"BALIK kampung nanti sila patuh SOP ye acik-acik semua" Demikian kapsyen yang tertulis pada perkongsian seorang pelayar Facebook bernama Fie Shafinaz sambil memuat naik beberapa keping gambar seorang 'jururawat' yang menyampaikan pesanan tersebut. Apa yang menarik perhatian netizen, jururawat di dalam gambar berkenaan bukan biasa-biasa sebaliknya tuan punya badan adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun! ARTIKEL BERKAITAN: Lima bulan dikelilingi pesakit Covid-19, baru kini doktor dedah perkataan ‘lumpuh’ paling ditakuti barisan frontliners - “Kami menangis...” ARTIKEL BERKAITAN: 10 tahun kerja di bilik mayat, nurse akui sering diganggu, ada yang tunjuk depan-depan... bunyi burung gagak dah tahu apa petandanya! Lengkap berpakaian seragam putih lagak seorang jururawat, penampilan 'jururawat cilik' berkenaan bisa membuatkan hati netizen cair kerana kecomelannya. Berkongsi cerita dengan mStar, ibu kepada kanak-kanak tersebut yang mahu dikenali sebagai Intan Shafinaz berkata, gambar berkenaan dirakam tahun lalu sewaktu anaknya, Nur Afeeya Raisha Abdul Rahman mengambil bahagian sempena sambutan Hari Kemerdekaan di taskanya. Gambar Aleeya berpakaian uniform seorang jururawat yang pernah tular tahun lalu. "Sebenarnya gambar tersebut dirakam tahun lalu dan jadi viral selepas ibu saudaranya muat naik di media sosial. "Ini kali kedua gambar tersebut viral. Saya pun baru tahu selepas seorang kawan tag saya di Facebook. Mungkin kena dengan musim Covid-19 sekarang, sebab tu viral lagi sekali," kata ibu berusia 32 tahun ini. Bercerita lebih lanjut, Intan Shafinaz berkata kedua-dua anak perempuannya sememangnya amat meminati kerjaya sebagai seorang jururawat lantaran sering melihatnya mengenakan seragam putih itu ketika bertugas. Ini kali kedua gambar tersebut viral. Saya pun baru tahu selepas seorang kawan tag saya di Facebook. Mungkin kena dengan musim Covid-19 sekarang. INTAN SHAFINAZ IBU "Saya jururawat dan suami juga merupakan kakitangan perubatan. Mereka terpengaruh apabila melihat kedua ibu bapa mereka pakai seragam putih setiap hari ketika bertugas. "Nak dijadikan cerita, tahun lalu anak bongsu, Afeeya mengambil bahagian sempena sambutan kemerdekaan taskanya. Jadi senang cerita pilih tema baju nurse saja. "Disebabkan susah nak cari saiz di kedai mahupun online sebab Afeeya kecil, saya siap hantar kepada tukang jahit saya di Melaka. "Tahun ni kakaknya, Nur Afina Raisha pun ada sambutan kemerdekaan di tadikanya yang tetapkan tema frontliners... jadi dia juga pilih nak pakai baju nurse tapi yang warna biru, pangkat Sister," ceritanya yang bertugas di Johor Bahru, Johor. Kedua-dua anak perempuan Intan Shafinaz menaruh minat untuk bergelar seorang jururawat seperti dirinya. Wanita ini berkata, dia dan suami sama sekali tidak menghalang minat dan cita-cita kedua-dua anak mereka sekiranya memilih jururawat sebagai kerjaya. "Kerjaya jururawat ni besar pengorbanannya, berkhidmat untuk masyarakat. Kerjaya ini melatih seseorang banyak perkara. "Sikap sabar yang rendah jadi tinggi, dari kasar jadi lembut," ujarnya yang berpengalaman bertugas selama sembilan tahun. Intan Shafinaz dan suaminya tidak menghalang sekiranya kedua-dua anak mereka menceburi kerjaya yang sama. Dalam masa yang sama, jururawat ini turut menitipkan nasihat buat orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP lantaran wabak Covid-19 masih lagi mencatatkan kes baharu sungguhpun dalam keadaan terkawal. "Sekarang ni memang amat digalakkan sangat semua pakai topeng pelitup muka tambah-tambah lagi kalau pergi tempat yang sesak. "Kita tak tahu status setiap orang yang kita jumpa. Kalau tak ada hal penting, elok duduk saja di rumah. Walaupun kita sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tapi bukan bebas sepenuhnya," ujarnya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!