SIAPA sangka kunjungan seorang gadis Melayu ke Klang, Selangor untuk mencari kain sari, telah mempertemukannya dengan seorang wanita India yang baik hati. Pengalamannya mengenai pertemuan tersebut dikongsikannya di laman sosial, selepas berhasrat untuk memakai sari pada majlis yang berlangsung selama sehari. Berkongsi pengalamannya kepada mStar, gadis berkenaan, Maizura Mat Rasid berkata, kejadian berlaku pada tahun lalu sempena satu majlis kebudayaan di universitinya. ARTIKEL BERKAITAN: Isu Mira Filzah hangat di media sosial, 'view' dalam tren lebih harmoni! Aunty India relaks je tolong wanita Melayu pakai sari - "Dia patah balik cari saya dengan motor" ARTIKEL BERKAITAN: Mira Filzah minta maaf dituduh eksploitasi pakaian tradisional India kaut untung - "Saya sangat hormati dan mencintai budaya anda" Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam,Selangor itu berkata, dia memilih untuk memakai sari bukan sahaja kerana pakaian tradisional kaum India itu disifatkan begitu cantik, malah turut mengakui dirinya adalah peminat filem-filem Bollywood. Selain sari, Aunty Jothi turut menghadiahkan aksesori gelang untuk Maizura. "Saya ditemani seorang kawan pergi ke Little India di Klang kerana di situ terdapat beberapa kedai yang menjual kain sari. "Sewaktu saya mencuba sari di sebuah kedai, datang seorang wanita India yang membantu saya mengikat kain, dia siap tanya kenapa saya nak pakai sari," kata gadis berusia 24 tahun itu kepada mStar. Menjawab pertanyaan itu, Maizura berkata, wanita India yang dipanggilnya sebagai Aunty Jothi berasa hairan, malah bertanya lagi untuk mendapatkan kepastian. "Dia tanya kenapa nak beli kalau nak pakai untuk sehari je. Dia kemudian pelawa saya untuk ke kedainya di Seksyen 7 di Shah Alam kerana dia ada simpan banyak kain sari. "Saya fikir okay juga nak pinjam sari daripada beli. Petang hari yang sama kami pergi ke kedainya... MasyaAllah memang banyak dan lebih tiga helai juga saya cuba," ujar pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Komunikasi Antarapersonal). Bersama pelajar-pelajar lain pada majlis kebudayaan yang dihadiri Maizura di UiTM. Maizura bagaimanapun terkejut apabila mendapati dia sebenarnya berada di kedai peralatan sembahyang dan makanan yang diusahakan oleh Aunty Jothi yang berusia 50 tahun. Ini kerana hasrat gadis yang berasal dari Setiu, Terengganu untuk menyewa pakaian tradisional itu ditolak oleh wanita berkenaan, sebaliknya kain sari itu mahu diberikan sebagai hadiah. Saya memang minat Bollywood, jadi dapat feeling-feeling macam pelakon pujaan saya, Preity Zinta. MAIZURA MAT RASID "Aunty Jothi kata ambillah, dia hadiahkan. Berkali-kali saya tanya sebab tak percaya. Tapi Aunty Jothi betul-betul serius nak hadiahkan saya kain sari tu sebab dia kata ada banyak dalam simpanannya. "Bukan sekadar itu, malah dia juga hadiahkan saya aksesori beberapa gelang untuk dipakai bersama. Aunty Jothi juga siap pin pada lipatan kain untuk mudah saya pakai terus," katanya sambil menambah wanita berkenaan merupakan ibu kepada dua anak. Maizura (dua, kiri) dan beberapa rakannya yang turut memakai pakaian tradisional dari beberapa negara. Tambah anak bongsu daripada lima beradik itu, wanita India itu juga menawarkan diri untuk menata rias wajahnya untuk majlis keesokan pagi tetapi mempunyai komitmen lain. "Saya ada juga jemput Aunty Jothi untuk hadir ke majlis tu tapi dia tidak berkesempatan kerana mempunyai urusan kerja. "Tapi syukur, kerana ramai puji sari yang saya pakai di majlis tu cantik. Saya memang minat Bollywood, jadi dapat feeling-feeling macam pelakon pujaan saya, Preity Zinta," katanya dengan nada teruja sambil menambah turut meminati aktor Bollywood, Aamir Khan. Maizura masih berhubung dengan Aunty Jothi sehingga kini. Menurut Maizura, hubungannya dengan Aunty Jothi tidak terhenti sekadar itu, malah kedua-dua mereka terus berhubung sehingga kini. "Kami ada jumpa beberapa kali, dan saya sering ke kedainya untuk bertanya khabar memandangkan lokasinya berdekatan dengan kampus. "Aunty Jothi selalu cerita pasal anak-anak dia dan dia juga sukakan kuih raya. Dan pada raya tahun lalu saya ada bawakan kuih raya untuk Aunty Jothi. Kerana sari, hubungan kami berlainan bangsa dan umur terus berkekalan sehingga ke hari ini," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!