suria

“Dulu majikannya orang kenamaan” - Aktivis pelik penghuni halang masuk rumah selepas mohon bantuan, kisah tragis hidup Pia akhirnya terbongkar

Kisah sedih kehidupan wanita sebatang kara bernama Pia yang dikongsikan oleh seorang aktivis masyarakat benar-benar menyentuh hati. Foto: Facebook Natipah Abu

SIAPA sangka, bermula dengan bantuan kecil untuk membetulkan lampu di sebuah rumah, akhirnya terungkai kisah hidup penghuninya yang amat menyedihkan.

Kisah penuh tragis ini dikongsikan oleh seorang aktivis masyarakat, Natipah Abu selepas mengunjungi rumah berkenaan dan menemui penghuninya yang tinggal sebatang kara di sebuah kampung di Alor Setar, Kedah.

Menurut wanita berusia 47 tahun ini, pada mulanya pihaknya dihubungi oleh seorang waris terdekat kepada penghuni berkenaan yang meminta bantuan untuk membetulkan lampu rumah yang sudah berbulan-bulan rosak.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapur lantai tanah, langsir pisahkan bilik... sikit pun tak geli jejak rumah daif 6 sekeluarga ini - “Susunan baju melambangkan disiplin kuat”

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia rindu tapi tak tahu nak cakap” - Sayu... tak pandai kira hari, tapi anak syurga ini tahu rutin ziarah pusara bapanya

"Kita pun hantar pekerja ke rumahnya bersama beberapa batang lampu kalimantang. Pekerja kita tidak diizinkan masuk oleh penghuninya yang seakan-akan hidup di sebuah rumah tinggal.

"Hadapan rumah ditutup dengan rimbunan pohon hijau. Manakala dinding luar dan dalam rumah penuh dengan tampalan surat khabar.

"Rentetan itulah terungkai sebuah kisah hidup yang sedih. Penghuni rumah merupakan seorang wanita berusia 54 tahun bernama Pia dan tinggal sebatang kara," kata wanita yang aktif terlibat dengan aktiviti kebajikan dan misi kemanusiaan sejak 10 tahun lalu.



Natipah (berbaju kurung) ketika menziarahi Pia untuk menghulurkan bantuan kepadanya yang kini tinggal sebatang kara.

Berkongsi cerita mengenai Pia, Natipah berkata wanita tersebut yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik berasal dari sebuah keluarga yang susah yang mana ibu mereka seorang peniaga kuih serta melakukan kerja kampung yang lain.

"Pia dan adiknya Lin, terpaksa berhenti sekolah dek kerana kesempitan hidup. Setelah usia Pia 15 tahun, dia nekad keluar dari rumah dan ingin mencari kehidupan sendiri.

"Pia berhijrah jauh ke negeri Pahang dan bekerja sebagai pembantu kantin sebelum bekerja sebagai pembantu rumah di kediaman orang kenamaan.

"Pia dilayan dengan baik oleh majikan dan dilingkari dengan kemewahan namun tidak pernah sekali pun mengirim wang belanja buat ibunya. Jenguk ibu pun boleh dikira berapa kali," ceritanya.



Pia sebelum ini hidup senang ketika bekerja sebagai pembantu rumah kepada seorang kenamaan di Pahang.

Namun benarlah kata orang, hidup umpama roda. Selepas 15 tahun berkhidmat, majikan Pia meninggal dunia dan pemergian tersebut benar-benar memberi kesan kepada wanita berkenaan.

Pia pulang ke kampung dan kemudian berkahwin dengan seorang lelaki berada sebagai isteri kedua.

Tiga tahun melayari alam perkahwinan, rumah tangga Pia runtuh.

Kes Pia ni bawa banyak pengajaran terutamanya dalam menjaga hati ibu. Rezeki yang berkat mestilah dengan reda ibu.

NATIPAH ABU

AKTIVIS MASYARAKAT

"Pia sekali lagi pulang ke rumah memohon izin ibunya untuk kembali bekerja sebagai pambantu rumah di kediaman kenamaan tapi ibunya tak izinkan.

"Sejak itu Pia berubah sikap menjadi baran dan banyak menyendiri. Bagi Pia, kerana ibulah hidupnya susah. Sehinggalah saat ibu hembuskan nafas terakhir pun dia hanya berkurung di dalam bilik.

"Sejak itulah hidup Pia mula berubah sehinggalah saat kami menemukannya," kata Natipah.



Team aktivis masyarakat yang bergotong royong membersihkan rumah Pia.

Tambah Natipah, kedua-dua adik Pia sudah berumahtangga dan tinggal di Kuala Lumpur, namun mereka juga hidup dalam serba kekurangan.

"Pia masih boleh mengurus keperluan diri dan menyara hidup dengan wang bantun JKM dan pemberian adik beradiknya yang bukanlah orang senang juga.

"Kita sudah membawa Pia mendapatkan rawatan psikiatrik. Kini dia makan ubat setiap malam. Kita akan membantu Pia untuk bangkit semula membina kehidupannya," tambah Natipah.



Pia tinggal seorang diri di rumah peninggalan arwah ibunya yang meninggal dunia pada 2017.

Sepanjang sedekad terlibat dalam lapangan kebajikan, Natipah berkata kisah Pia nyata menginsafkan dan sarat dengan pengajaran.

"Kes Pia ni bawa banyak pengajaran terutamanya dalam menjaga hati ibu. Rezeki yang berkat mestilah dengan reda ibu.

"Dia jadi macam tu sebab bila dia senang, dia lupa ibu," cerita Natipah mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain