SEBUAH video yang tular menunjukkan kereta putih menukar laluan secara tiba-tiba untuk memasuki simpang di lebuh raya telah membangkitkan kemarahan netizen. Tindakan tidak berhemah pemandu tersebut dalam kejadian dekat Subang Jaya, Selangor itu menyebabkan seorang penunggang motosikal terbabit kemalangan apabila dirempuh kereta berkenaan, sebelum digilis oleh motosikal lain yang tidak sempat mengelak. Susulan kejadian yang dianggap mengerikan itu, ramai yang memberi nasihat agar tidak terus panik sekiranya terlepas simpang dan menukar laluan secara tiba-tiba. ARTIKEL BERKAITAN: Cover malu atau melatah? Ramai nak tahu apa motif bro ni bersilat selepas melambung langgar lampu merah ARTIKEL BERKAITAN: Main masuk je! Penunggang motosikal hijau terus 'blah' selepas mangsa jatuh... tapi pemandu Swift merah wajar dapat pujian! Ini kerana tindakan pentingkan diri sendiri hanya membahayakan nyawa orang lain yang boleh mengakibatkan kematian. Kemalangan akibat seorang pemandu memasuki simpang secara tiba-tiba dekat Subang Jaya, membangkitkan kemarahan ramai. Susulan pandangan itu, seorang netizen membuat perkongsian di Twitter mengenai satu simpang yang di sebuah lebuh raya yang tidak seharusnya dilepaskan. Bagaimanapun, dia tidak menyarankan orang ramai supaya menukar laluan secara tiba-tiba untuk memasuki simpang berkenaan tetapi dimaklumkan secara berjenaka. "Kecuali simpang Ipoh, kalau terlepas jangan panik. Berhenti kereta di highway dan keluar dari kereta anda. Teruskan perjalanan anda ke Ipoh dengan berjalan kaki," tulis pengguna Twitter Apar Raziq menerusi akaun @AparRaziq secara berseloroh. Membentangkan hujahannya dengan memuat naik gambar-gambar papan tanda susur masuk ke Ipoh di lebuh raya, Apar Raziq berkata, jika terlepas simpang sekiranya perjalanan dari arah selatan, pemandu terpaksa berpatah balik melalui susur masuk seterusnya iaitu Kuala Kangsar kira-kira 50 kilometer (km). "Kalau terlepas exit Ipoh ni, memang baik jalan kakilah. Next exit Kuala Kangsar kira-kira 50km. Lepas tu nak pusing ke Ipoh adalah dalam jumlah 100km," katanya. Perkongsian seorang pengguna Twitter sekiranya terlepas simpang masuk ke Ipoh. Bagaimanapun, menurut semakan jarak dari Ipoh ke Kuala Kangsar adalah kira-kira 25km sehala, menjadikan jumlah perjalanan tambahan 50km sekiranya berpatah balik. Perkongsian tersebut turut meraih perhatian netizen yang memberi komen dan pandangan masing-masing berkaitan simpang ke Ipoh. "Bayangkan kampung kau kat Ipoh, lepas tu jem dari KL sampai Ipoh berjam-jam. Bayangkan pula kalau terlepas simpang Ipoh ni padahal dah boleh sampai kampung kau. Dah kena redah beberapa jam sampai Kuala Kangsar pula," komen seorang netizen. "Dia punya penyelesaian... dah nampak IPOH (papan tanda), jangan lagi berkhayal drive sebelah kanan," ujar yang lain memberi peringatan. Walaupun dah duduk Ipoh berpuluh tahun, sekali terlepas exit Ipoh ni, berhuhu jelah terus ke exit Kuala Kangsar NETIZEN Netizen juga tertarik dengan papan tanda yang tertera perkataan Ipoh jauh lebih besar berbanding destinasi lain. "Besar punya Ipoh dia tulis tu. Terlepas juga tak tahu lah," tulis seorang netizen. Komen netizen mengenai simpang ke Ipoh. Malah, beberapa pengguna jalan raya turut berkongsi pengalaman lucu kerana terlepas susur masuk ke Ipoh. "Hahaha memang azab mat, pernah sekali terlepas simpang ni, nak pergi makan tengah hari je pun. Dengan motor kapcainya daki terowong menora, minyak ngam-ngam sampai Kuala Kangsar," katanya. "Haha... pernah kena sekali walaupun dah duduk Ipoh berpuluh tahun, sekali terlepas exit Ipoh ni, berhuhu jelah terus ke exit Kuala Kangsar. Dah lah malam raya pula masa tu. Dari pelan nak pergi gerbang malam cari shawl raya terus tak jadi," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!