KEPERIBADAN seorang bapa yang biasanya lebih kental membuatkan mereka jarang sekali mempamerkan emosi mahupun perasaan secara terbuka. Tapi di dalam hati yang juga ketua keluarga ini, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa tebalnya kasih dan sayang mereka sepanjang masa. Seperti yang dikongsikan oleh seorang doktor, bapanya begitu jarang memberi respons di dalam aplikasi grup WhatsApp keluarga. ARTIKEL BERKAITAN: Bapa terdiam gambar konvo tadika RM20, tarik tangan anak tinggalkan dewan – "Tu motosikal bos dia, pinjam nak pergi konvo" ARTIKEL BERKAITAN: Belajar di ICU, keputusan pun cemerlang, hasrat abah sarung jubah tak kesampaian,"Ingat pesan buat sampai habis" "Dalam grup WhatsApp famili, boleh kira dengan jari berapa kali respons daripada abah. Yang selalu respons pastinya maa (panggilan ibu) "Tapi, kiriman mesej kali ini cukup buat aku terduduk. Rasa bersalah amat sangat. Buat lidah ini kelu tanpa kata," tulis Dr Ahmad Samhan menerusi halaman Facebook. Mengimbas kembali kisahnya semasa bergelar pelajar tingkatan satu, Dr Ahmad Samhan pernah menghubungi ibunya untuk mendapatkan sepasang kasut but bagi bermain ragbi. "Tak boleh! Main ragbi nanti patah kaki, patah tangan. Banyak lagi mainan boleh main," ujarnya yang hanya mampu mendiamkan diri tanda akur dengan keputusan itu. Perkongsian Dr Ahmad Samhan sempena Hari Bapa. Bagaimanapun kata Dr Ahmad Samhan, beliau dipanggil oleh pejabat seminggu kemudian kerana terdapat bungkusan misteri yang dikirimkan kepadanya. “Bila aku buka, terkejut! Abah kirim kasut but weh! Siap tulis 'Main baik-baik. Abah doakan abe jadi pemain hebat'. Sumpah kelu beb!" katanya sambil mengandaikan bapanya mencuri dengar perbualan bersama ibunya mengenai kasut but itu. Doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu, baru-baru ini menulis e-book mengenai kisah inspirasi bagaimana dirinya pernah berdepan dengan kegagalan di universiti tetapi bangkit semula untuk menjadi seorang doktor. Sukar untuk meluahkan perasan, tapi apa saja kesusahan rela dipendam demi semuanya terus tersenyum. Setelah jadi ayah, baru aku faham perasaan abah. DR AHMAD SAMHAN Menerusi e-book tersebut, beliau meluahkan mengenai betapa pedihnya hati apabila surat rayuan diberikan ibu kepada dekan universiti dibuang ke tong sampah. "Hingga air mata Maa menitis ke lantai dan aku tekad pada diri aku akan buktikan mampu jadi seorang doktor dan air mata maa takkan jatuh lagi ke bumi disebabkan kegagalan aku. "Dalam e-book itu, aku cuma beritahu abah mampu gosok belakang maa ketika menangis. Aku tak berapa highlight mengenai kehadiran abah," ujarnya. Kisah e-book itu kemudian dikongsi kakaknya di dalam grup WhatsApp famili, dan tanpa diduga bapanya buat julung kali memberikan respons. "Abe tak tahu, masa abe call Maa beritahu abe failed (gagal), abah dengar. Hati abah bimbang. Abah cuma fikir macam mana nak bagi semangat balik pada abe. Malam tu, abah menangis seorang diri. "Sebelum jumpa dekan hari tu, perut abah lapar sebab dari semalam tak makan. Tak ada selera bila fikirkan tentang abe... tapi sekarang abah bangga dengan abe!" menurut bapanya menerusi luahan menyentuh perasaan. Dr Ahmad Samhan berkongsi pendedahan bapanya menerusi mesej di grup Whatsapp. Pendedahan secara terbuka menerusi grup WhatsApp itu bukan sahaja memberi tamparan hebat buat Dr Ahmad Samhan, malah mengundang sebak semua ahli keluarganya. "Rasa nak pecah dada bila baca mesej abah. Air mata turun macam air hujan membasahi pipi! "Semua adik beradik dalam grup cuma mampu beri icon (emoji) sedih. Selama ini abah pendam. Tak pernah luahkan," katanya yang merupakan bapa kepada dua anak. Namun, Dr Ahmad Samhan mengakui sifat seorang bapa yang sukar mengucapkan sayang, tapi jauh di sudut hati begitu menyayangi anak-anaknya. "Sukar untuk tunjuk dia penat, tapi hakikatnya badannya penat mencari rezeki demi anak dan isteri cukup makan. "Sukar untuk meluahkan perasan, tapi apa saja kesusahan rela dipendam demi semuanya terus tersenyum. Setelah jadi ayah, baru aku faham perasaan abah. Abah idola abe! Selamat Hari Bapa, abah!" katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!