suria

Selamatkah guna kuali non stick bercalar? Ramai berterima kasih atas penjelasan pakar kimia ini - “Saya dah buang satu...”

Kuali kalis lekat yang sudah tercalar masih boleh lagi digunakan. Gambar sekadar hiasan.

SEJAK kebelakangan ini, periuk jenis iron cast mulai menjadi kegilaan ramai.

Bukan saja kerana reka bentuk dan warna menarik, periuk tersebut juga dikatakan lebih tahan lama.

Trend tersebut juga berlaku disebabkan ramai bimbang menggunakan kuali kalis lekat yang biasanya mudah tercalar.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakar dedah ramai tak tahu sudip warna hitam membahayakan kesihatan... senduk kayu berkilat kini dah selamat digunakan

ARTIKEL BERKAITAN: Cantik tapi bahaya... Pinggan mangkuk corak timbul diperbuat daripada plumbum - “Jangan hidang untuk kanak-kanak, wanita hamil”

Manakan tidak, penggunaan periuk kalis lekat yang sudah tercalar juga pernah didakwa sebagai penyebab kanser.

Namun pakar kimia Dr Fatimah Salim berkata, peralatan memasak kalis lekat seperti kuali yang sudah tercalar sebenarnya masih boleh digunakan lagi.

Periuk iron cast yang menjadi kegilaan ramai wanita ketika ini.

"Boleh! Cuma fungsi kalis lekatnya akan berkurangkan dan mungkin lebih melekatkan makanan," katanya dalam satu posting di Facebook Makmal Makanan.

Jelas beliau lagi, sekiranya lapisan selaput kalis lekat polytetrafluoroethylene (PTFE) pada periuk terkopek dan bercampur dalam masakan ianya tidak berbahaya.

"Tiada masalah. Badan kita tidak mampu hadam. Ianya akan dibuang dalam najis tanpa kesan kepada badan," katanya.

Mengenai periuk tercalar penyebab kanser, Dr Fatimah menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak signifikan.

"Ramai yang panik, berkira-kira untuk membeli dan menggantikan peralatan dapur sedia ada. Dan saya cadangkan, tidak perlu. Usah membazir.

"Kalau semudah itu boleh menyebabkan kanser, dah memang tak patut wujud syarikat jual peralatan kalis lekat. Buat penyakit saja," katanya.

Malah, Dr Fatimah berkata penggunaan bahan kimia perflurooctanoic acid (PFOA) yang dikaitkan dengan kanser sudah tidak lagi digunakan dalam pembuatan periuk kalis lekat.

Dr Fatimah menafikan dakwaan penggunaan periuk kalis lekat yang sudah tercalar boleh menyebabkan kanser.

"Wujud salah faham. Hasil proses rawatan suhu akhir, bahan kimia PFOA yang dikaitkan dengan kanser sudah tiada dalam final product. Bahan kimia ini sudah musnah.

"Namun disebabkan desakan, pengunaan PFOA ini telah dihentikan sejak tahun 2015, lalu fungsinya digantikan dengan bahan kimia lebih terjamin iaitu perfluoropolyether seperti GenX," katanya.

Ramai yang panik, berkira-kira untuk membeli dan menggantikan peralatan dapur sedia ada. Dan saya cadangkan, tidak perlu. Usah membazir.

DR FATIMAH SALIM

Pakar kimia

Selain PTFE, terdapat beberapa jenis bahan yang digunakan sebagai selaput kalis lekat termasuklah seramik, enamel dan silikon yang mana selamat untuk digunakan.

"Kesimpulannya kesemua peralatan kalis lekat ini selamat digunakan. Namun pastikan beli daripada pengeluar yang anda yakini.

"Selebihnya bergantung kepada tujuan dan kemampuan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai periuk jenis graniteware pula, ia juga selamat digunakan dan lebih tahan lasak.

Antara jenis bahan yang digunakan sebagai selaput kalis lekat pada peralatan memasak.

"Cuma ia lebih berat kerana konsep pengaliran haba yang baik menjadi keutamaan di samping kalis lekat dan ‘green’," katanya.

Penjelasan tersebut turut mendapat respons positif di kalangan netizen.

"Terima kasih di atas pencerahannya Dr. Sekarang senang hati nak pakai semula kuali yang tercalar sedikit," kata Ummu.

"Saya dah buang satu Dr. Tinggal satu itupun tunggu pengganti je. Rupa-rupanya tiada masalah kesihatan kalau kita guna. Thanks infonya Dr," kata Linda.

"Tq Dr. Haritu saya dah nak buang kuali Tefal tapi suami pula sayang nak buang. Sudahnya gantung je kat dinding. Hari ni dah tahu info dari Dr. Bolehlah guna balik," kata seorang lagi netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain