suria

Doktor sebak video kongsi ilmu pakai mask jadi rujukan taska, prasekolah – “Semoga pulangan untuk doktor dan keluarga”

Dr Ahmad Samhan berkongsi mengenai videonya dimainkan di taska dan prasekolah. Foto Facebook Dr Ahmad Samhan

KANAK-kanak antara yang paling gembira apabila kerajaan mengumumkan prasekolah, tadika dan taska dibenarkan beroperasi mulai 1 Julai.

Pastinya mereka merindui guru-guru, rakan-rakan dan sesi pembelajaran setelah berada lama di rumah sejak lebih tiga bulan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Bagi seorang doktor ini, permulaan sesi prasekolah dan taska membuatkannya cukup sebak hanya kerana menerima sekeping foto yang mempunyai nilai sentimental.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa pasti lega... Semua 7,000 taska dibenarkan beroperasi dengan syarat patuh SOP!

ARTIKEL BERKAITAN: Nak beli topeng muka tapi penuntut IPT ini dilarang masuk farmasi sebab tak pakai 'face mask'... nak marah ke kelakar? – "Saya malas nak cakap banyak"

"Terus sebak bila tengok gambar ini. Salah seorang follower saya hantar gambar ini dan ucap terima kasih tak terhingga.

"Sejak taska dan prasekolah dibuka semalam (Rabu), guru-guru telah gunakan video saya untuk beri penerangan mengenai cara betul pakai topeng muka pada anak murid," tulis Dr Ahmad Samhan menerusi perkongsiannya di halaman Facebook beliau pada Khamis.



Tangkapan skrin video Dr Ahmad Samhan memberi penerangan mengenai pemakaian topeng muka.

Berikutan pandemik Covid-19, pemakaian topeng muka merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah jangkitan virus.

Antara mesej yang diterima beliau berbunyi: "Banyak manfaat kami dapat daripada video doktor kongsikan. Doktor jaga diri ya. Semoga pulangan untuk doktor dan keluarga."

Kata-kata tersebut ternyata menambah sebak di hati doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu.

"Tiba-tiba rasa nak menitis air mata. Bila orang tanya, apa rahsia doktor boleh konsisten berkongsi di Facebook? Banyak betul idea. Tak pernah lemah semangat?

"Sebenarnya bukan senang juga bagi saya untuk menulis dengan cara yang lebih santai supaya mudah difahami," ujarnya.



Video Dr Ahmad Samhan menerangkan cara pemakaian topeng muka dipasang di prasekolah.

Bagi Dr Ahmad Samhan, mengalami situasi kekeringan idea itu merupakan perkara biasa, malah pernah berasa lemah semangat.

"Tiada idea itu biasa. Selalu sangat lemah semangat. Tapi saya betulkan niat. Niat saya hanya mahu berkongsi. Kalau tak kongsikan saya rasa bersalah dengan diri.

Tiada idea itu biasa. Selalu sangat lemah semangat. Tapi saya betulkan niat. Niat saya hanya mahu berkongsi. Kalau tak kongsikan saya rasa bersalah dengan diri

DR AHMAD SAMHAN

"Allah telah berikan saya ilmu tapi saya tak kongsikan. Allah berikan saya kelebihan mampu menulis tapi saya tak tulis. Allah berikan saya petah berbicara tapi saya enggan gunakan kelebihan ini.

"Tak semua orang Allah berikan kelebihan ini tapi Allah telah berikan pada diri ini. Saya mesti guna kelebihan ini untuk berkongsi pada orang lain. Ini cara saya bersyukur pada Allah," kata beliau.



Perkongsian Dr Ahmad Samhan di laman sosial.

Terdahulu, Dr Ahmad Samhan berkongsi sebuah video mengenai beliau menunjukkan cara bagaimana untuk memakai topeng muka bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Sejak dimuat naik di Facebook pada 26 Januari lalu, video tersebut meraih lebih 240,000 tontonan dan dikongsi lebih 14,000 kali.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain