suria

“Saya guna suara kepit” - ‘Abang misai bersuara Tok Ti’ nyanyi di pasar malam selepas dipujuk rakan... alamak ramai sudah keliru!

Adzman menjadi perhatian apabila menyanyikan lagu Siti Nurhaliza di pasar malam. Foto ihsan Adzman Munat

SINGLE terbaharu Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Aku Bidadari Syurgaku nampaknya terus menghantui peminat muzik tempatan.

Walaupun drama bersiri popular 7 Hari Mencintaiku 2 telah pun melabuhkan tirai, tetapi lagu runut bunyi drama itu terus dinyanyikan ramai dalam pelbagai gaya dan versi.

Turut menjadi perhatian di media sosial sehingga menjadi tular adalah seorang pemuda yang menyanyikan lagu tersebut di hadapan sebuah gerai.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar OKU nyanyi lagu tema 7 Hari Mencintaiku 2 dapat ‘tepukan gemuruh’ Tok Ti - "Dia geram dengan watak jadi kebencian"

ARTIKEL BERKAITAN: Inilah masanya! Tiga pramugari cun tonjol bakat buat 'konsert', ada yang kata suara mirip Tok Ti - "Meremang sebab cuma kami bertiga, tak pakai minus one"

Namun nyanyian pemuda bermisai berkenaan yang kelihatan bersahaja menimbulkan tanda tanya kerana kedengaran mirip suara penyanyi nombor satu negara itu.



Adzman dikenali dengan penampilan bermisai.

"Penyanyi sebenar ke ni?" tanya netizen.

"Makan apa abang nak suara macam tu?” tanya netizen lain.

Pemuda bermisai berkenaan, Adzman Munat tampil menjelaskan bahawa video tersebut bukan aksi miming atau membuat pergerakan mulut, sebaliknya ia adalah 'suara dalam'nya.



Adzman banyak menyanyikan lagu-lagu penyanyi lelaki tempatan termasuk berkumpulan.

Anak muda berusia 21 tahun itu memberitahu, persembahan tersebut dilakukan atas pujukan teman-temannya dekat kedai makan di pasar malam di Semporna, Sabah.

"Masa tu kami makan-makan dan kawan-kawan suruh nyanyi. Itu memang suara saya tapi guna suara 'kepit'. Kalau nyanyi lagu Siti Nurhaliza dari drama tu memang kena buat suara dari dalam sebab kalau nak guna suara 'jantan' kena tukar key.

"Selalu juga saya menyanyikan lagu-lagu Siti Nurhaliza, tapi ada juga saya nyanyi lagu beliau menggunakan suara sebenar saya," katanya kepada mStar.



Ketika membuat persembahan di majlis perkahwinan.

Adzman berkata, dia sebenarnya lebih banyak menyanyikan lagu-lagu lelaki berkumpulan dan solo tempatan yang berentak balada seperti Spring, Spoon, Boboy dan Tomok.

Malah, pemuda ini juga pernah menyanyikan lagu-lagu rock daripada kumpulan Kristal.

Selalu juga saya menyanyikan lagu-lagu Siti Nurhaliza, tapi ada juga saya nyanyi lagu beliau menggunakan suara sebenar saya.

ADZMAN MUNAT

Pengusaha kedai pakaian bundle di Semporna itu turut memberitahu bahawa dia mempunyai kumpulan duo bersama abangnya yang berusia 29 tahun.

"Saya dan abang ada band sendiri yang dinamakan Two Brothers Group, ditubuhkan sejak lapan tahun lalu. Kami buat persembahan secara freelance atas jemputan.

"Kebanyakannya di majlis-majlis seperti kenduri kahwin. Memang lagu-lagu penyanyi lelaki yang kami nyanyi, tapi ada juga yang minta saya nyanyi lagu-lagu penyanyi wanita," ujar anak bongsu daripada empat beradik itu.



Adzman mengusaha kedai pakaian bundle.

Menurut Adzman, dia pernah menyertai beberapa pertandingan menyanyi di Semporna sekadar suka-suka kerana begitu minat menyanyi sejak berusia lapan tahun.

"Ada menyertai pertandingan menyanyi biasa-biasa je, macam pertandingan karaoke. Pernah masuk peringkat akhir dan pernah dapat naib johan," tambahnya.



Adzman mengimpikan untuk menjadi penyanyi suatu hari nanti.

Adzman berkata, selain sibuk menguruskan kedai pakaian bundle, dia akan menyanyikan lagu-lagu versi cover penyanyi lain sekiranya mempunyai masa lapang.

"Sekarang ni kalau tak ada jemputan untuk membuat persembahan, saya hanya menyanyikan lagu-lagu cover penyanyi lain dan kongsi di media sosial.

"Memang teringin nak jadi penyanyi tapi belum ada rezeki. Kalau ada tawaran, memang saya mahu mencuba nasib," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain