suria

Guru sanggup jadi ‘posmen’ redah arus hantar kerja sekolah, lihat reaksi muridnya boleh gugur air mata - “Saya tak pernah menyesal mengajar di pedalaman”

Cikgu Muhammad Nabil menghantar kerja sekolah kepada muridnya menggunakan perahu pada Jumaat lalu.

UMUM mengetahui murid-murid di kawasan pedalaman sukar mendapatkan akses kepada internet sehingga menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Atas inisiatif itu, seorang guru sanggup berperahu menghantar kerja sekolah kepada murid prasekolah hingga tahun enam di 12 rumah panjang di sekitar Kapit, Sarawak.

Menurut Muhammad Nabil Fikri Aini yang juga guru di Sekolah Kebangsaaan (SK) Nanga Encheremin, Kapit, Sarawak, inisiatif itu dilakukan kerana tidak mahu murid-murid di sekolah tersebut terus ketinggalan dari segi pelajaran.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP bukan alasan... Guru ini harungi laluan balak 6 jam tiap minggu, edar bahan belajar kepada pelajar di 13 kampung

ARTIKEL BERKAITAN: “Kitalah guru dan ibu bapa mereka...” - Austin menaruh harapan anak-anak didik di sekolah pedalaman menjadi insan berjaya

"Sejak PKP dilaksanakan, saya dan guru-guru lain lama dah terputus hubungan dengan anak murid. Disebabkan kesukaran untuk berkomunikasi memang banyak yang tertinggal.

"Saya sendiri pun sewaktu PKP hanya berhubung tentang kerja rumah dengan anak murid melalui mesej. Itu pun hanya tiga atau empat murid saya yang dapat mesej. Yang lain tak dapat langsung.



Murid di sekolah tersebut sukar mendapatkan akses internet dan menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

"Sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan Google Classroom memang tak sesuai untuk murid di kawasan pedalaman. Bukan setakat internet, line telefon pun tak ada," katanya ketika dihubungi mStar.

Jelas guru berusia 29 tahun itu, dia mengambil masa selama tiga jam tiga minit untuk melakukan penghantaran itu menyusuri Sungai Rajang.

"Saya dan guru-guru lain melapor diri semula ke sekolah pada 8 Jun lalu. Jadi kami guna kesempatan yang diberikan untuk menyediakan segala bahan keperluan untuk seramai 130 murid.

"Penghantaran bermula dari hilir ke hulu sungai pada pukul 10 pagi Jumaat lalu selesai dalam masa tiga jam 30 minit membabitkan 12 rumah panjang.

"Masa sampai tu ada yang malu-malu, ada yang tak mandi lagi. Ada yang jerit nama saya dari rumah hujung. Nampaklah mereka seronok sebab lama dah tak jumpa saya," katanya.

Meskipun tugas mengajar di kawasan pedalaman agak mencabar, Muhammad Nabil tidak sedikit pun menyesal dengan pilihannya itu.



Cikgu Muhammad Nabil sewaktu bertemu dengan anak muridnya.

"Pengangkutan utama ke sekolah hanya menggunakan perahu, ekspres dan bot. Cabaran utama sekolah di tepi Sungai Rajang adalah arusnya yang deras dan kita tahu Sungai Rajang banyak buaya.

"Buat masa sekarang saya ingin menimba pengalaman di kawasan pedalaman. Lagipun saya baru saja lima tahun mengajar. Hubungan guru dan anak murid lebih akrab antara satu sama lain.

"Saya tidak pernah sesekali pun menyesal mengajar di kawasan pedalaman. Malah ia memberi semangat kepada saya untuk terus berbakti kepada anak murid di sini," kata guru subjek Bahasa Melayu itu.

Saya sendiri pun sewaktu PKP hanya berhubung tentang kerja rumah dengan anak murid melalui mesej. Itu pun hanya tiga atau empat murid saya yang dapat mesej. Yang lain tak dapat langsung.

MUHAMMAD NABIL FIKRI AINI

Guru

Ditanya mengenai kenangan yang tidak akan dilupakan sepanjang mengajar di sekolah tersebut, Muhammad Nabil berkata dia pernah berdepan detik cemas semasa melalui Sungai Rajang pada Februari lalu.

"Saya dan guru-guru lain baru balik dari pasar Kapit beli barang makanan. Jadi dalam sungai ada tunggul kayu tapi pengemudi bot tak perasan.

"Bot terlanggar tunggul kayu dalam sungai jadi bahagian bawah bot bocor. Beberapa guru dan staf lain diturunkan di tebing sungai. Saya dan pengemudi bot pula bergegas balik sekolah tukar sampan.



Perahu antara pengangkutan yang digunakan murid untuk ke sekolah.

"Masa tu memang panik tapi kita dah bersiap sedia dan tahu apa nak buat. Mujurlah kebocoran tu tak besar jadi boleh dikawal. Jadi on the way ke sekolah, saya buang air, abang Steven pula bawa bot," katanya.

Terdahulu guru berasal dari Oya, Mukah, Sarawak itu berkongsi pengalamannya menjadi ‘posmen’ menghantar kerja sekolah kepada muridnya di Twitter.

Tanpa diduga perkongsiannya itu mendapat perhatian netizen dengan rata-rata memuji usaha tersebut yang dianggap besar pengorbanannya.

"Thanks cikgu for the effort! Semoga dipermudahkan segala urusan dan semoga Tuhan sentiasa memberkati segala usaha dilakukan dalam memastikan pendidikan tetap diteruskan waktu Covid-19 ni," kata Romei.

"Syabas cikgu... anda hebat!" kata MShah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain