suria

Setahun berlalu... Dr Amalina imbas momen penuh emosi sebelum dan selepas Ainul dibedah – “Terima kasih semua, anda adalah hero sebenar”

Dr Amalina (kiri) mengimbas kembali detik-detik bersejarah ketika pembedahan Ainul berjaya dilakukan tahun lalu.

PEJAM celik, rupa-rupanya sudah setahun bayi kecil bernama Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin selamat menjalani pembedahan membuang tumor di bahagian mulutnya.

Pada tarikh inilah setahun yang lalu, ketumbuhan seberat 200 gram berjaya dikeluarkan daripada mulutnya menerusi pembedahan yang dijalankan oleh sepasukan pakar bedah di sebuah hospital kanak-kanak di London, United Kingdom.

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya! Tumor 200g dikeluarkan dari mulut Ainul Mardhiah,"Perjalanan yang cukup emosi..." - Dr Amalina

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 8 bulan, pakar bedah UK sanggup pandu dari KL ke Melaka jumpa Ainul... siap buat check up - “Apa yang dia bimbang sebelum ini tidak berlaku”

Momen penuh emosi itu diimbas kembali oleh Dr Amalina Che Bakri sebagai mengenang kembali detik-detik yang tak akan dilupakan olehnya.

"Hari ini, genap setahun Ainul Mardhiah dibedah. Tidak sangka cepat sungguh masa berlalu. Kini, Ainul seorang bayi yang sangat ceria dan banyak keletah. Terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan pembedahan ini.





Dr Amalina (kiri) berkongsi berita gembira mengenai kejayaan pembedahan Ainul, tahun lalu.

"Terutama sekali Prof David Dunway dan Mr Juling Ong dan seluruh pasukan. Tidak lupa juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang banyak membantu.

"Anda adalah hero yang sebenar. Tidak sabar mahu melihat Ainul berlari-lari di taman permainan, InsyaAllah," tulisnya menerusi satu hantaran di Twitter.

Dr Amalina adalah salah seorang doktor yang terlibat dalam pasukan perubatan yang menjayakan pembedahan tersebut.

Selain beliau, pembedahan tersebut turut disertai seorang lagi doktor pakar kelahiran Malaysia, Dr Juling Ong iaitu seorang pakar bedah plastik pediatrik dan craniofacial.



Dr Ong ketika meluangkan masa menziarahi Ainul pada Februari lalu, iaitu kira-kira lapan bulan selepas pembedahan dilakukan.

Pembedahan penuh berisiko itu berlangsung dalam tempoh kira-kira lima jam itu diketuai oleh Profesaor David Dunway dan Dr Ong sendiri.

Sementara itu, perkongsian Dr Amalina turut mengundang rasa sebak dan sayu netizen yang masih terkesan dengan berita mengenai keadaan kesihatan Ainul sebelum ini.



Antara komen netizen pada perkongsian Dr Amalina.

"Bayi yang pernah buat saya menangis dulu bila melihatnya. Sekarang pun menangis juga tapi menangis sebab gembira," tulis seorang netizen.

"Rasa macam baru semalam dengar berita Ainul ni. Dah setahun rupanya.. moga terus dikurniakan kesihatan berpanjangan," tulis seorang netizen lain.

"Allahuakhbar... Semoga adik Ainul sentiasa dalam lindungan Allah SWT serta diberi kesembuhan dn kesihatan yang baik," tulis seorang netizen lain.

Selain memanjatkan doa untuk kesihatan Ainul, netizen juga tidak putus-putus mengucapkan terima kasih di atas jasa doktor wanita muda itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Dr Amalina, Ainul Mardhiah, tumor

Artikel Lain