suria

Fuh! Pahlawan Melayu ala The Hunger Games, sanggup bakar baju sendiri untuk beraksi - “Satu kereta bau minyak masak”

Gaya seorang pemuda menunjukkan aksi silat dengan kayu api menarik perhatian netizen. Foto instagram HaziqSaparudin

SEKALI imbas macam poster filem trilogi genre sains fiksyen dari Hollywood, The Hunger Games lakonan Jennifer Lawrence, Josh Hutcherson dan Liam Hemsworth.

Malah ramai yang melihatnya setaraf siri anime Avatar: The Last Airbender mengenai seorang pemuda yang pakar mengendalikan api melalui teknik seni mempertahankan diri.

"Another level ni," antara komen netizen menerusi foto-foto yang dikongsikan di akaun Twitter @HaziqSaparudin.

ARTIKEL BERKAITAN: Jurugambar tumpang tuah 'Mowgli Malaysia', ditawar slot pameran fotografi

ARTIKEL BERKAITAN: Padah nak gambar meletop punya pasal... baju pengantin lencun, duit melayang, "Habis banjir laluan ke bilik hotel, sampai bomba datang"

Namun, lebih mengagumkan ia sebenarnya adalah teknik fotografi aksi silat seorang jejaka menggunakan nyalaan api yang kelihatan seperti pahlawan Melayu.



Fotografi menggunakan teknik light painting. Foto instagram HaziqSaparudin

Jurugambar berkenaan, Haziq Saparudin berkata, penggambaran fotografi itu dilakukan di sebuah kawasan lapang berdekatan dengan sungai dan paya bakau di Johor Bahru, Johor.

Pemuda berusia 27 tahun itu memberitahu, konsep yang dilakukan adalah fotografi light painting yang merupakan teknik pengimejan yang menggunakan sumber cahaya bergerak.



Netizen memuji fotografi setaraf poster filem The Hunger Games.

"Sebenarnya kami nak buat konsep Melayu sempena kemerdekaan. Bila sampai sana, kami menggunakan konsep api seperti pahlawan Melayu dengan mempamerkan aksi silat.

"Model yang digunakan tu sebenarnya adalah juruvideo yang merupakan rakan setugas saya, tapi dia memang berpengalaman dalam seni silat," katanya kepada mStar.



Aksi seperti seorang pahlawan Melayu. Foto instagram HaziqSaparudin

Haziq yang berpengalaman dalam bidang fotografi sejak dua tahun lalu berkata, mereka mengambil masa lebih tiga jam dari pukul 6.45 petang hingga 10 malam bagi mendapatkan kesan khas seperti yang dikehendaki.

"Memang mencabar juga sebab fotografi ini melibatkan api. Ada masa nyalaan tak cukup besar, bila dah OK sekejap pula bernyala dan terus padam.

"Jadi kena buat berulang kali. Tapi bila api terpadam tu memang tersangat gelap. Mujur ada cahaya bulan, tapi memang tak nampak muka kawan-kawan, hanya nampak pergerakan mereka saja," katanya sambil menambah penggambaran melibatkan dirinya bersama tiga rakan termasuk model.



Di sebalik penggambaran foto. Foto instagram HaziqSaparudin

Pemuda berasal dari Ipoh, Perak itu menjelaskan bahawa kos penggambaran adalah 'sangat bajet' hanya menggunakan kain, petrol dan minyak masak.

"Tapi disebabkan semuanya dibuat secara spontan, kami tak cukup kain untuk melakukan rakaman foto berulang kali. Model kemudian guna baju sendiri untuk terus nyalakan api.

Mencabar juga sebab fotografi ini melibatkan api. Ada masa nyalaan tak cukup besar, bila dah OK sekejap pula bernyala dan terus padam.

HAZIQ SAPARUDIN

"Untuk nampak kesan yang lebih menonjol, kami menyapu minyak masak pada badan model. Dah la tak ada baju ekstra, badan pula berlumur dengan minyak masak. Balik satu kereta tu memang dia tak berbaju dan bau minyak masaklah sepanjang perjalanan," ujar Haziq secara berseloroh.

Bekas jurutera di sebuah syarikat penerbangan itu bagaimanapun tidak menyangka rakaman fotonya itu disamakan dengan filem sains fiksyen dan siri animasi dari luar negara.



Haziq (kanan) berkongsi kisah di sebalik model 'pahlawan Melayu'. Foto instagram HaziqSaparudin

"Bagi saya agak kelakar sebab tak terfikir pun. Tapi satu penghargaan juga bagi saya yang masih baru dalam bidang fotografi.

"Dah cuba konsep api, selepas ini saya bercadang untuk mencuba pelbagai teknik fotografi menggunakan eleman lain pula seperti angin, air dan tanah," kata Haziq.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain