suria

Bangkit teruskan hidup walau jari dipotong, kedai ‘gulung tikar’... anak beranak tukang kasut sangat terkesan dengan PKP

Kedai kasut Ghafur terpaksa ditutup sepanjang PKP dan kini sudah kembali beroperasi.

BAGAIKAN sudah jatuh ditimpa tangga.

Begitulah kisah melibatkan seorang tukang kasut yang cukup terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak Mac lalu.

Menurut Abdul Ghafur Hanafiah, 25, bapanya, Hanafiah Bahtiar, 60, mengalami kecederaan sewaktu bekerja sehingga jari telunjuk kanan terpaksa dipotong pada Februari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu kerja OK, kini jual keropok lekor! Pemuda hilang kerja tak sangka satu mesej WhatsApp daripada abangnya mampu buka rezeki

ARTIKEL BERKAITAN: Tolak rasa malu, wanita hilang kerja sewaktu PKP mula niaga nasi lemak anggap berbaloi bersengkang mata - “Seronok bila pelanggan repeat, cakap sambal sedap”

Tidak sampai sebulan selepas itu, Covid-19 semakin meruncing di negara ini, memaksa kedai yang diusahakannya ditutup sepanjang tempoh PKP.

Bercerita kepada mStar, Ghafur berkata bapanya yang juga seorang tukang kasut sudah membuka kedai sejak 10 tahun lalu sebelum dia sendiri membuka sebuah lagi kedai pada tahun lalu.

"Sebelum PKP ayah dah jatuh sakit, tangan dia luka... luka agak dalam sehingga jari terpaksa dipotong.

Ghafur membaiki kasut dari rumah sepanjang PKP dikuatkuasakan.

"Jadi masa tu saya dah tak buka kedai, sebab nak jaga ayah. Baru je ayah nak sembuh, PKP pun bermula.

"Memang tak boleh buat apa-apa. Terkesan sangat sebab PKP," ujarnya sewaktu dihubungi.

Enggan membiarkan dirinya terperuk tanpa kerja, dia yang mesra disapa Ghafur menjalankan perniagaan itu secara dalam talian sekitar April lalu.

Banyak kali rasa lemah, tapi tak adalah sampai nak putus asa.

ABDUL GHAFUR HANAFIAH

Kata Ghafur, pelanggan menghantar kasut menerusi khidmat penghantaran ke alamatnya untuk dibaiki sebelum ia dipos semula kepada mereka.

"Alhamdulillah ramai yang bagi sokongan bila saya buat hebahan di Twitter. Masa PKP, buat secara online dari rumah.

"Tapi tak adalah banyak macam biasa, sebab orang pun susah nak keluar hantar kasut untuk dipos kepada saya.

Ghafur turut bercita-cita menjadi pereka kasut suatu hari nanti.

"Alhamdulillah hari ni (Isnin) saya akan mula berniaga semula. Lambat sikit buka walaupun PKP dah berakhir sebab baru siap renovate kedai," ujarnya lagi.

Bercerita mengenai dirinya, Ghafur berkata dia sudah membantu bapanya dan mempelajari kemahiran membaiki kasut sejak berusia 15 tahun.

Malah, dia juga tidak menolak peluang untuk mengubah kerjayanya kepada pereka kasut pula pada masa akan datang.

Ghafur menimba pengalaman bersama bapanya sebelum membuka kedai kasut sendiri pada tahun lalu.

"Dari kecil tolong ayah, tahun lepas dah rasa boleh berjalan sendiri, nak berdikari. Jadi saya buka kedai sendiri. Dalam 5 kilometer dari kedai ayah.

"Memang minat dari kecil, dulu sekadar tolong ayah, tapi jadi minat pula. Saya nampak masa depan dalam bidang ni.

"Ada perancangan untuk buat kasut pula lepas ni. Saya nampak kebolehan untuk buat kasut, sebab tu saya buka kedai sendiri," ujarnya.

Dalam pada itu, Ghafur turut berterima kasih kepada orang ramai yang memberikan sokongan buatnya di laman Twitter.

Bapa Ghafur cedera sewaktu bekerja pada Februari lalu sehingga jarinya terpaksa dipotong.

"Banyak kali rasa lemah, tapi tak adalah sampai nak putus asa. Tapi sokongan dari Twitter beri motivasi pada saya.

"Sebenarnya ada seorang tukang masak dibuang kerja disebabkan PKP. Jadi saya ambil dia bekerja dengan saya.

"Dari tukang masak jadi tukang kasut sekarang. Saya pun faham perasaan dia, jadi saya ambil dia bekerja, dia tolong saya sekarang.

"Alhamdulillah, ayah pun makin sembuh sekarang dah sudah buka kedai. Ada abang saya yang bantu ayah sekarang di kedainya," ujarnya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain