suria

‘Bergelut’ cari wang biaya 21 penghuni, pengasas rumah kebajikan tak sangka roti berinti laku keras - “Kerja ini banyak bermain air mata”

Fardilah menghasilkan pelbagai jenis makanan untuk menampung perbelanjaan rumah kebajikan yang diasaskannya termasuklah roti berinti.

SEPANJANG empat tahun menguruskan sebuah rumah kebajikan, banyak dugaan yang sudah ditempuhi wanita ini.

Menghimpunkan 21 penghuni berusia satu bulan hingga 16 tahun, Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Al Haq Malaysia yang diasaskan oleh Nur Fardilah Mohd Sabki tampil dengan cara tersendiri dalam meneruskan kelangsungan kewangan mereka.

Menurut wanita berusia 42 tahun itu, kelulusan dalam bidang Seni Kulinari membolehkan dia menjalankan perniagaan pelbagai jenis makanan untuk menyara anak-anak yang dinaunginya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa telah tiada, rumah untuk menumpang kasih pula terbakar... 3 penghuni tabah sambut Aidilfitri - “Selimut pemberian arwah nenek hangus terus”

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah pilu anak tunggal yatim piatu di sebalik fotonya di pusara ketika sambutan Hari Ibu

"Saya memang bekas pelajar Seni Kulinari. Bila buka rumah kebajikan ini pada tahun 2017, saya fikir bagaimana untuk sustain kewangan kami?

"Bila tengok banyak rumah kebajikan muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan, hasil inisiatif sendiri saya guna kepakaran yang ada untuk dapatkan duit dan tampung anak-anak jagaan saya," ujarnya kepada mStar.

Fardilah (kanan) bersama Azizan Ismail (kiri) yang sama-sama menguruskan rumah kebajikan itu.

Menurut Fardilah, urusan penghasilan makanan dibantu bendahari dan pengurus rumah kebajikan itu, Azizan Ismail selain turut mendapat sentuhan anak-anak penghuni seandainya mereka berkelapangan.

Selain nasi lemak mereka yang cukup laris, Fardilah kini tampil dengan seleksi finger food yang kelihatan cukup menyelerakan.

Kerja ni banyak bermain dengan air mata. Dapat dengar cerita mereka.

NUR FARDILAH MOHD SABKI

"Kami ada dapur sendiri. Ada masakan barat, Melayu, timur tengah, Cina dan sebagainya. Kami buat breakfast box, lunch box dan nasi lemak.

"Mengenai finger food pula, segalanya bermula apabila saya dapat sumbangan roti kosong dan terfikir untuk agih kepada orang susah dan rumah kebajikan lain. Tapi tak sampai hati nak bagi kosong macam tu je.

Antara menu yang dihasilkan Fardilah.

"Dari situ timbul idea, saya buat inti. Saya reka menu sendiri. Dari menu kebajikan itu, tak sangka dapat sambutan, orang suruh jual," katanya lagi.

Bercerita mengenai rumah kebajikan itu, Fardilah berkata 13 penghuni tinggal bersamanya manakala selebihnya menetap bersama keluarga, namun masih diberikan bantuan dari segi pendidikan dan makanan.

Sebahagian anak-anak dari Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Al Haq Malaysia.

"Rumah ini khusus untuk anak-anak yang jadi mangsa dera, ada juga anak yatim. Sekarang ada 16 orang yang bersekolah.

"Apa yang mereka lalui, saya sudah lalui... pernah ditinggalkan keluarga, dipelihara oleh orang lain. Bila saya diambil oleh sebuah keluarga sebagai anak angkat, saya diberi kehidupan sama macam orang di luar sana.

"Niat saya tubuhkan rumah kebajikan ini untuk saya jaga mereka sebagaimana saya dijaga keluarga angkat. Kami terapkan konsep family home.

Sebahagian penghubi Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Al Haq Malaysia yang ditubuhkan oleh Fardilah pada 2017.

"Kerja ini banyak bermain dengan air mata. Dapat dengar cerita mereka. Ada budak ditinggalkan di hospital, didera.... dulu tengok dalam drama je, tapi apa yang ada dalam drama tu memang betul.

"Ada yang dah pernah kena dera, kita kena fikir juga cara untuk pemulihan mereka, macam mana nak bina hidup baharu," ujar pengasas rumah kebajikan yang terletak di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu.

Kisah Fardilah yang berniaga makanan sebelum ini menarik perhatian ramai setelah ia dikongsi di Twitter oleh seorang individu dikenali sebagai Airil Razali.

Malah, posting itu sehingga kini turut menerima lebih 1,000 ulang kicau (Retweet).

Bagi mereka yang berminat, seleksi roti egg mayo, tuna, sosje dan tutty fruity dijual pada harga RM25 manakala beef bolognase, chicken carbonara, beef blackpepper, teriyaki chicken dan crab mayo dijual pada harga RM35 diikuti inti kambing dengan harga RM45 sebekas.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain