk ini," katanya.

Beliau turut berkongsi tips untuk memanjangkan jangka hayat sesuatu produk makanan dan minuman.

"Simpan di dalam peti ais (freezer atau chiller).

"Suhu yang rendah melambatkan proses tindak balas kimia bahan dalaman produk, juga memperlahankan pertumbuhan kulat dan aktiviti bakteria perosak, ” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain