suria

Angah dipakaikan baju, lampin... dibawa tidur sekatil! Ada yang sanggup bayar cash RM5,000 untuk cucu - “Tak jual kecuali RM8 juta”

(kiri) Foto Angah yang menjadi tular di media sosial. (kanan) Adik kepada Tasha bersama Angah. Foto twitter Dowhatt_ / Nur Ameera Natasha Rossidi

TULAR beberapa foto 'anak kecil' berbaju kemeja-T dan memakai lampin bayi, dilihat bersendirian di sebuah bangku.

Namun, jangan salah sangka kerana 'anak' yang dimaksudkan oleh pengguna Twitter itu adalah seekor anak kambing yang berdiri di atas bangku, diikat dengan tali pada sebatang tiang.

Rupa-rupanya anak kambing itu mempunyai tuannya, yang mengusahakan sebuah kedai menjual jersi bola dan barangan sukan di hadapan bangku yang menjadi tempat haiwan itu berehat.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Rare' kambing sertai hari sukan sekolah, tiba-tiba 'Abang' terlepas... kecoh dibuatnya!

ARTIKEL BERKAITAN: 'Akak baju putih' berlari pegang kucing dalam berita TV dikenal pasti... ada masalah ke? – "Setiap kali roadblock saya pura-pura tidur"

Anak kepada pengusaha kedai berkenaan, Nur Ameera Natasha Rossidi memberitahu, kambing betina itu dibela oleh keluarganya di Padang Besar, Perlis sejak enam bulan lalu.



Seperti anak kecil, Angah memakai baju, seluar dalam bayi dan lampin.

Gadis berusia 23 tahun itu berkata, kambing yang diberi nama Angah itu dibela di kediaman mereka sejak hari kedua ia dilahirkan, manakala ibu bapa haiwan itu ditempatkan di sebuah kandang di Chuping.

"Kami namakan ia Angah sebab sebelum ini kami bela seekor biri-biri bernama Along, tetapi dah mati. Angah ni kami bawa balik sebab dia tak nak menyusu dengan ibu dia.

"Kami beri Angah susu botol. Pernah juga bawa dia tinggal kat kandang di Chuping, tapi dia tak nak dan lebih selesa tinggal bersama kami di rumah," katanya kepada mStar.

Lebih mesra dengan panggilan Tasha,dia berkata ibu kepada anak kambing itu mati dipatuk ulang tedung selar di kandang pada Mei lalu, manakala bapanya diniatkan mereka sekeluarga untuk ibadat korban pada Hari Raya Aidiladha, baru-baru ini.



Tasha (kiri), bapa (tengah) dan adik perempuannya bersama Angah di hadapan kedai mereka di Padang Besar.

Seperti kanak-kanak kecil, kambing bernama Angah itu bukan sahaja memakai lampin bayi, malah dipakaikan baju serta seluar dalam bayi.

"Kami bagi Angah pakai lampin bayi untuk mudahkan dia buang air. Kira-kira lima kali dia tukar lampin, dan setiap kali tu juga tukar seluar dalam.

Angah ni macam keluarga kami, macam adik saya sendiri.

NUR AMEERA NATASHA ROSSIDI

"Baju Angah kami tukarkan setiap dua hari sekali, dan dimandikan seminggu sekali. Yang rajin mandikan dan tukarkan lampin dia adalah adik perempuan saya berumur 12 tahun.

"Adik saya dan Angah memang rapat. Angah tidur pun di dalam bilik adik. Dia lebih jinak kalau ada adik, kalau tak ada dia 'nakal' sikit," ujar anak kedua daripada empat beradik itu.



Angah juga berpeluang menaiki kereta dan tidur di atas tilam.

Menurut Tasha, kebanyakan masa kambing peliharaan mereka sekeluarga akan berada di luar kedai ibu bapanya yang diusahakan di Padang Besar sejak 20 tahun lalu.

"Tapi kami tak sentiasa ikat Angah. Kadang-kadang kami biarkan Angah berjalan-jalan sendiri di kawasan sekitar dan dia jenis pandai datang balik ke kedai terutama bila kami panggil dia.

"Angah memang sukakan budak-budak. Dan budak-budak pun di sini pun seronok bermain dengan Angah," katanya sambil menambah haiwan peliharaannya diberi makan roti, biskut dan dedak soya serta minum susu kambing.



Menurut Tasha, Angah dianggap seperti keluarganya sendiri.

Disebabkan kambing belaan itu mesra dengan kanak-kanak, pelajar Ijazah Sarjana Perakaunan di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil, Kedah itu berkongsi satu insiden melibatkan pelanggan mereka.

"Ada seorang pelanggan bawa cucu dia datang ke kedai. Masa dia nak balik, cucu dia tak nak balik sebab seronok dengan Angah. Pelanggan tu siap keluarkan wang tunai RM5,000 dari beg dia sebab nak beli Angah untuk cucu dia.

"Adik kemudian beritahu kami tak jual Angah. Adik cakap lagi, kalau nak beli juga dengan harga RM8 juta. Adik saja letak harga tu sebab tahu pelanggan tu tak akan beli walaupun dia mungkin bergurau saja.

"Dan kami pun memang tak akan jual Angah, sebab Angah dah macam keluarga kami, macam adik saya sendiri," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain