suria

“Janji nak bawa saya, dia pula nak serah” - Dua kali terkena! Pelukis dedah jadi mangsa eksploitasi... 30 jam siapkan potret PM, hasrat jumpa abah tinggal mimpi

Pemuda bernama Aqef meluahkan rasa terkilan kerana dieksploitasi seorang individu yang mempergunakan dirinya demi kepentingan peribadi.

MASIH ingatkah anda dengan lukisan potret wajah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi viral ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa bulan lalu?

Lukisan bertajuk 'Terima Kasih Abah' itu adalah karya seorang pemuda bernama Mohamad Aqef Aizaq Che Jaaffar yang berasal dari Kampung Chetok, Pasir Mas, Kelantan.

mStar pada penghujung April lalu pernah menyiarkan artikel mengenai pemuda berusia 20 tahun ini yang berkongsi rasa gembira dan teruja kerana impiannya untuk menyerahkan sendiri karya tersebut kepada perdana menteri hampir menjadi kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Terima Kasih Abah’ bawa tuah buat pemuda kampung... impian serah lukisan kepada PM hampir jadi kenyataan – “Karya ikhlas seorang budak kampung”

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat tugasan melalui WhatsApp, pelajar perlukan 5 jam, 3 alat hasilkan potret PM yang wow!

Namun hampir lima bulan sudah berlalu, impian pemuda ini hanya tinggal impian.

Membuka cerita kepada mStar, pemuda yang senang disapa Aqef ini meluahkan rasa sedih dan terkilan dengan tindakan pihak tertentu yang didakwa mengekploitasi dirinya untuk kepentingan sendiri.



Terima Kasih Abah karya Aqef dalam saiz A1 dan A3 yang masih belum berjaya diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Selepas viral tempoh hari, saya ada kongsikan bahawa saya dihubungi seseorang yang mengatakan dirinya dari Pejabat Perdana Menteri. Kali terakhir beliau beritahu bahawa impian saya nak serahkan sendiri potret bersaiz A3 itu mungkin dapat dilaksanakan selepas PKP.

"Saya faham sebab susah nak bergerak dalam tempoh PKP. Namun hingga sekarang, individu itu diam tanpa khabar berita. Kemudian, tampil pula seorang individu lain yang mahu membantu merealisasikan impian saya itu.

"Namun, dia minta saya lukis satu lagi potret iaitu wajah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Untuk potret itu, dia tempah dan mahu bayar ikut harga yang ditetapkan.



Aqef bersengkang mata menghasilkan karya Terima Kasih Abah dan berjaya menyiapkannya dalam tempoh masa 30 jam.

"Kata penempah itu, dia akan cuba aturkan dan kalau ada rezeki, saya akan dapat jumpa kedua-dua pemimpin berkenaan serta menyerahkan sendiri potret tersebut," ceritanya.

Bercerita lebih lanjut, Aqef berkata individu itu kemudian memintanya menghasilkan satu lagi potret perdana menteri dalam saiz yang lebih besar.

"Katanya, segan la kalau bagi yang kecil. Saya setuju dan siap ambil cuti seminggu daripada bos di tempat kerja sekarang. Bos dan kawan-kawan pun tumpang gembira dengan berita ni," katanya.

Namun tanpa diduga, timbul beberapa perkara yang seakan-akan tidak kena sehingga membuatkan pemuda ini berasa tidak sedap hati.

Siapa tak panas hati... janji nak bawa saya ke sana, alih-alih dia pula nak serah. Dah la saya belum sempat sign di potret itu. Seperti mempergunakan saya pula.

MOHAMAD AQEF AIZAQ CHE JAAFFAR

PELUKIS

"Individu itu minta nombor kad pengenalan nak booking tiket penerbangan. Kemudian tak lama lepas tu katanya tak jadi, naik kereta saja supaya mak ayah saya pun boleh ikut.

"Kemudian dia kata, anak buah dia yang akan pergi, bukan dia. Saya dah semakin pelik sedangkan dia yang berjanji pada awalnya. Tapi saya siapkan juga potret dalam saiz A1 itu... sampai bersengkang mata. Ia akhirnya dapat disiapkan dalam masa 30 jam," ujar Aqef.

Cerita Aqef lagi, individu tersebut kemudian meminta 'anak buahnya' mengambil lukisan potret Datuk Seri Ismail Sabri dan dua potret perdana menteri daripada tangannya untuk dipasang bingkai yang lebih cantik.

"Selepas pasang bingkai, individu itu pergi ke Kuala Lumpur tanpa saya dan siap serahkan sendiri ke tangan Datuk Seri Ismail Sabri. Kebetulan perdana menteri tiada bersama... kalau ada, mesti dia bagi sekali.



Aqef terkilan dengan tindakan seorang individu yang seolah-olah mengeksploitasi dirinya untuk kepentingan sendiri.

"Siapa tak panas hati... janji nak bawa saya ke sana, alih-alih dia pula nak serah. Dah la saya belum sempat sign di potret itu. Seperti mempergunakan saya pula. Dia nak serah potret Datuk Seri Ismail, itu haknya sebab dia beli dan dah bayar.

"Saya hubunginya dan minta serahkan kembali potret perdana menteri dalam masa tiga hari. Jika gagal, saya buat laporan polis. Individu itu menerusi anak buahnya kemudian pulangkan dua potret itu kembali," ujarnya bercerita panjang.

Pemuda ini menegaskan tujuannya menghasilkan potret berkenaan bukan disebabkan wang mahupun publisiti, namun hanya untuk memberikan penghargaan kepada insan yang menjadi kesayangan rakyat ketika ini.



Pemuda ini masih menaruh harapan untuk menyerahkan sendiri karya Terima Kasih Abah kepada perdana menteri.

"Kalau ada yang kata, pasal lukisan pun nak riuh, mungkin mereka tak faham makna sesebuah karya.

"Janganlah aniaya atau pergunakan orang seolah-olah beri harapan. Buatlah perjanjian dengan sebaiknya. Buat masa ini, saya masih menunggu lagi individu pertama yang hubungi saya dahulu dan masih simpan harapan nak serah sendiri kepada perdana menteri.

"Saya tak putus asa, cuma terkilan dan lemah semangat sikit bila orang tipu. Kalau saya kena ke sana naik bas, jumpa beliau kejap untuk serahkan pun tak apa.

"Pilihan terakhir, kalau tak mampu hantar sendiri, dan kalau pihak sana suruh pos lukisan saja pun tak mengapalah," ujarnya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain