suria

“Kenapa famili aku macam ni bang?” - Hantar mesej curiga, pemuda terkejut rakan ‘pointer tinggi’ telan ubat berpapan selepas breakfast bersama

Shin berkongsi kisah sedih kehilangan rakan baik yang meninggal dunia kerana mengambil ubat secara berlebihan akibat tekanan yang dihadapi. -Gambar hiasan

MASALAH kesihatan mental bukan satu perkara yang boleh dianggap remeh.

Bagi mereka yang didiagnos mempunyai masalah ini, sokongan daripada keluarga mahupun orang sekeliling amat penting.

Namun tidak semua yang berdepan dengan masalah ini dikategorikan sebagai bertuah kerana masih wujud stigma negatif waima daripada keluarga sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya mesej emak, beritahu tak mahu teruskan hidup” - Kulit muka teruk, dipukul dan dihentak sehingga ganggu otak... gadis ini derita depresi

ARTIKEL BERKAITAN: “Ramai tak tahu benda ni...” - Pengasas syarikat dedah talian hayat bagi mereka yang hilang kerja, siap boleh claim hingga enam bulan!

Sebagaimana posting seorang pelayar Twitter ini, dia berkongsi kisah sedih yang menimpa rakan baiknya yang terpaksa mengambil jalan singkat gara-gara tidak tahan dengan tekanan keluarga.

"Roommate aku baru meninggal tadi. Bunuh diri telan Panadol entah berapa papan. Baru pagi tadi breakfast sama-sama," tulisnya pada perkongsian tersebut.

Sehingga kini perkongsian itu meraih 21,900 retweet dan 26,000 like selain dibanjiri dengan komen daripada netizen yang menzahirkan rasa simpati dengan pelayar berkenaan.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pelayar yang hanya mahu dikenali sebagai Shin berkata dia sendiri tidak menyangka pertemuannya dengan Amir (bukan nama sebenar) pada pagi Isnin lalu merupakan pertemuan yang terakhir.



Pemuda bernama Shin berkongsi kisah sedih kehilangan rakan baik beberapa hari lalu menerusi bebenang di Twitter.

Menurut pemuda berusia 25 tahun itu, pada pagi kejadian, mereka bersarapan bersama-sama dan rakannya itu ada memberitahu mahu pulang ke rumah ibu bapa pada waktu tengah hari untuk memberikan hadiah hari lahir buat adiknya.

"Pukul 12 tengah hari macam tu dapat WhatsApp daripada Amir, dia tulis 'Kenapa famili aku macam ni bang?'.

"Saya spam banyak-banyak tapi pukul 2 macam tu baru ada yang reply 'Abang Shin ni Aira, adik Amir. Amir dah takda'.

"Masa dapat reply dari adik arwah kata arwah dah takda.. saya terus capai kunci kereta pergi rumah famili arwah. Dalam kepala cuma mampu doa yang semuanya mimpi," kata pemuda itu.



Shin menyifatkan pemergian Amir adalah disebabkan tekanan keluarga.

Mengenali Amir sejak lima tahun lalu, Shin menyifatkan rakannya yang juga menuntut dalam jurusan yang sama iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia merupakan seorang yang pendiam.

"Arwah pendiam dengan orang dia tak kenal. Tapi kalau dengan rakan rapat, banyak jer mulut dia. Dia tak pernah share masalah dia kat sesiapa selain saya," ceritanya.

Menurut Shin, Amir didiagnos menghidapi masalah Kecelaruan Personaliti Pinggiran (BPD) dan Depresi dan kematiannya itu berkemungkinan berpunca daripada tekanan keluarga.

Arwah sebelum meninggal banyak kali pernah cakap, kalau apa-apa jadi pada dia, dia minta tolong tengokkan adik perempuan dia. Baru tingkatan 2.

SHIN

RAKAN BAIK

"Punca? Saya cuma orang luar. Tapi dari apa saya nampak dan dengar, tekanan dari famili mungkin punca utama. Sebab kalau saya tengok result Amir, tak ada satu semester pun yang GPA di bawah 3.50 pointer.

"Adalah sejak 2,3 semester akhir ni markah Amir macam drop sikit. Amir memang minat bidang yang dia belajar. Kita hilang seorang permata," katanya.

Menurut Shin, Amir tidak menunjukkan tanda-tanda ingin 'pergi' namun berkali-kali memintanya untuk menjenguk adik perempuannya yang berusia 14 tahun.

"Arwah sebelum meninggal banyak kali pernah cakap, kalau apa-apa jadi pada dia, dia minta tolong tengokkan adik perempuan dia. Baru tingkatan 2.

"Barang-barang arwah ada lagi dekat bilik ni. Saya plan Sabtu ni nak pulangkan apa yang patut," katanya lagi.



Dek kerana tidak tahan dengan tekanan yang diterima, Amir mengambil jalan singkat dengan menelan ubat Panadol secara berlebihan.

Masih terkesan dengan kehilangan salah seorang teman rapat, Shin berkata perkongsian kisah itu di Twitter adalah demi memberi mesej kepada orang awam mengenai pentingnya sokongan keluarga terhadap individu yang dibelenggu isu kesihatan mental.

"Terutamanya yang lahir sebelum 90-an, pengetahuan mereka tentang mental illness sangat cetek dan dangkal.

"Tapi yang pasti, mak ayah yang tak mampu jadi contoh yang baik untuk anak-anak akan lahirkan generasi yang sick. Solat dan ibadah tak cukup kalau tak lengkapkan dengan sikap bersyukur," ujarnya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain