suria

“Ada isteri terlupa suami tu prioriti” - Doktor beri peringatan ‘bilik tidur kawasan larangan’... anak tak boleh menumpang!

Anak-anak wajar dididik untuk tidur di bilik masing-masing agar ibu bapa mempunyai privasi. Gambar hiasan.

ANAK-anak mengempeng atau menempel di bilik tidur ibu bapa mungkin menjadi perkara biasa buat sesetengah keluarga.

Perkara ini kelihatan remeh, namun sebenarnya ia memberi kesan terhadap kesejahteraan keluarga serta hubungan antara suami dan isteri.

Paling tidak disangka, ada anak-anak yang masih tidur di bilik ibu bapa walaupun sudah menjejakkan kaki ke sekolah rendah, sebagaimana perkongsian pengalaman oleh seorang doktor ini.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Diarah’ oleh isteri pakai baju tidur sedondon, suami tarik nafas panjang sebelum keluar bilik... pelik benar coraknya - “Masuk saja rumah, dia seronok sangat”

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita lontar pendapat ‘rare’! Hantar parcel waktu tengah hari dianggap tak beradab - “Saya pakai telekung je ambil barang”

"'Saya tidur dekat luar, doktor. Anak-anak tidur dengan isteri di dalam bilik'. Tercengang saya mendengarkan seorang suami mengeluarkan ayat begitu.

"Aik??? Anak-anaknya sudah pun bersekolah, mengapa masih mahu menempel dengan ibunya," tulis doktor berkenaan dalam posting di Facebook.

Terpanggil untuk memberi pandangan mengenai isu berkenaan, Dr Rusyainie Ramlie berkata adalah penting untuk mendidik anak-anak sedari usia mereka masih kecil mengenai hak privasi ibu bapa.



Perkongsian Dr Rusyainie mengenai pentingnya ibu bapa memisahkan tempat tidur bersama anak-anak.

"Situasi yang selalu terjadi, suami balik ke rumah, isteri sibuk melayani anak-anak. Kalau isteri bekerja, kadang kala pulang lagi lambat dari suami. Sampai di rumah, dapur mesti berasap. Kain baju menunggu.

"Itu belum kira tugas mengemas rumah yang tiada berpenghujung. Suami juga menjengah di muka pintu, terus dikerumuni anak-anak. Suami isteri terlalu sibuk dengan tugas masing-masing.

"Sudahlah begitu, di atas katil pun anak-anak bergelimpangan. Mana masa dan tempat untuk suami dan isteri? Mengapa kita ketepikan perkara yang sebenarnya sangat penting walaupun dipandang remeh oleh ramai orang," tulisnya.



Dr Rusyainie Ramli yang kini berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tambah doktor ini, perkahwinan dibina di atas landasan kasih seorang lelaki dan seorang wanita, di mana kehadiran anak-anak tidak akan mengubah fakta ikatan antara suami isteri.

"Dunia suami isteri bukan berkisar pada anak-anak sahaja. Bilik tidur utama memang dibuat untuk suami dan isteri. Bayi dari kecil mesti diasingkan dari katil suami isteri. Letakkan katil bayi di sebelah dan cukup usianya, asingkan tempat tidur anak-anak dari ibu dan ayah.

"Maka, dengan tidur sekatil suami isteri itu tersangatlah pentingnya sehinggakan di dalam Islam, dinyatakan suami mempunyai hak ke atas tempat tidur. Di dalam Al Quran ada firman Allah menyebut tentang mengasingkan tempat tidur di antara ibu ayah dan anak-anak (Surah an-Nur ayat 58).



Anak-anak wajar dididik sejak kecil untuk tidur di bilik sendiri. Gambar hiasan

"Yang saya ingin tekankan di sini ialah kepentingan menjadikan katil suami isteri itu sebagai satu-satunya tempat di dalam rumah yang tidak boleh dibenarkan anak-anak untuk menumpang tidur. Anak-anak mesti dididik untuk menghormati katil ibu dan ayah," tulisnya.

Dalam hal ini, Dr Rusyainie berkata si bapa wajar memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak untuk tidur di bilik masing-masing.

"Ada isteri yang macam terlupa yang suami tu prioriti bila dah ada anak-anak. Katil itu hak kita dan bukan untuk anak-anak. Mereka ada tempat mereka sendiri dan mereka mesti menghormati privasi kita.



Antara komen netizen yang menyokong pandangan Dr Rusyainie selain berkongsi pengalaman masing-masing.

"Saya selalu bayangkan, yang mungkin satu hari nanti, kalau umur suami tak panjang, tidur sebelah dia adalah salah satu perkara yang buatkan saya rindu padanya. Itu memori peribadi saya dengan dia yang tak ada siapa pun boleh berkongsi dengan saya, termasuklah anak-anak," tulisnya lagi.

Sehingga kini posting tersebut meraih lebih 1,000 shares selain dibanjiri ratusan komen netizen yang bersetuju dengan pandangan doktor berkenaan, selain ada di antaranya turut berkongsi pengalaman masing-masing.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain