suria

Majlis kahwin penuh emosi... bersatunya remaja-keluarga selepas 20 tahun, baru sedar ibu kandung ucap “Happy Birthday” tiap tahun - “Dah lama ibu stalk Facebook”

Pertemuan penuh emosi Dodiey (kanan) dan keluarga kandungnya pada Sabtu yang kini tular di media sosial.

VIDEO pertemuan seorang remaja bersama keluarga kandungnya yang terpisah selama 20 tahun ternyata mengundang air mata netizen.

Dikongsi di Twitter, pertemuan penuh beremosi itu disifatkan Muhd Hidahyat Jamaludin atau Dodiey sebagai satu detik penuh magis dalam hidupnya.

Bercerita kepada mStar, dia yang berusia 20 tahun mendedahkan dirinya diserahkan kepada bapa angkatnya sewaktu masih bayi.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyatuan ketika PKP... 15 tahun terpisah, anak telefon ibu kandung jam 2 pagi - “Masa kecil dulu saya keliru”

ARTIKEL BERKAITAN: "Buat anakku Halim, kalau terasa yang ‘viral’ ni adalah kamu, pulanglah jumpa keluarga"

Dia kemudiannya dibesarkan di Ampang, Kuala Lumpur sebelum bertemu semula dengan seluruh ahli keluarganya di Kajang, Selangor pada Sabtu.

"Saya bertemu mereka sewaktu majlis perkahwinan kakak kandung saya. Memang selama ini tak pernah jumpa. Baru sekarang saya ada kekuatan untuk jumpa.

"20 tahun lepas saya diserahkan kepada ayah angkat sebab keluarga tak berkemampuan pada waktu itu. Selama ni saya pun tak terfikir untuk cari mereka... mungkin saya belum matang.

Pertemuan penuh emois berlangsung di Kajang pada Sabtu.

"Tambahan pula, saya dijaga dengan baik oleh keluarga angkat. Memang dari kecil saya tahu saya anak angkat, tapi saya lihat dari sudut positif je," ujarnya.

Menurut Dodiey lagi, pertemuan itu turut disulami air mata setelah masing-masing dapat bersua dan berpelukan buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun.

Malah katanya, segala rasa takut terus terlerai saat pertama kali menatap wajah keluarga kandung yang cukup mengalu-alukan kedatangannya.

Saya anggap pertemuan semalam sebagai hari yang bersejarah. Benda yang mustahil pun boleh berlaku.

MUHD HIDAHYAT JAMALUDIN

"Biarpun diserahkan kepada orang lain sejak kecil, saya tak pernah salahkan keluarga. Jadi sehari sebelum jumpa tu, perasaan saya memang takut dan berdebar-debar. Rasa ragu-ragu.

"Keluarga angkat pun tak halang saya nak pergi jumpa. Kata mereka, inilah masa yang sesuai. Masa nak sampai tu makin berdebar.

"Bila jumpa mak ayah, adik beradik, terus hilang rasa takut. Sangat mengalu-alukan saya. Kami semua tujuh beradik dan saya anak bongsu. Semua menangis masa tu.

Dodiey akui dijaga baik oleh keluarga angkatnya selama ini.

"Bila dah jumpa balik ni, saya akan fokus dua-dua... keluarga angkat dan keluarga kandung. Kedua-duanya tiada lebih tiada kurang.

"Saya anggap pertemuan semalam sebagai hari yang bersejarah. Benda yang mustahil pun boleh berlaku. Percayalah pada keajaiban," ujarnya yang bekerja dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di ibu negara.

Dalam pada itu, Dodiey mendedahkan keluarga kandungnya sudah mengenali dirinya menerusi laman sosial sejak bertahun lamanya sebelum dia menyedarinya pada tahun lalu.

Pertemuan Dodiey bersama keluarga kandung sewaktu majlis perkahwinan kakaknya pada Sabtu.

Malah katanya, ibu kandungnya juga sentiasa menghantar ucapan 'selamat hari lahir' kepadanya menerusi laman Facebook sebelum dia membuat semakan dan menyedari kehadiran wanita itu.

"Saya mula ada Facebook sejak usia 11 tahun. Jadi setiap kali hari lahir saya, ada seorang makcik akan hantar ucapan setiap tahun. Rupa-rupanya dah lama mak stalk Facebook saya.

"Kemudiannya pada tahun lepas saya mula perasan. Jadi saya cuba siasat dan lihat gambar salah seorang anaknya iaitu abang saya yang keenam, wajahnya mirip dengan saya.

Lagi paparan skrin video tular itu.

"Dari situ saya perasan bahawa dia adalah mak kandung saya. Saya approach dan tanya sebelum dia mengaku. Tapi pada masa tu berkenalan secara tak mendalam," ujarnya lagi.

Setelah lama mengumpul kekuatan dan keberanian, Dodiey akhirnya setuju untuk bertemu mereka pada Sabtu menerusi majlis perkahwinan kakaknya.

Sehingga kini, video pertemuan berkenaan menerima lebih 16,000 tontonan menerusi laman Twitter.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain