suria

“Sejadah sampai terpelanting!” - Dah halau tapi datang lagi, lelaki kongsi cara halau makhluk halus dah lama ‘tumpang’ rumah

Pemuda bernama Tony berkongsi kisah gangguan makhluk halus di rumahnya beberapa tahun lalu dan tip untuk menghalau makhluk berkenaan. - Gambar hiasan

GANGGUAN daripada makhluk halus ataupun jin boleh disebabkan oleh pelbagai perkara.

Kadang kala kita sendiri tidak menyangka bahawa gangguan tersebut berpunca dari persekitaran rumah.

Antara perkara yang boleh 'mempelawa' kehadiran mahkluk tersebut untuk bertandang ke rumah adalah dengan adanya koleksi patung, gambar manusia, alat muzik dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Elak jadi tetamu tak diundang! Lelaki kongsi 7 petua nak check in hotel selepas insiden rakan diusir ‘benda’ main pintu

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki berjubah di surau sekolah jadi punca, wanita dah beranak 2 pun 'dia' masih ikut sampaikan perkahwinan hampir musnah - “Ustaz kata jin jatuh cinta, nak bersama selama-lamanya”

Sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh seorang pelayar Twitter, dia mendedahkan bahawa rumahnya pernah 'didatangi' oleh makhluk berkenaan tanpa diundang.

Malah dia sendiri beberapa kali terserempak dengan makhluk tersebut di dalam rumah dalam keadaan yang amat menakutkan!

"Dulu rumah aku pernah jadi macam ni. Boleh cuba halau sendiri. Buang semua gambar-gambar makhluk hidup yang digantung di dinding rumah, buang semua anak patung, buka semua pintu dan tingkap, laungkan azan dalam rumah, buat solat hajat, campurkan biji lada hitam dengan garam serta tabur keliling rumah dan amalkan Bismillah tiap kali masuk rumah," tulisnya pada perkongsian di laman sosial itu.



Tony berkongsi tip mengatasi gangguan makhluk halus menerusi Twitter.

Berkongsi cerita dengan mStar, Tony berkata gangguan di rumahnya hanya bermula secara 'ringan' apabila makhluk tersebut secara sengaja muncul untuk menampakkan diri di hadapannya dan ahli keluarga yang lain.

"Kejadian mula-mula sekali saya ternampak entiti perempuan berambut panjang ketika berusia 10 tahun dan sedang berada di bilik air. Masa tu saya nak buka paip, dan saya nampak entiti itu melalui pantulan pada kepala paip. Dia berada betul-betul belakang saya. Saya tak rasa apa-apa sangat masa tu mungkin sebab masih kecil.

"Kali kedua pula, masa saya berada di tingkapan empat. Ketika itu lebih kurang pukul 2 pagi dan saya terjaga daripada tidur sebab guruh kuat. Daripada pancaran kilat, saya nampak entiti yang sama macam dilihat sebelum ini, dia sedang berdiri di bucu hujung katil.



Tony pertama kali melihat entiti tersebut ketika berusia 10 tahun. -Gambar hiasan

"Kali ketiga, waktu saya sedang menuntut peringkat diploma. Biasalah budak lelaki balik lewat... masa tu pukul 2 atau 3 pagi, saya pulang dan nampak entiti itu berada dekat tiang rumah seolah-olah menantikan kepulangan saya pula," ujar pemuda yang kini berusia 27 tahun.

Tiga kali terserempak dengan 'benda' sama, Tony akhirnya tergerak untuk bercerita kepada ibunya.

"Rupa-rupanya ibu juga pernah nampak entiti itu beberapa kali dalam rumah," ujar pemuda tersebut.

Menurut Tony, sejak dia membuka cerita tersebut kepada ibunya, gangguan yang berlaku di rumah mereka semakin rancak.

Gangguan paling teruk seingat saya, ketika itu saya bentang sejadah untuk keluarga solat jemaah. Sambil menunggu yang lain, tiba-tiba sejadah yang dibentang elok itu terkuis, sampai terpelanting ke tepi.

TONY

"Jika sebelum ini ia hanya menampakkan diri, tapi benda tu mula berani kacau. Contohnya, beberapa kali televisyen terbuka sendiri, dan apabila malam, akan dengar bunyi ketukan pintu.

"Gangguan paling teruk seingat saya, ketika itu saya bentang sejadah untuk keluarga solat jemaah. Sambil menunggu yang lain, tiba-tiba sejadah yang dibentang elok itu terkuis dan terpelanting ke tepi," ceritanya.

Melihat perkara itu, bapanya kemudian membuat keputusan untuk melakukan sendiri proses ruqyah di rumah bagi menghalau makhluk berkenaan.

"Ayah memang pandai berubat juga. Jadi kami buat sendiri saja. Selama tujuh malam berturut-turut kami buat ruqyah di rumah.



Kali terakhir Tony melihat entiti berkenaan adalah kira-kira enam bulan lalu.

"Bermula sebelum Maghrib, kami taburkan garam beserta lada hitam sekeliling rumah. Selepas solat Maghrib, kami buat solat hajat. Alhamdulillah, tiada lagi gangguan di rumah hingga sekarang," ujar pemuda ini menceritakan kembali kejadian yang berlaku pada 2013.

Bagaimanapun menurut Tony, entiti itu kembali muncul di hadapannya kira-kira enam bulan lalu, selepas sekian lama 'dihalau'.

"Masa itu saya on call tengah malam. Sedang memandu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah, iaitu kira-kira pukul 11 malam, saya ternampak kelibatnya duduk di kerusi belakang.



Ketika melakukan ruqyah, pintu dan tingkap perlu dibuka. Gambar hiasan.

"Saya hanya tenang dan dia hanya memerhati. Sampai di rumah, masuk baca Bismillah, bersihkan diri dan terus tidur. Esoknya saya terpaksa MC sebab demam. Mungkin terkejut," ujarnya lagi sambil menambah, kejadian itu adalah yang terakhir dia melihat entiti tersebut.

Tidak menyangka tip yang dikongsi menerusi Twitter mendapat perhatian netizen, Tony berkata tujuannya hanyalah semata-mata mahu berkongsi pengalaman bersama orang lain.

"Secara tak langsung mereka yang alami perkara sama boleh cuba petua yang dikongsi. Paling penting, patung menyerupai makhluk hidup jangan simpan dalam rumah. Nabi sendiri pun larang," ujarnya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
makhluk, seram, ngeri, petua, jin, iblis, tip

Artikel Lain