suria

Gadis sedekah mask kepada pemuda tak dikenali, terkejut individu sama muncul di tempat kerja 2 hari kemudian - “Dia hulur kotak dan beredar”

Gadis ini tidak menyangka niatnya memberikan mask kepada seorang pemuda dibalas dengan pemberian yang tidak disangka.

BUAT baik, pasti dibalas baik.

Demikian situasi yang dialami seorang gadis selepas tindakannya membantu seorang pemuda tidak dikenali, tanpa diduga dibalas kembali oleh individu berkenaan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Syam Shira Md Radzi berkata kejadian berlaku kira-kira dua minggu lalu ketika dia ditugaskan menjaga pintu masuk sebuah pasar raya serbaneka dan perkakasan rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Berkejar dari kelas ke hospital sampai tak sempat makan, tapi layanan abang Grab memang tak disangka-sangka – “Siap offer kuih pau lagi!”

ARTIKEL BERKAITAN: “Tersentuh hati baca nota, tak sangka masih ada insan berhati mulia” – Kereta tercalar, tapi pemuda ini tetap pulangkan wang

"Sekarang ini kan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan semua premis perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP). Tambahan pula kerajaan wajibkan pemakaian topeng pelitup muka (face mask).

"Ketika hari kejadian, saya perasan ada seorang pelanggan lelaki, dia macam teragak-agak nak masuk. Bila ditanya, dia beritahu dia tak ada mask. Ketika itu dah pukul 9.30 malam dan kedai nak tutup dah.

"Takkan nak suruh dia patah balik semata-mata ambil mask, nanti tak sempat pula dia nak beli barang. Jadi saya pun berikan mask saya kepadanya," ujar gadis berusia 22 tahun yang senang disapa sebagai Shira ini.



Pemuda berkenaan menulis sekeping nota dan menghadiahkan penyambung pelitup muka (mask extension) sebagai tanda terima kasih kepada Shira.

Tanpa diduga, pemuda berkenaan muncul semula dua hari kemudian di pasar raya tempat Shira bekerja.

"Ketika itu saya ditugaskan jadi juruwang. Pemuda ini ada membeli barang juga dan bila dah selesai buat pembayaran, dia hulurkan satu kotak kepada saya dan beredar selepas ucap terima kasih.

"Bila dibuka, rupa-rupanya isi dalam kotak berkenaan merupakan sekeping nota menyatakan rasa terima kasihnya atas pertolongan saya tempoh hari.

Saya percaya kalau buat baik, pasti Allah akan balas dengan kebaikan juga. Tapi jujurnya saya tak mengharapkan apa-apa balasan langsung.

SYAM SHIRA MD RADZI

"Katanya dia hampir saja nak 'give up' sebab tak ada mask tapi tak sangka saya bantu. Bersama nota tersebut juga, dia hadiahkan satu penyambung (extension) mask yang dibuatnya sendiri," ujar Shira yang merupakan anak bongsu daripada 11 adik beradik.

Bercerita lebih lanjut, Shira berkata insiden tersebut merupakan pengalaman pertamanya menerima pemberian daripada pelanggan sepanjang hampir setahun setengah bekerja di pasar raya yang terletak di Batu Gajah Perdana, Ipoh, Perak itu.



Shira (tengah) bersama kakak dan ibunya. Gadis ini merupakan anak bongsu daripada 11 adik beradik.

"Saya percaya kalau buat baik, pasti Allah akan balas dengan kebaikan juga. Tapi jujurnya saya tak mengharapkan apa-apa balasan langsung.

"Saya cuma berharap sekiranya saya, ibu bapa atau keluarga dalam situasi yang memerlukan pertolongan, Allah hadirkan orang lain pula untuk bantu.

"Namun saya terharu apabila pemuda ini sungguh-sungguh menghargai pertolongan saya walaupun ia tak seberapa," ujarnya mengakhiri bicara.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain