suria

Impikan Mercedes A45, aunty pelawa Proton Saga! Model sambilan sedar sesuatu selepas drive kereta biasa-biasa - “Ia ditanya dalam nada sarkastik”

Tahanee mengakui kereta itu banyak berjasa kepadanya dan ahli keluarga yang lain.

"BUKAN kereta idaman."

Demikian kata seorang gadis mengenai sebuah Proton Saga yang selama ini banyak berjasa kepadanya.

Menurut Tahanee Shauki, 23, dia bagaimanapun bersyukur dengan kereta yang dipinjamkan ibu saudaranya itu kerana ia banyak memudahkan urusannya selama ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kumpul duit busking 3 bulan nak beli kereta pertama, jejaka Labuan ini sedih Proton Saga baru pakai sebulan dicuri - “Kalau makan penat lelah orang, tak kekal”

ARTIKEL BERKAITAN: “Ayah pernah nampak, tapi saya tak percaya” - Jurutera terkejut, pelik kereta ‘total loss’ tahun 2014 muncul atas jalan raya

Berkongsi kisah suka duka bersama kereta tersebut, ia ternyata mengundang perhatian warga Twitter sehingga menerima hampir 8,000 ulang kicau (Retweet).

Bercerita kepada mStar, pelajar yang mesra disapa Tahanee itu mengakui tidak segan memandu kereta nasional sebaliknya bangga dan menyifatkan ia sebagai tulang belakang buat dirinya.

"Dulu saya pernah buat luahan hati nak cari kereta, nak beli... kemudian aunty suruh ambil kereta dia dan saya bayar bulan-bulan. Bayarannya juga berpatutan, dah hampir setahun saya guna kereta tu.

Perkongsian gadis ini mengenai kereta tersebut menjadi tular di laman Twitter.

"Tapi kereta idaman saya merupakan Mercedes A45. Lepas dah bawa Saga ni, saya sedar ia boleh bawa saya ke mana-mana. Sejak ada kereta tu, banyak hikmah yang berlaku.

"Ada satu masa kereta papa rosak, saya boleh pergi ambil kereta dia. Saya juga boleh tolong adik-adik. Malah saya ulang alik ke kampus dari Kuala Lumpur ke Johor setiap minggu menggunakan kereta ini," ujarnya.

Kereta ini mengajar saya apa erti sebuah impian.

TAHANEE SHAUKI

Menurut penuntut bidang Komunikasi Antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Pagoh itu, biarpun mengimpikan sebuah kereta mewah, dia juga tidak kisah seandainya impian itu tidak dipenuhi suatu masa nanti.

Apa yang penting katanya, dia mahu menyediakan kereta yang selesa buat dirinya dan keluarga.

"Kereta ini mengajar saya apa erti sebuah impian, komitmen, pengorbanan dan kasih sayang.

Tahanee juga merupakan seorang model sejak tujuh tahun lalu.

"Jika suatu hari nanti saya mampu beli kereta mewah pun, saya rasa saya tak akan laburkan duit untuk hal seperti itu.

"Saya post pasal hal ini di Twitter pun sebab ada orang tanya, tak nak tukar kereta ke? Ia ditanya dalam nada sarkastik.

"Sekarang saya menjalani latihan industri di Petaling Jaya, kereta ni banyak membantu pergerakan saya," ujarnya lagi.

Tahanee bersyukur apabila kereta itu banyak memudahkan urusannya selama ini.

Selain itu kata Tahanee, kehadiran kereta itu turut memudahkan urusannya dalam menjalankan kerja sampingan sebagai model sambilan.

Ujar Tahanee, sudah hampir tujuh tahun dia berkecimpung dalam bidang itu dan langsung tidak melihat penggunaan kereta jenama biasa-biasa sebagai satu perkara yang memalukan buatnya.

Di ruangan komen Twitter, rata-rata netizen turut bersetuju dengan Tahanee dan turut memuji pendiriannya.

Malah, ramai yang turut berkongsi kisah dan foto bersama kereta masing-masing sebagai tanda apresiasi atas jasa-jasa selama ini.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain