BERTUAHNYA seorang anak jika dikurniakan bapa yang penyayang dan mempunyai ciri-ciri sebagai seorang ketua keluarga. Namun tidak bagi wanita ini apabila hampir seumur hidupnya menderita dek kerana sikap tidak bertanggungjawab insan yang bergelar bapa. Sepanjang 29 tahun bernafas, belum pernah dia merasai belaian kasih seorang bapa sebaliknya hanya sepak terajang yang menjadi santapan saban hari. ARTIKEL BERKAITAN: Nak segera siapkan urusan kahwin anak satu petanda, ayah pergi 4 hari sebelum jadi wali nikah - “Masih ada lagi bau ayah pada jam tangannya” ARTIKEL BERKAITAN: Stres asyik kena ambil parcel anak beranak, bapa membebel jadi ‘mangsa’ – “Ayah order barang juga tapi belum sampai” Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ahza Hana, dia bukan mahu menjadi seorang anak derhaka atau tidak mengenang budi apabila berkongsi di media sosial kisah keperitan ibu dan tujuh lagi adik beradiknya. Namun ia adalah pilihan terakhir kerana tidak mendapat kerjasama yang baik daripada pihak bapanya bersabit urusan dan prosedur wali untuk urusan pernikahannya yang akan berlangsung tidak lama lagi. Ahza Hana berkongsi kisah penderitaan yang ditanggung olehnya dan adik beradik dek kerana sikap bapa yang tidak bertanggungjawab. "Saya nak dia selesaikan borang wakalah wali saya dengan segera. Dan jika prosedur dan sistem memaksa adik-adik saya lalu benda yang sama juga, saya nak dia selesaikan juga tanpa berdalih dan melengahkan seperti sekarang. Itu sahaja. "Saya ada lagi tiga adik perempuan yang akan berkahwin dan mungkin kena lalu prosedur yang menyakitkan ini juga. Saya cuba untuk tak disclose nama ayah saya kerana masih mahu beri peluang. Mahu dia beri kerjasama mudahkan urusan kami. "Urusan nikah ni saya cuba buat sendiri sebab saya tak sampai hati nak serabutkan mama saya lagi. Terlalu banyak dah dia lalui," katanya kepada mStar. Wanita ini meluahkan rasa terkilan kerana ayahnya enggan memberikan kerjasama bersabit urusan pernikahannya. Foto: FB Ahza Hana Berkongsi serba sedikit kisah hidupnya, wanita ini berkata penderitaan yang ditanggung oleh mereka lapan beradik terlalu perit kerana sering menjadi sasaran. "Saya tak tahu apa sebab ayah mendera anak-anaknya dari kecil? Tak pernah mengasihi. Bila minta duit belanja ke sekolah, lempang sampai berdarah, terbuka jahitan tudung lebam birat semua ada. "Saya tengok ayah kawan-kawan saya siap cium dahi kawan saya lagi ketika hantar ke sekolah. Saya dipukul ditampar ditendang ditarik rambut," ujar anak sulung daripada lapan adik beradik ini. Lebih perit, penderitaan tersebut hanya mampu ditanggung sendiri dan tidak mendapat bantuan mana-mana pihak lantaran ramai yang terpedaya dengan gelaran ustaz yang disandang bapanya. Tiada rasa hormat bagi lelaki begini. Kami langsung tidak mahu ada kaitan dengan dia langsung. Kami bahagia di sini sangat tanpa dia. Apa-apa jumpa depan Tuhan di akhirat sana. AHZA HANA ANAK "Jiran, kawan ayah, cikgu-cikgu sekolah maahad, kawan-kawan jemaah ayah pun menyebelahi ayah. Kami yang tertindas yang kena telan semuanya," katanya sambil menambah, bapanya sudah berkahwin lain selepas bercerai dengan ibunya pada 2011. Disebabkan mengalami penderaan fizikal dan mental dalam tempoh yang lama, wanita ini serta tiga adiknya terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri. Malah, dia yang menerima rawatan sejak 2013 sehingga kini pernah dimasukkan ke wad kerana pernah cuba mengambil nyawa sendiri. Ahza Hana mendedahkan dia dan adik beradik sering menjadi mangsa penderaan bapanya sejak kecil. Gambar hiasan "Saya kini didiagnos mengalami Persisten Depressive Disorder with Major Depresive Disorder. Diagnos akan berubah dari masa ke semasa. "Alhamdulillah, daripada lima jenis ubat, kini tinggal satu sahaja. Sebab tu saya mahu juga wali enggan (wali hakim). Saya tak boleh berdepan dengan ayah saya. Dia punca semuanya," ujarnya. Bukan berdendam jauh sekali ingin bermusuhan, wanita ini berkata dia tidak mungkin akan melupakan lelaki yang melakukan penderaan fizikal dan mental malah mengabaikan nafkah terhadap mereka lapan beradik.Disebabkan penderaan fizikal dan mental sejak kecil, Ahza Hana dan tiga adiknya terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri. Gambar hiasan "Hutang tanggungjawab hutang nafkah saya serah Tuhan sebulatnya. Kami boleh hidup tanpa kasih sayang, perlindungan, nafkahnya selama hampir 29 tahun, kami tak perlukan dia. "Tiada rasa hormat bagi lelaki begini. Kami langsung tidak mahu ada kaitan dengan dia langsung. Kami bahagia di sini sangat tanpa dia. Apa-apa jumpa depan Tuhan di akhirat sana," ujarnya mengakhiri bicara. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!