TRAGEDI pagi merdeka yang takkan dilupakan sampai bila-bila. Itulah yang dialami wanita ini apabila dia dibantu oleh seorang lelaki India tidak dikenali ketika tayar keretanya pecah di tengah jalan. Berkongsi cerita dengan mStar, Normila Abdul Halim berkata pada pagi Isnin lalu, dia dalam perjalanan untuk ke pasar raya serbaneka bagi membeli barang keperluan. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya sangat takut untuk tahan mana-mana kereta” - Pensyarah tak boleh move on diselamatkan adik beradik India, Proton Saga lama... ini sebabnya! ARTIKEL BERKAITAN: Uncle Cina bantu pelajar UiTM terima ganjaran, tempias ke siswi juga - “Cadang nak sedekah tolong kawan-kawan susah” "Saya pergi seorang sahaja, ketika itu dalam pukul 8.30 pagi. Jalan pun lengang. Entah macam mana, semasa sampai berhampiran lampu isyarat Bukit Minyak, Bukit Mertajam, saya terdengar bunyi macam tayar pecah. "Tapi saya fikir bukan kereta saya. Bila melepasi lampu isyarat, baru rasa stereng bergegar. Saya pun bawa perlahan-lahan dan berhenti tepi jalan. Normila berkongsi insiden tayar keretanya pecah ada pagi 31 Ogos lalu. "Ketika saya keluar dan sedang belek-belek tayar yang pecah tu, ada motor berhenti. Seorang lelaki India datang bertanya masalah kereta saya. Pada mulanya, takut juga. Dah la perempuan, seorang pula. Kebetulan, jalan pun lengang... memang ada terdetik juga perasaan takut," katanya. Cerita wanita berusia 31 tahun ini, lelaki yang dikenali sebagai Sugu itu kemudian memberitahu mengenai sebuah bengkel kereta yang terletak kira-kira dua kilometer di hadapan. "Dia tunjukkan saya jalan ke bengkel tersebut. Apabila sampai, bengkel tersebut tak buka. Kami tunggu beberapa ketika di situ, tapi rupa-rupanya memang tak buka sebab cuti sempena merdeka. Normila bersyukur kerana dibantu oleh insan berhati mulia seperti Sugu. "Akhirnya Mr Sugu tawarkan pertolongan dan mahu bantu saya tukarkan tayar. Sebenarnya,ketika itu masih lagi takut, nak dijadikan cerita, telefon pula habis kredit. Tapi saya tawakal dan fikir yang baik-baik saja. "Mr Sugu ada tanya kalau saya mahu pinjam telefonnya... namun saya kata tidak mengapa. Saya yakin dia orang baik, tambahan pula dia sopan. Selepas selesai tukar tayar ganti, saya nak hulurkan sedikit sagu hati namun dia tolak. Katanya, dia hanya nak menolong," cerita ibu kepada tiga cahaya mata ini. Mujur Mr Sugu ada... kalau tidak, tak tahu macam mana. Alhamdulillah, Tuhan hantar orang yang baik untuk membantu. NORMILA ABDUL HALIM Tambah Normila, Sugu juga sempat meninggalkan nombor telefon dan memberitahu agar menghubunginya jika memerlukan bantuan. "Petang hari itu, dia telefon saya dan tanya sama ada kereta saya dalam keadaan baik. Terharu sungguh dengan kebaikan dia," katanya lagi. Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Normila berkata tujuannya hanya mahu berkongsi pengalaman agar menjadi teladan kepada rakyat Malaysia yang lain. Ibu kepada tiga cahaya mata ini berhasrat untuk bertemu kembali dengan Sugu sebagai menghargai pertolongannya tempoh hari. "Kita hidup satu Malaysia... usahlah bersifat rasis atau bersikap buruk dengan kaum yang berbeza dengan kita. Pengalaman ini benar-benar membuktikan bahawa rakyat kita ramai yang baik. "Mujur Mr Sugu ada... kalau tidak, tak tahu macam mana. Alhamdulillah, Tuhan hantar orang yang baik untuk membantu. "Kepada Mr Sugu, terima kasih kerana membantu saya. Kalau ada rezeki, saya nak bertemu dengannya dan kenali juga keluarganya," ujarnya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!