suria

Pelukis tahan sabar pelanggan mahu bayar RM10 upah lukis potret, siap ‘siasat’ harga peralatan - “Pensel arang tu berapa?”

Potret-potret dihasilkan Yasser kelihatan cukup realistik dan dia mula mengusahakan perniagaan itu sejak tahun 2016.

KURNIAAN bakat yang membolehkan pemuda ini melukis potret wajah manusia dengan cukup realistik tidak dipersiakannya.

Biarpun memilih haluan kerjaya sebagai juruteknik, Mohd Yasser Mohd Yazid turut menjadikan penghasilan potret sebagai sumber pendapatan sampingan.

Namun sebagai pelukis, dia juga tidak terlepas berdepan dengan segelintir individu yang mungkin kurang kesedaran terhadap karya seni sehingga melihat ia sebagai sesuatu yang mudah dan murah.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Nak tengok lukisan atau pelukisnya dulu? - “Cantik itu subjektif”

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 5 kali interview arkitek tak dapat, pelajar master tak persia bakat seni... Yuna, Neelofa pun perasan! - “Rasa macam menang anugerah”

Sebagaimana tular di media sosial, pemuda berusia 30 tahun itu berkongsi paparan perbualan dengan seorang individu yang mahu mendapatkan potret wajah pada harga cukup tidak masuk akal, serendah RM10.

Mesra disapa Yasser, dia mengakui perbualan itu berlaku pada penghujung tahun lalu, namun ia kembali tular setelah dikongsi oleh seorang individu lain di laman Twitter.

"Itu mesej pada Disember tahun lepas. Saya sebenarnya dah melukis dari kecil, tapi baru ada keyakinan untuk jual bermula tahun 2016.

Yasser mula menjual potret pada tahun 2016.

"Ada segelintir memang macam tu, dah biasa jumpa sebenarnya. Saya tak marah atau maki pun, cuma ucap terima kasih je.

"Mereka fikir, kita ada bakat semula jadi, dia anggap senang je untuk lukis. Dia tak faham bagaimana teliti kita buat setiap potret," ujarnya kepada mStar.

Berasal dari Kuching, Sarawak, Yasser berkata setiap potret mengambil masa sekitar enam jam hingga dua minggu untuk dihasilkan, bergantung kepada permintaan.

Kalau luar negara, mindset mereka lain. Tapi ramai juga orang Malaysia yang hargai dan tak kisah bayar untuk dapatkan potret mereka.

MOHD YASSER MOHD YAZID

Malah, dia turut menganggap kehadiran insan sebegitu sebagai dugaan buat anak seni sepertinya.

"Satu potret yang ada satu wajah ambil masa dalam enam ke tujuh jam. Itu belum masuk rambut, leher dan sebagainya. Kalau lebih satu muka, biasanya dua minggu dan akan disiapkan dalam tempoh itu.

Mesej perbualan Yasser dengan seorang individu yang tular.

"Memang dugaan, siap pertikai harga peralatan. Ia bukan soal harga, tapi masa dan usaha pelukis itu sendiri," katanya.

Ujar Yasser lagi, dia berpendapat penerimaan masyarakat tempatan terhadap karya seni cukup berbeza dengan komuniti di luar negara.

Yasser menganggap pelanggan 'berkira' sebagai satu dugaan buat pelukis sepertinya.

Namun katanya, tidak wajar mengeluarkan kenyataan pukul rata memandangkan ada juga penggemar seni yang rela berhabis duit di negara ini.

"Kalau luar negara, mindset mereka lain. Tapi ramai juga orang Malaysia yang hargai dan tak kisah bayar untuk dapatkan potret mereka," ujarnya lagi.

Antara potret yang dihasilkannya.

Di Twitter, posting berkenaan pengalaman Yasser berdepan pelanggan itu menerima hampir 12,000 ulang kicau (Retweet).

Malah, ramai yang turut meluahkan rasa geram atas tindakan individu itu yang seolah-olah langsung tidak menghargai penat lelah yang dicurahkan pelukis.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain