suria

Misi pertama gagal, percubaan kedua pelajar berjaya berbasikal ke Putrajaya demi imbas kenangan merdeka... tapi sasaran 63km pula ‘tak lepas’

Amerrul menyempurnakan misi berbasikal ke Putrajaya pada 31 Ogos lalu. Foto ihsan Amerrul Rafique Mohamed Sulaiman

WALAUPUN kalendar kini sudah memasuki bulan September, namun bahang sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-63 pada 31 Ogos terus dirasai.

Semangat patriotik rakyat Malaysia terus membara selain sokongan tidak berbelah bahagi dalam melihat kesejahteraan dan keharmonian negara.

Ini termasuklah tindakan seorang pemuda yang berbasikal ke Putrajaya bagi meniupkan semangat patriotisme dan cintakan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegang payung, pakai topi, kibar Jalur Gemilang! Pelajar Form 4 keliru selepas minta gadis tak dikenali tolong rakam video merdeka - "Kepada Myra, terima kasih"

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada perbarisan besar-besaran, tahun 2020 jadi saksi sambutan Hari Kebangsaan dalam norma baharu

"Alhamdulillah done ride merdeka 62 kilometer (km). Gerak pukul 6 pagi, balik rumah terus gelap macam celup dalam coklat," tulis seorang pemuda di akaun Twitter @mwrrul.

Pemuda berkenaan, Amerrul Rafique Mohamed Sulaiman berkata, aktiviti itu dilakukannya pada 31 Ogos sempena Hari Kebangsaan 2020 yang diadakan dengan norma baharu.



Raptai sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya.

Remaja berusia 17 tahun itu memberitahu, ia juga mengimbas kembali penglibatannya sebagai salah seorang peserta mewakili Selangor membuat persembahan sempena sambutan hari kemerdekaan negara ke-62 di Dataran Putrajaya di Putrajaya pada 31 Ogos tahun lalu.

"Masih ingat lagi hari tu saya bangun seawal pukul 3 pagi dan berada di Dataran Putrajaya sebelum pukul 6 pagi untuk bersiap sedia membuat persembahan.

"Tahun ini tak ada sambutan, persembahan dan perarakan besar-besaran disebabkan pandemik Covid-19, jadi saya berbasikal untuk mengimbas kembali kenangan tahun lalu," katanya kepada mStar.



Amerrul turut menyertai persembahan pada samnbutan Hari Kebangsaan 2019.

Amerrul berkata, bagi merasai pengalaman yang sama, dia bertolak dari rumahnya di Puchong, Selangor untuk ke Putrajaya pukul 6 pagi.

"Saya berbasikal seorang diri ke Putrajaya dan sampai sejam kemudian. Tapi seorang rakan datang menyusul untuk menemani saya pada pukul 8 pagi.

Tahun ini tak ada sambutan, persembahan dan perarakan besar-besaran disebabkan pandemik Covid-19, jadi saya berbasikal untuk mengimbas kembali kenangan tahun lalu.

AMERRUL RAFIQUE MOHAMED SULAIMAN

"Perjalanan sehala dengan berbasikal ke Putrajaya tidak sampai 62km, jadi saya dan rakan pusing satu Putrajaya di lokasi sama saya mengadakan persembahan Hari Kebangsaan tahun lalu, sebelum pulang ke Puchong," ujarnya yang juga berasal dari Puchong.

Menurut pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Utama 1 itu, dia mula aktif berbasikal pada akhir Jun lalu dan pada bulan Ogos sahaja, dia telah mencatatkan rekod keseluruhan perjalanan hampir 200km.



Amerrul (belakang) bersama teman-teman selepas membuat persembahan.

Bagaimanapun kara Amerrul, ini bukanlah pertama kali dia berbasikal ke Putrajaya kerana ia pernah dilakukan pada pertengahan bulan lalu bersama rakan-rakannya.

"Kami seramai 13 orang berbasikal masa tu. Tapi baru di Cyberjaya di pertengahan perjalanan, dua daripada kami mengalami masalah pada tiub tayar basikal.

"Jadi, kami semua berpatah balik. Sebab itu jugalah saya mahu menyambung hasrat untuk berbasikal ke Putrajaya sebab aura Hari Kebangsaan tu cukup dekat di hati saya," ujar anak ketiga daripada lima beradik itu.



Amerrul (belakang, tengah) bersama rakan-rakan dalam percubaan pertama berbasikal ke Putrajaya.

Amerrul berkata, walaupun tujuan asal berbasikal itu untuk mengimbas semula penglibatannya pada Hari Kebangsaan ke-62 tahun lalu, dia sebenarnya mahu meletakkan sasaran 63km bagi cabaran pada 31 Ogos lalu.

"Saya letak sasaran antara 62km dan 63km (sempena 63 tahun kemerdekaan). Tapi bila jarak dah cecah 62.4km dalam perjalanan pulang ke rumah tiba-tiba langit gelap, macam nak hujan. Ada baki 600 meter je lagi.

"Tapi apa-apa boleh berlaku kalau hujan lebat jadi saya ambil keputusan untuk terus pulang ke rumah. Bila di rumah, tak hujan pun tapi saya masih puas hati mencapai sasaran antara 62km dan 63km, dan paling penting akhirnya saya berjaya berbasikal ke Putrajaya," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain