suria

Wanita India ‘korban’ cuti kutip face mask bersepah tepi jalan, kongsi banyak gambar bukan sebab nak publisiti! - “Mengapa tidak saya mulakan dulu”

Usaha yang dilakukan oleh Vasugi bersama adiknya mendapat pujian ramai.

JARANG-jarang sekali ada orang yang sanggup memperuntukkan hari cutinya dengan aktiviti memungut sampah secara sukarela.

Namun tidak bagi wanita berbangsa India ini yang sanggup mengorbankan cuti hujung minggunya dengan aktiviti memungut pelitup muka (face mask) yang dibuang merata-rata.

Berkongsi cerita dengan mStar, Vasugi Ramasamy berkata segalanya bermula minggu lalu apabila dia mendapati banyak pelitup muka 'bersepah' di sepanjang jalan menuju ke tempat kerjanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lupakan parti, pemuda kutip sampah 23 hari sempena hari lahir - “Orang cakap ini kerja paling hina... tak sangka ramai hon, tunjuk isyarat bagus”

ARTIKEL BERKAITAN: “Banyak sangat sampah, nak cari tempat duduk selesa pun susah” - Pantai kotor, pengurus tak jadi riadah... tak sangka ramai tawar diri jadi ‘pekerja pembersihan’

"Saya berulang alik menaiki motosikal dari rumah yang terletak di Sungai Bakap, Pulau Pinang ke tempat kerja di sebuah pasaraya di Parit Buntar, Perak.

"Sepanjang perjalanan, nampak banyak sangat pelitup muka yang dibuang di tepi-tepi jalan. Sebagaimana yang disarankan, kita tak sepatutnya buang macam tu saja, ada cara untuk lupuskannya.

Vasugi dan adiknya, Suriya melakukan aktiviti itu secara sukarela.

"Memikirkan bahaya yang mungkin wujud daripada amalan pembuangan merata-rata ini, keesokannya saya terus ajak adik lelaki, Suriya Kuppusamy untuk kutip," kata wanita berusia 37 tahun ini.

Kerani akaun ini berkata, perkongsian tersebut langsung tidak bertujuan untuk mendapatkan publisiti namun sejujurnya ia lebih kepada menyebarkan kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya daripada tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Dua beradik ini melakukan aktiviti pertama mereka pada Ahad minggu lalu.

"Pada mulanya saya nak buat satu status saja untuk sebarkan kesedaran kepada kenalan yang follow, tapi saya fikir, mesti tak berkesan.

"Jadi mengapa tidak saya yang mulakan dahulu... sebab itu saya kongsi gambar aktiviti-aktiviti tersebut di Facebook. Tak sangka langsung ramai yang share sampai viral," ujarnya yang berasal dari Pulau Pinang.

Pada mulanya saya nak buat satu status saja untuk sebarkan kesedaran kepada kenalan yang follow, tapi saya fikir, mesti tak berkesan. Jadi mengapa tidak saya yang mulakan dahulu.

VASUGI RAMASAMY

Bercerita lebih lanjut, Vasugi berkata dia bercadang untuk meneruskan aktiviti ini pada setiap hujung minggu bersama ahli keluarganya yang lain.

"Ahad akan datang, suami dan dua adik beradik akan turut sertai aktiviti ini. Saya bercadang untuk kutip di kawasan kampung berdekatan komuniti kami.

Longgokan pelitup muka yang berjaya dikutip hasil aktiviti sukarela Vasugi dan adiknya, Suriya.

"Siapa yang berkelapangan, boleh saja nak sertai. Kali pertama buat minggu lalu, ramai orang yang lalu lalang perasan dan mereka buat 'thumbs up'.

"Rasa seronok dan juga bangga pada masa yang sama. Kita boleh beri sumbangan dalam pelbagai bentuk, dan inilah sumbangan saya kepada masyarakat," ujarnya mengakhiri bicara.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain